Diana Danielle bina karakter anak-anak melalui sukan memanah. 'Saya pilih didik, bukan hanya besarkan'
SEBUT sahaja nama Diana Danielle, pasti ramai yang terus terbayang raut wajah Pan Asian yang ayu, manis dan bersahaja.
Senyuman yang sentiasa menguntum di bibirnya sudah cukup memikat, mesra dan menyenangkan, itu gambaran yang boleh diberikan kepada tuan empunya diri.
Sejak kecil, wajah Diana sudah menghiasi layar. Dari satu watak ke satu watak, dia muncul dengan penuh keaslian dan menghidupkan karakter dengan jiwa yang mendalam. Bakat lakonannya bukan calang-calang, ada kelas tersendiri.

Namun, di sebalik cahaya glamor dunia seni, ada sisi wanita tinggi lampai itu yang mungkin ramai tidak tahu. Seorang ibu yang cukup prihatin, penuh kasih sayang dan sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan.
Bagi Diana, kejayaan di depan kamera tidak akan pernah bermakna sekiranya tanggungjawab sebagai ibu terabai.
Maka, tidak hairanlah jika dia bijak menyusun langkah, mencari keseimbangan antara kerjaya dan keluarga tanpa mengorbankan mana-mana.
Bekas pelajar Institut Seni Dramatik Kebangsaan di Sydney, Australia itu tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya. Diana tidak sekadar membesarkan, tetapi mendidik dengan penuh perhatian. Malah, aktiviti yang dipilih untuk anak-anak bukan calang-calang. Semuanya ada nilai tambah yang membina.
Itulah Diana Danielle. Lembut gaya bicaranya, namun tegas dalam prinsip dan arah tuju sebagai ibu.
Sikapnya yang tenang namun berpaksikan disiplin menjadikan Diana Danielle antara figura ibu moden yang menjadi inspirasi. Bukan sahaja cantik di mata, tetapi juga teguh membawa peranan sebagai wanita, pelakon dan ibu.
Memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem di Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin 2017, serta Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Skrin 2019, Diana tidak sekadar bersinar di layar perak, kehidupannya sebagai ibu juga menjadi contoh ramai.
Anak tunggal kepada pasangan Norsiah Ramli yang berketurunan Melayu dan Danny Beeson, warganegara Amerika Syarikat itu tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya.
Terbaharu, Diana menggalas peranan sebagai ikon kepada jenama tempatan Muezza Archery Proshop. Menariknya, dua anaknya, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 9, turut dilantik sebagai duta jenama memanah tersebut.

SUKAN SUNNAH
Dalam temu bual bersama SinarPlus, Diana yang kini berusia 33 tahun menyatakan ramai ibu bapa hari ini mencari aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membina karakter anak-anak. Sebab itu, memanah menjadi pilihan.
“Ia bukan sekadar hobi, tetapi latihan minda dan rohani. Fokus, sabar, dan keyakinan diri itu terbina secara perlahan sejak kecil,” katanya.
Diana turut berkongsi bagaimana aktiviti ini memberi impak kepada Nur Aurora dan Muhammad yang masing-masing aktif dalam gimnastik, bola sepak dan kini memanah.
“Sukan sunnah ini tidak berat fizikal, tetapi cukup untuk latih anak-anak kawal emosi dan kenal potensi diri.”
Menariknya, Diana juga turun padang menyertai latihan bersama anak-anak. Bagi beliau, aktiviti keluarga seperti ini lebih praktikal dan menyatukan emosi seisi rumah.
“Saya juga tekankan matlamat dalam aktiviti. Anak-anak perlu ada sasaran, supaya tidak main-main sahaja. Bila ada hala tuju, mereka belajar erti usaha dan tidak mudah putus asa.”
Dalam masa yang sama, dia tidak pernah menjadikan status ibu tunggal sebagai penghalang untuk terus kuat.
Selepas berpisah dengan bekas suami, pelakon terkenal Farid Kamil pada Mac lalu, Diana memilih untuk bangkit, bukan menoleh ke belakang.

“Memang berbeza sebab kini sendirian, tetapi saya bukan keseorangan. Anak-anak masih ada ayah mereka. Saya mahu hubungan itu kekal dan mereka beraya bersama Farid baru-baru ini. Saya tahu, dia boleh jadi bapa yang baik untuk mereka.”
Pasangan itu berkahwin selama 13 tahun dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata. Kini, hak jagaan diserahkan sepenuhnya kepada Diana atas persetujuan bersama.
KEBAJIKAN PELAKON
Dalam dunia kerjaya, Diana tidak pernah surut semangat. Filem terbaharunya, Memori, bakal menemui penonton pada 31 Julai ini. Filem tersebut diinspirasikan oleh kisah pesakit Alzheimer. Lebih menarik lagi, ia turut dibintangi pelakon hebat, Hilal Azman dan Hisham Hamid. Bahkan kata Diana, filem berkenaan antara karya paling menyentuh hati baginya selepas Imaginur.
“Saya harap orang ramai akan beri sokongan, sebab filem ini sangat dekat dengan emosi dan realiti.”
Selain Memori, Diana juga terlibat dalam filem seram Baran arahan Joel Soh.

Mengimbas perjalanan seninya yang bermula seawal usia melalui filem Idola pada 2002, Diana mengakui jarang tampil dalam drama bersiri. Alasannya cukup jelas, faktor masa dan kebajikan pelakon.
“Saya kurang selesa dengan kerja drama yang terlalu padat. Ada masanya, kami perlu beli pakaian sendiri dan tunggu bayaran terlalu lama. Ia bukan sesuatu yang profesional. Saya harap industri kita lebih sistematik dan beretika," tegasnya.
Meskipun begitu, Diana bersyukur berada di bawah pengurusan Universal Music yang banyak menjaga kebajikan dan hak sebagai artis. Justeru, dia berharap keseluruhan industri juga ada perubahan ke arah lebih baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
