Farah Lee dedah detik berani berdepan tentera Isr4el, teguh demi solidariti P4lestin: ‘Bukan tentang kami, tapi G4z4'
SIAPA sangka, di sebalik senyuman yang lembut dan tutur kata sopannya, tersimpan jiwa yang begitu kental.
Itulah Farah Lee, wanita yang pernah berdepan detik mencemaskan apabila berdiri di hadapan tentera Isr4el hanya untuk menuntut satu perkara asas: air bersih.
Bukan untuk mencari nama, jauh sekali mahu diangkat sebagai wira. Namun, pengalaman itu menjadi saksi kepada keberanian luar biasa seorang wanita biasa yang memilih untuk tidak tunduk meskipun dikepung kuasa bersenjata.
Pemilik nama sebenar, Nurfarahin Romli itu sendiri mengakui, kehadirannya dalam majlis perkongsian itu bukan untuk diraikan.
Sebaliknya, ia sebagai ruang untuk menyampaikan mesej lebih besar, tentang kemanusiaan, solidariti dan perjuangan rakyat G4z4 yang masih terperangkap dalam kepungan tanpa belas.

"Saya sebenarnya segan untuk datang ke sini, segan diraikan dan diangkat-angkat. Kerana, pertamanya, saya tahu masih ada berapa rakyat Malaysia yang telah dipertahankan pada pagi tadi dan masih dalam tahanan Israel.
"Tapi, pada masa sama, saya tahu yang kerajaan Malaysia sedang berusaha keras untuk melepaskan mereka secepat mungkin.
"Saya segan berada dekat sini kerana misi ini bukan tentang kami. Misi ini tentang G4z4, tentang merobohkan kepungan yang berlaku di G4z4. Tentang memberikan tekanan kepada dunia yang menyokong penderitaan di P4lestin.
"Dan, saya putuskan untuk datang ke sini sebenarnya untuk meraikan kalian semua yang bersama-sama dengan kami. Kerana tanpa suara kalian, suara kami tidak didengari," ujar wanita berusia 36 tahun itu dengan penuh rendah hati.
Dalam perkongsian tersebut, aktivis kemanusiaan dan personaliti media sosial berkenaan turut menceritakan bagaimana dia dan rakan-rakan di Eropah pernah berdepan situasi getir, menentang tentera demi satu tuntutan asas, iaitu air minum.
Mereka tidak diberikan air bersih selama empat hari, dan apabila keperluan asas itu dinafikan, mereka memilih untuk melawan dengan cara paling damai: protes.
"Saya tak tahu dari mana saya dapat kekuatan dan keberanian untuk saya tenung setiap mata askar-askar Isr4el. Dan, saya dan beberapa rakan dari Eropah kami buat protes kerana kami tidak diberikan air minum selama empat hari total.
"Dan, kami buat protes. Kami kata, kami tak akan masuk ke sel kalau askar-askar ini tak bagi kami semua air. Dan, mereka rasa marah," kongsinya.

DIPAKSA MASUK SEL
Bagi sesetengah orang, mungkin tindakan itu kelihatan kecil. Namun bagi Farah, keberanian menegakkan hak sekecil itu, hak mendapatkan air adalah simbol perjuangan kemanusiaan yang sebenar.
Dalam suasana tegang, protes itu berlarutan hampir sejam. Tentera mula meninggikan suara, memberi amaran keras, dan akhirnya, tindakan kasar menjadi jawapan.
Dalam perkongsiannya tersebut, dia mendedahkan dirinya ditarik, ditolak dan dipaksa dimasukkan ke dalam sel. Namun, bukan kekerasan itu yang diingatnya.
Apa yang kekal dalam ingatan adalah bagaimana dia mampu menatap mata askar-askar bersenjata itu dengan keyakinan luar biasa.

"Saya bertekas untuk stay dekat situ dan tak takut sebab tahu diri benar. Dan, saya memang dipaksa masuk ke sel dengan agak keras.
"Saya ditarik, ditolak dan dimasukkan di dalam sel. Tapi, saya masih berani. Saya masih tenung mata-mata askar-askar Isr4el ini sebab tahu saya benar.
"Dan, setiap tenungan saya tidak dibalas. Walaupun mereka mempunyai kelengkapan yang lengkap tapi dalam mata ada ketakutan kerana tahu mereka salah," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi.
Sumber gambar: BERNAMA & FACEBOOK
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
