'Anak saya sekarang ada papa baru.' Selepas 5 tahun, Jue Aziz kembali bergelar isteri, selamat berkahwin 18 Ogos
"DAN apa saja nikmat dan kebaikan yang kamu ada, ia adalah daripada ALLAH."
Demikian titip pelakon Jue Aziz mengumumkan perkahwinannya di Instagram sekali gus menamatkan spekulasi mengenai status sebenarnya.
Selepas lima tahun sendirian, Pemilik nama Zuliana binti Abdul Aziz kembali bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Ridwan.
Jue memuat naik video yang memaparkan majlis pernikahannya yang berlangsung pada 18 Ogos lalu.
Majlis ijab kabul pelakon Hantu Kak Limah itu diadakan di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.
Menerusi portal mStar, Jue meluahkan rasa syukur atas perkahwinan itu. Ibu kepada seorang anak angkat lelaki itu menjelaskan sudah lama mengenali suaminya sebelum memutuskan untuk berkahwin.
"Sejak bila kami kenal biarlah rahsia. Tetapi apa boleh saya katakan, kami berdua sudah lama mengenali antara satu sama lain dan keputusan berkahwin ini bukan mudah.
"Sepatutnya kami rancang untuk bernikah pada penghujung tahun ini, namun ia dipercepatkan bagi menunaikan permintaan ibu saya yang sudah berusia.
"Agak kelam kabut juga sebab nak pastikan semua ahli keluarga ada pada tarikh tersebut dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
"Apa yang penting adalah restu keluarga dan anak saya sekarang ada papa baru," katanya.
Dalam majlis baru-baru ini, Jue menerima mas kahwin sebanyak RM222 dan seutas gelang serta sebentuk cincin
Tidak mahu mendedahkan secara terperinci tentang suaminya itu, Jue memaklumkan Ridwan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya.
"Umurnya pun rahsia. Tetapi dia lebih muda daripada saya.
"Suami saya seorang yang sentiasa memberi sokongan dan faham akan kerjaya saya," ujarnya.
Terdahulu, Jue pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik asal Indonesia, Bayu Praman pada Mac 2014 namun bercerai pada Januari 2019.
Mereka tidak dikurniakan cahaya mata namun mengambil seorang anak angkat lelaki iaitu Darwish Naufal, 11.
Sumber: mStar
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang