Mimi Fly guna bahasa isyarat dalam 'Angkat', dedikasi buat mama, OKU. 'Kalau muzik buat hilang keluarga, rela tak buat...'
KELIBAT beliau lama tidak kelihatan di kaca televisyen seolah-olah hilang dari radar seni.
Namun, kemunculan kembali bersama lagu Angkat seolah-olah membuka lembaran baharu buat penyanyi, Mimi Fly.
Ketika ini, lagunya rancak dibualkan sebagai antara karya hebat pernah dihasilkan wanita berkenaan. Rata-rata memuji gerakan tarian dan lirik karyanya yang menggoda perhatian.
Sekadar makluman, lagu tersebut merupakan gabungan lagu Angkat Kaki yang pernah dipopularkan penyanyi dangdut, Sheeda dan kini diberikan nafas baharu dengan menggabungkan lirik rap daripada Mimi.
Baru-baru ini anak jati Selangor itu diundang ke studio Sinar Karangkraf untuk sesi fotografi sebagai penghias muka depan SinarPlus. Bicara awal penulis bersama pemilik nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham terus menjurus kepada lagu ‘berhantunya’ yang menjadi siulan dan menembusi pasaran luar negara termasuklah Indonesia, Thailand, Singapura, Afrika dan Amerika.
“Bayangkan orang luar boleh menyukai lirik tersebut. Saya tak sangka sambutan hebat dan sangat luar biasa penangannya. Bahkan, ada yang hantar pesanan di media sosial, walaupun mereka tak faham bahasa Melayu.
“Itu antara sebab kenapa saya begitu terharu dan rasa dihargai. Memang di luar imaginasi saya. Apa yang saya sedang kecapi sekarang tidak pernah raih sebelum ini.
“Angkat juga merupakan lagu pertama saya yang ditulis penuh dalam bahasa Melayu sejak bergerak solo. Sebelum ini lagu-lagu saya menggunakan bahasa campuran Melayu-Inggeris,” ujarnya dengan mata yang bersinar-sinar.
Beliau yang dahulunya popular bersama kumpulan hip hop popular tanah air One Nation Emcee kini bergiat aktif secara solo sebagai artis bebas di bawah syarikat sendiri, dan kembali mencuri perhatian ramai dengan karya uniknya.
Konsep unik
Kini, sebagai artis solo, wanita berusia 38 tahun itu terus mencipta kelainan dengan menggabungkan elemen-elemen seni yang unik dalam setiap karyanya.
Selain bergelar penyanyi, Mimi juga aktif sebagai pengajar yoga.
“Bermula tahun lepas lagi saya kembali aktif dalam industri seni dan mengambil masa lebih kurang lapan bulan.
“Sebagai anak seni yang bukan hanya sekadar artis tetapi juga seorang penghibur, saya percaya visual adalah kunci dan alhamdulillah, ia menjadi fenomena di media sosial,” cerita Mimi Fly dengan rendah hati.
Menyentuh mengenai gabungan bahasa isyarat dan elemen Melayu klasik seperti songket serta batik dalam muzik video lagu tersebut, dedah Mimi, beliau punya alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
“Saya tergerak hati untuk kembali berkarya sejak tahun lepas. Idea lagu tersebut datang bersahaja, saya dengar kata hati. Hanya setengah jam sahaja sudah siap lagu tersebut. Konsep unik ni tercetus bila saya ke kelas yoga.
“Ketika makan bersama pelajar, saya lihat mereka menggunakan bahasa isyarat. Saya lihat keunikan bahasa isyarat itu sebagai satu bentuk seni dan dari situ mula terfikir nak buat koreografi lagu dengan elemen tersebut.
“Lantas tanpa berfikir panjang, saya terus hubungi guru terbabit yang juga individu pekak dan bisu bagi membantu menterjemahkan lirik lagu kepada bahasa isyarat,” ujarnya yang bersyukur kerana video muzik Angkat meraih tontonan lebih 250,000 lepas 12 hari dilancarkan di plaform YouTube.
Bagi Mimi, kejayaan ini bukan hanya tentang dirinya. Sokongan keluarga, terutamanya ibunya, memainkan peranan penting.
Mungkin ada yang tidak tahu akan status ibunya sebagai orang kurang upaya (OKU) dan itu antara yang menjadi pencetus kepada lahirnya lagu berkenaan.
Sebagai anak, Mimi berasa beliau adalah calon yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa isyarat dalam industri muzik.
“Mama adalah tulang belakang saya. Dia yang ajar saya tentang fesyen batik dan juga seni bahasa isyarat. Kadang-kadang, bila tak cukup duit, mama yang hulurkan bantuan. Dia selalu jadi pendorong dan tukang kritik saya,” katanya sambil ketawa kecil.
‘Hilang’ keluarga
Mimi turut mengimbas kembali bagaimana beliau sebelum itu sering berjauhan dengan keluarga sewaktu bersama kumpulannya.
“Dulu, saya banyak ‘travel’ ke sana ke mari dan fokus pada kerjaya sampai hubungan dengan keluarga renggang. Malah, saya juga terpaksa ikut cakap orang lain kerana masih muda dan tak boleh buat keputusan sesuka hati.
“Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan termasuklah dari segi masa kerana ketika itu sementelah saya bergerak dalam kumpulan. Tapi sekarang, saya sedar keluarga itu keutamaan, saya tak nak hilang hubungan rapat dengan adik- beradik.
“Kalau disebabkan muzik itu membuatkan saya hilang hubungan tersebut, saya rela tak buat (kerjaya). Alhamdulillah, sokongan keluarga lebih lagi berbanding dulu dan abang adalah peminat nombor satu lagu saya,” ungkap beliau lagi.
Mimi yang kini tinggal bersama ibu dan adik-beradiknya mengakui zaman Covid-19 banyak membawa perubahan dalam dirinya.
“Waktu itu saya tinggal bersama adik berasingan dengan mama, namun kini kami sekeluarga sudah bersatu. Walaupun terpaksa memandu jauh untuk ke satu-satu tempat untuk urusan kerja, saya tak kisah asalkan bangun pagi dan buka pintu nampak muka mama.
“Malah, setiap kali saya mahu keluar rumah, mama akan tunggu sampai saya hilang dari pandangannya, barulah dia akan tutup pintu. Itu mungkin momen kecil tetapi cukup berharga dan membuatkan saya tidak letih nak kerja,” ungkapnya lagi penuh makna dan syukur.
Detik hitam
Enggan beliau menutup kisah indah ibu dan anak itu, lantas penulis mengajukan pertanyaan tentang rutin yang dilakukan bersama ibu tersayang.
“Bangun pagi celik mata sahaja, bagi kucing dan ikan makan, tugas saya juga buang sampah selain bawa mama pergi pasar. Di rumah, kami akan masak bersama-sama sebab mama tak suka makan di luar. Jadi, hari-hari memang akan memasak.
“Pun begitu, kami tetap ada masa me time masing-masing untuk bebas buat hal sendiri tanpa rasa bergantung kepada orang lain. Apatah lagi, mama sudah ajar kami berdikari sejak kecil lagi,” ujar Mimi.
Ditebak akan kontroversi yang sering menghujani dirinya, kongsi penulis lirik, penggubah lagu, pereka tari dan pelakon itu, ahli keluarganya sudah memahami akan sepak terajang dunia artis.
“Namun ada masanya mama tetap akan bagi nasihat kerana beliau mahukan yang terbaik untuk kami (anak-anak). Sejujurnya, mereka tidak mudah terkesan dengan apa jua kritikan masyarakat yang melanda diri saya," ujarnya.
Sebagai selebriti juga, Mimi sedar kritikan adalah lumrah. Namun, beliau tidak terlalu terkesan.
“Zaman dulu tak ada media sosial, jadi apa yang dipentaskan itu saja yang orang nampak. Sekarang, semuanya lebih terbuka. Saya rasa lebih baik jadi luhur dan jujur. Orang boleh cakap apa saja, tapi saya kawal emosi dan fokus berkarya.
“Demikian juga dengan dengan pandangan tentang fesyen atau penampilan saya. Setiap artis mempunyai cara tersendiri. Saya cikgu yoga. Jadi, takkan bermekap sepanjang masa. Yang penting adalah rasa selesa dengan diri sendiri,” tambahnya.
Mimi juga sempat menceritakan detik hitam dalam kehidupannya selepas melalui kegagalan rumah tangga. Namun, dia memilih untuk bangkit.
“Dulu, famili pernah ‘hilang’ saya. Tapi selepas bercerai, kasih sayang mereka bertambah dan buat saya rasa lebih kuat. Saya masih percaya pada cinta, tapi pada masa sama, saya memilih sekarang.
“Kalau boleh biarlah lelaki itu seorang yang matang. Soal muda atau berumur tidak menjadi masalah. Saya mencari lelaki matang yang tidak ego dan boleh terima diri seadanya, baik buruk saya sebagai selebriti,” ujarnya sambil tersenyum sebelum menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang