‘Lebih baik mama risau 3 hari, daripada menangis sebulan’ – PU Rahmat akui sembunyikan misi GSF, demi tenangkan hati ibu

No Image Caption
A
A
A

MASIH ramai yang memperkatakan tentang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Kali ini, menerusi perkongsian bersama Sinar FM baru-baru ini, pendakwah dan sukarelawan PU Rahmat membuka kisah peribadi yang jarang diceritakan tentang kasih seorang anak yang sanggup memendam rahsia besar daripada ibunya demi ketenangan hati wanita tersayang itu.

Bagi Rahmat, keputusan untuk menyertai misi berisiko tinggi itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi bila terpaksa menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan ibunya. 

Namun katanya, niatnya hanya satu, tidak mahu melihat ibunya hidup dalam ketakutan sepanjang dia berada di lautan.

“Saya tahu mama saya jenis cepat risau. Siapa pun ibu, tentu sayang anak. 

"Jadi saya kekalkan cara lama, tak beritahu secara terperinci, supaya dia tak hilang selera makan atau susah tidur,” katanya dengan nada perlahan.

No Image Caption

PU Rahmat mengakui pada awalnya dia menyangka penyertaannya dalam GSF sama seperti misi kemanusiaan lain yang pernah disertainya sebelum ini. 

Namun, siapa sangka kali ini segalanya jauh lebih mencabar.

“Saya fikir misi ini sama seperti yang saya sertai 10 tahun dulu. Tapi kali ini lain. 

"Masuk minggu ketiga dan keempat, mak saya dah mula rasa lain macam. Dia tertanya-tanya, adakah misi kali ini berbeza,” katanya.

Menyedari keadaan semakin genting, pemilik nama sebenar, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan akhirnya nekad untuk memberitahu ibunya tentang kemungkinan terburuk sekiranya dirinya ditahan atau dipenjarakan.

“Sepanjang hidup saya, saya tak pernah berdepan masalah undang-undang. Tapi kalau penjaranya itu penjara Israel, saya tahu mama saya akan sangat risau,” ujarnya.

Mengimbas semula detik mencemaskan ketika kapal mereka dikepung tentera Isr4el, Rahmat berkata hanya satu perkara terlintas di fikirannya ketika itu, ibunya.

“Saya terus capai telefon dan cuba rakam pesanan suara. Saya kata, ‘Mama, abang ini, tentera dah datang ni!’ Tapi bila dengar balik, suara saya cemas sangat. 

"Saya padam dan rakam semula beberapa kali sampai rasa mesej tu cukup tenang untuk mama dengar,” kongsinya.

Walaupun cuba menenangkan ibunya melalui pesanan itu, jauh di sudut hati anak jati Kuala Lumpur itu tahu keadaan ketika itu amat tegang dan tidak pasti apa yang bakal berlaku.

No Image Caption

“Saya cuba yakinkan dia. Saya kata, ‘Selamat, mama. Tak ada masalah. Tengah beratur ni, biasalah.’ 

"Padahal waktu itu kami sedang dikepung. Tapi saya tak mahu dia panik,” ujarnya.

Sebaik tiba di Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan Israel, perkara pertama yang dilakukan Rahmat adalah menghubungi ibunya. 

Ketika itu, kedua-duanya tidak mampu menahan air mata.

“Waktu itu kami berdua menangis. Mama saya kata, ‘Abang dah janji tak nak tipu mama lagi.’ Saya jawab, ‘Ya, mama. Abang minta maaf. Abang takkan tipu mama lagi.’”

Menurut Rahmat, tindakannya bukan kerana mahu menipu, tetapi demi menjaga emosi dan ketenangan seorang ibu.

“Saya fikir lebih baik mama risau tiga empat hari, daripada dia menangis dan tak makan selama sebulan. 

"Bila saya dengar dia tuduh semua orang menipu sebelum tahu keadaan sebenar, saya rasa bersalah juga,” ujarnya.

Bagi Rahmat, pengalaman itu mengajarnya bahawa kasih seorang ibu tidak pernah terhenti walau anaknya berada beribu batu jauh.

“Kalau orang tengok video mama saya menangis masa saya balik, janganlah salah faham. Itu semua lahir daripada kasih seorang ibu. 

"Saya janji, saya takkan tipu mama lagi,” katanya menutup bicara dengan senyuman yang sarat rasa syukur.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang