'Bina nama tanpa kejar populariti, keluarga keutamaan.' Karier Sarah Ismail lebih cemerlang sebagai juri, guru vokal berbanding penyanyi
Hadir dalam gaya yang cukup santai tanpa secalit mekap, namun tetap manis orangnya. Pertama kali bersua muka, penulis sedikit terkejut melihat orangnya yang kecil molek.
Terus hilang bayangan seorang wanita tinggi lampai yang kelihatan di kaca televisyen mahupun media sosial.
Pun demikian, aura kecantikan dan keanggunan wanita bernama Maisarah Ismail itu tetap terserlah. Usai sampai ke bilik mekap, wajahnya ditata rias oleh jurumekap, Rien Zaid sambil kami berborak santai mencari mukadimah awal memulakan perbualan.
Bagi yang tertanya-tanya siapakah empunya diri, beliau yang mesra disapa Sarah Ismail adalah seorang penyanyi dan guru vokal Malaysia.
Sekadar makluman, wanita berusia 38 tahun itu memulakan kerjaya awal dalam bidang seni sekitar tahun 2009 dengan menyertai program TV realiti My Starz LG musim ketiga yang mana beliau berjaya menduduki tempat ketiga.
Namun entah di mana silapnya, bakat yang dimiliki seolah-olah ‘terlindung’ sehinggakan percaturan beliau sebagai penyanyi tidak menjadi.
Kepada tuan punya badan diajukan persoalan mungkinkah dirinya tidak memiliki aura atau faktor X yang mampu membuatkan beliau bersinar seperti penyanyi lain?
“Siapa yang tak nak jadi penyanyi kan. Kalau diikutkan, minat dalam bidang nyanyian tetap ada bahkan sampai sekarang, saya masih lagi menerima tawaran terutama untuk persembahan secara tertutup dan membabitkan orang kenamaan.
“Cuma untuk dikenali ramai itu bukan rezeki saya. Sedangkan apa yang saya tak buat untuk berjaya sebagai penyanyi. Saya pernah keluarkan single album, bahkan berkorban keluar duit sendiri, tak berjaya solo saya muncul berkumpulan, namun nasib kurang menyebelahi.
“Pendek kata ada usaha tetapi rezeki tidak terbuka dalam bidang itu (nyanyian), maka saya terima dengan reda. Alhamdulillah, DIA bagi jalan lain.
“Justeru, bukan soal tiada aura dan sebagainya, namun mungkin rezeki saya sudah tertulis lebih kepada juri dan sebagai tenaga pengajar,” ungkap Sarah yang percaya kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha gigih dan keberanian untuk bermimpi besar.
Berani dan jujur
Lihat perwatakan beliau yang cukup sopan dan bersahaja itu, jangan tak tahu yang Sarah bukannya graduan biasa dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Dunia muzik dan vokal bukan sekadar bidang pengajian bagi beliau, tetapi denyut nadinya. Menyedari kepentingan memperkukuh ilmu untuk menjadi tenaga pengajar yang hebat, wanita cantik manis itu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang muzik.
“Apabila saya mengambil ijazah sarjana, ia bukan hanya membuka peluang baharu, malah mendukung dari segi kredibiliti. Terutamanya dalam dunia penjurian, ia membantu saya melihat sesuatu dengan lebih mendalam dan profesional,” katanya.
“Kini, saya bukan sekadar guru vokal, tetapi juri yang dihormati di pentas pertandingan berskala besar,” ujarnya.
Terbaharu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu dipilih sebagai juri bagi program One In Million (OIAM) terbitan TV3.
Tatkala perkara itu diajukan kepada empunya diri, sarah mengakui perjalanan menuju kejayaan bukan semudah yang disangkakan. Banyak halangan dan cabaran perlu ditempuhi.
“Sejujurnya, saya bukanlah seperti juri terkenal lain seperti Datuk Syafinaz dan sebagainya. Bahkan waktu itu, tiada platform besar yang boleh saya gunakan untuk memperkenalkan dirinya, tetapi keazaman mendorong saya kepada media sosial.
“Saya bermula dengan menyajikan beberapa video reaksi di YouTube. Saya kongsi pandangan mengenai nyanyian artis tempatan secara terbuka. Itu membuatkan orang mula mengenali saya,” kata peminat rona hijau itu lagi.
Dalam dunia maya yang penuh dengan pelbagai perspektif, Sarah akhirnya menemukan ruang untuk bersinar. Pendekatan beliau yang berani dan jujur menarik perhatian ramai.
Video reaksi beliau tidak sekadar ulasan, tetapi ruang pembelajaran untuk semua. Sehinggakan kelibatnya sebagai juri mula menarik perhatian dan sedikit demi sedikit beliau menerima tawaran.
“Sebagai seorang juri, saya membawa pendekatan yang unik dan manusiawi. Saya tidak hanya fokus kepada kritikan, tetapi juga meraikan usaha dan potensi peserta. Kalau mereka bagus, saya puji. Kalau ada kelemahan, saya berikan teguran yang membina. Saya percaya kritikan yang baik adalah yang membangkitkan semangat, bukan mematahkan.
“Pengalaman sebagai peserta realiti TV memberi kelebihan untuk saya lebih memahami tekanan yang dihadapi oleh peserta. Disebabkan, saya pernah berada di tempat tersebut sebelum ini, jadi saya tahu apa yang mereka perlukan,” tambahnya lagi.
Menyambung lagi perkongsian tentang sistem penjurian di negara ini, Sarah tidak menafikan tugas sebagai juri cukup mencabar. Ditambah pula dengan sikap segelintir generasi muda yang semakin berani, malah kadang-kadang kurang menghormati juri.
“Sejak dahulu lagi saya cukup mementingkan soal adab dan disiplin. Saya tidak mahu ulas soal segelintir juri yang sengaja mencetus kontroversi untuk namanya dikenali atau diminta berbuat demikian untuk melariskan satu-satu program. Itu cara masing-masing.
“Kalau ditanya sama ada sanggup berbuat demikian jika diminta berlakon sesebuah watak dalam satu-satu program, saya tiada masalah menerima asalkan tidak mendatangkan kesan negatif pada diri sendiri,” ulas beliau panjang lebar.
Jatuh air muka
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, bukan hanya diri, bahkan beliau ada keluarga, suami, anak dan mentua, yang perlu dijaga perasaan mereka. Selagi ia tidak jatuh air muka insan tersayang selain prinsip dan maruahnya tidak tergadai, beliau tidak menolak andai diminta berbuat demikian.
Mengulas mengenai keterlibatan dirinya sebagai tenaga pengajar dan turut memiliki studio sendiri, tanpa berselindung Sarah berkongsi cerita.
“Saya buka kelas vokal di Tasik Permaisuri, Cheras. Dari menyewa, kini sudah ada studio sendiri. Walaupun pernah ditipu, namun itu tidak mematah semangat untuk saya teruskan. Alhamdulillah, pelajar saya semakin ramai,” katanya penuh syukur kerana sudah lapan tahun bergelar tenaga pengajar.
Betul orang kata, ramuan kreativiti, bakat dan tahu hala tuju jika digaul bersama, pasti menjadi resipi kejayaan.
“Kelebihan saya di sini bukan hanya mengajar teknik vokal, tetapi turut memperkenalkan seni persembahan seperti pergerakan pentas, postur badan, emosi, dan personaliti.
“Bagi saya, seorang penyanyi perlu menyeluruh, persembahan mereka harus hidup, bukan sekadar mahu bersandarkan suara semata-mata,” tegasnya lagi.
Rahsia keanggunan
Beralih kepada sisi peribadinya, isteri kepada seorang jurutera itu memberitahu, selain dunia muzik, beliau juga memegang prinsip bahawa kesihatan dan kecantikan adalah sebahagian daripada keperibadiannya.
Kongsi Sarah, ibunya adalah individu yang memainkan peranan dalam bab mengajar menjaga kecantikan diri.
“Dari usia remaja, saya sudah dipraktikkan supaya menjaga kecantikan diri.
“Sejak tingkatan empat, saya dah mula warnakan rambut selepas mak hadiahkan pewarna rambut. Sampai sekarang, saya masih jaga penampilan, termasuk senaman rutin seperti berlari,” katanya.
Selain itu, Sarah tidak mengabaikan kesihatan dengan melakukan senaman. Dedah beliau, cara itu bukan sahaja menjaga tubuh badan tetapi juga menyokong kekuatan pernafasan, sesuatu yang amat penting dalam nyanyian.
“Saya aktif ke gim awal usia 30-an. Kalau nak badan sihat, jangan pilih jalan pintas. Buat secara semula jadi. Mak saya selalu pesan, kesihatan adalah aset dan tanpa ia, kita tak boleh bekerja atau menikmati hidup, bila sihat suami pun sayang. Itu yang ibu saya selalu nasihat dan tanamkan dalam diri saya. Lagipun, sebagai guru vokal saya harus menjadi contoh terlebih dahulu,” tambahnya.
Melihatkan kepada karakter dan gayanya dalam bidang penjurian, penulis beranggapan beliau seorang yang suka bekerja. Tatkala perkara itu diajukan, beliau menidakkan hal tersebut.
“Sejak awak lagi saya sudah tetapkan, sebagai seorang isteri dan ibu, penting untuk kita menghargai masa bersama keluarga. Hujung minggu dikhususkan untuk suami dan anak, melainkan jika ada jemputan khas menjadi juri yang sukar ditolak.
“Saya mahu anak saya membesar dengan nilai yang baik. Walaupun usianya baru dua tahun lebih, saya dan suami sudah mula memperkenalkan muzik kepadanya. Kami mahu dia belajar piano namun untuk kerjayanya kelak kalau boleh saya mahu dia menjadi juruterbang,” ujarnya tersenyum sambil mengakui sehingga kini masih berusaha untuk menambah ahli keluarga jika diizinkan-NYA.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang