Ustaz Adnin syukur, lagu Seni Berdamai Dengan Takdir nombor 1 di YouTube. 'Tak perlu cintan-cintun, buat benda pelik-pelik..'

SENI Berdamai Dengan Takdir, single nyanyian Naim Daniel dan Ustaz Adnin Roslan kini nombor trending dan nombor satu di platform di YouTube.
Ustaz Adnin menerusi laman sosial TikTok menjawab persoalan dan tidak menyangka lagu berkenaan yang ditulis dan digubah Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus itu menduduki tempat pertama di YouTube. Malah, lagu tersebut berjaya mengalahkan lagu Dirty Work dendangan Aespa dan Golden nyanyian kumpulan HUNTR/X dari kumpulan dari Korea Selatan.
Menerusi tinjauan SinarPlus, muzik video lagu berkenaan yang baharu sembilan hari dimuat naik telah meraih lebih 380,000 tontonan.

"Segala puji bagi ALLAH! Terima kasih semua yang sudi stream lagu Seni Berdamai Dengan Takdir. Moga lagu ini bermanfaat buat semua!" kongsinya.
Dalam pada itu, Ustaz Adnin atau nama penuhnya Ahmad Adnin Roslan, 33, menyifatkan kejayaan berkenaan menunjukkan tiada kontroversi dan elemen lain diperlukan untuk menaikkan populariti lagu berkenaan.
"Alhamdulillah, nombor satu. Ini membuktikan bahawasanya untuk berjaya tidak perlu pun buat benda pelik-pelik. Kalau perasan, lagu Seni Berdamai Dengan Takdir ni, muzik video pun tiada.
"Tiada perempuan, berpegangan tangan atau aurat didedahkan. Lirik dia pun ketuhanan, mengajak kita untuk berdamai dengan takdir. Mengajak kita untuk melepaskan hal-hal silam dan bersangka baik dengan takdir ALLAH.

"Tiada cintan-cintun, tiada benda pelik-pelik. Tapi Alhamdulillah, lagu ni berjaya dapat nombor satu di carta trending YouTube.
Dalam masa yang sama Ustaz Adnin juga berharap ramai mendapat kebaikan daripada lagu berdurasi tiga minit 56 saat itu.
"Alhamdulillah! Apa pun, nombor satu atau tidak, itu belakang cerita.
"Paling penting, mudah-mudahan kalian yang mendengar lagu Seni Berdamai Dengan Takdir ini mendapat mesej yang kami cuba sampaikan. Semoga bermanfaat!" kongsinya.

Ustaz Adnin yang juga pengasas Tarbiah Sentap dan Ketua Pegawai Eksekutif Sentap Press Sdn Bhd terdahulu menulis puluhan buah buku termasuk Tarbiah Sentap, Infiru, Tuhan Aku Ingin Sembuh dan Surat untuk Orang yang Putus Cinta.
Menerusi hantaran di Facebook pada tahun 2015, Ustaz Adnin pernah mendedahkan, ibu bapanya Datuk Roslan Nordin dan Datin Dr Sabariah Faridah Jamaluddin merupakan pengasas institusi tadika Little Caliph.
Beliau merupakan hafiz al-Quran dan pernah menyambung ijazah sarjana muda dalam bidang Fiqh dan Usul di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Namun, akibat daripada pergolakan yang berlaku ketika itu, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan menyambung pengajian di Al-Madinah International University.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang