'Saya juga ambil...'Neelofa pertahan isu epidural. Jangan hukum ibu yang melahirkan, pengalaman berbeza
PENGALAMAN melahirkan cahaya mata sememangnya satu perjuangan luar biasa. Namun, isu suntikan epidural bagi mengurangkan kesakitan ketika proses bersalin kembali mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Bagi usahawan terkenal, Noor Neelofa, penggunaan suntikan epidural yang disuntik di bahagian bawah tulang belakang sebelum kelahiran itu tidak seharusnya dijadikan topik perbincangan terbuka yang boleh mengaibkan pihak tertentu.
Berkata kepada SinarPlus, setiap ibu berhak memilih untuk mengambil suntikan epidural atau sebaliknya tanpa perlu berdepan dengan kata-kata menghukum lebih-lebih lagi setiap individu mempunyai tahap kesakitan yang membawa kepada pengalaman berlainan.
"Saya sendiri ambil epidural dan itu adalah pilihan saya.
"Saya tidak boleh nak kongsi dengan lebih mendalam kepada orang ramai tentang keadaan saya semasa proses melahirkan anak kerana setiap orang berbeza.
"Ada perkara yang kita tak perlu nak kongsi di media sosial. Baik kita buat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.
"Bagi saya, janganlah kita jadikan ia sebagai topik dan isu yang boleh melukakan hati orang lain," katanya ketika ditemui pada pelancaran produk terbaharu Daia di Putrajaya baru-baru ini.
Pengasas jenama Naelofar itu akui bahawa kemajuan teknologi dan pendedahan maklumat kini banyak membantu orang ramai lebih memahami tentang prosedur bersalin moden seperti epidural.
"Negara kita sudah maju dalam pelbagai aspek, media sosial banyak dedahkan kita kepada banyak perkara untuk belajar tentang gaya keibubapaan, perubatan termasuk pengorbanan ibu dari segi melahirkan anak.
"Mungkin zaman dahulu orang akan ada pemikiran tertentu tentang suntikan epidural kerana mereka tidak terlalu terdedah dan faham secara keseluruhan mengenai itu.
"Sekarang ini dengan adanya perkongsian media sosial daripada banyak pihak orang lebih faham dengan lebih mendalam apa itu suntikan epidural, ubat tahan sakit dan lain-lain.
"Kita tak boleh nak cakap satu benda itu sesuai untuk semua. Setiap orang mempunyai keadaan badan dan ketahanan yang berbeza," kongsinya.
Terdahulu, perbincangan tentang epidural menjadi topik hangat selepas seorang usahawan, Jofliam, didakwa kurang menghargai bekas isterinya, Cik Epal, yang menggunakan suntikan epidural ketika melahirkan anak-anak mereka, Han dan Yuki.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
