'Semangat mereka sentiasa ada bersama saya...' - Misha Omar

No Image Caption
A
A
A

BAGI Misha Omar, setiap pentas bukan sekadar ruang untuk berdiri dan menyanyi. Ia adalah cermin perjalanan, tempat dia menatap semula siapa dirinya hari ini, seorang wanita yang pernah jatuh, bangun dan terus percaya bahawa magis muzik mampu menyembuhkan segalanya.

Tatkala penghibur berusia 43 tahun itu mengumumkan bakal melangsungkan konsert berskala besar pada 29 November depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, ada melihat ia sekadar rutin seorang penyanyi yang mahu meraikan usia karier. 

Namun bagi pemilik nama penuh Samihah @ Aisah Omar, DiA Misha Omar bukan tentang pesta sorak dan lampu gemerlap semata-mata, sebaliknya perjalanan rohani seorang seniman yang masih belajar mencintai seninya dengan cara yang lebih matang dan tenang.

“Saya tidak mahu konsert ini jadi sekadar persembahan. Saya mahu penonton larut dalam setiap lagu, seolah-olah mereka sedang berjalan bersama saya dalam mesin masa,” ujar pelantun Bunga-Bunga Cinta itu lembut.

Ketenangan itu lahir daripada pengalaman panjang. Baginya, DiA Misha Omar adalah selebrasi kepercayaan, bukan perlumbaan.

“Tekanan itu tetap ada, tetapi kali ini saya lebih tenang. Saya mahu meraikan mereka yang mempercayai saya selama ini. Mereka yang membeli tiket, datang bukan kerana populariti, tapi kerana rasa yang saya bawa,” katanya penuh makna ketika ditemui pada majlis temu bual eksklusif bersamanya di Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Misha tidak melihat konsert sebagai satu medan pertempuran atau perbandingan konsert rakan seangkatan lain.
Misha tidak melihat konsert sebagai satu medan pertempuran atau perbandingan konsert rakan seangkatan lain.

Dalam setiap langkah persiapan, Misha mengaku dirinya kembali menjadi pelajar. Belajar vokal semula bersama Datuk Syafinaz Selamat sejak 2018 selepas melahirkan anak lelakinya, Idris, kerana menyedari suaranya berubah. 

Artikel Berkaitan:

Namun daripada kekurangan itu, dia menemui kekuatan baharu iaitu suara yang tidak sekadar tinggi nadanya, tetapi sarat rasa dan cerita.

"Selepas melahirkan Idris, suara saya seperti reset. Jadi saya ambil inisiatif untuk belajar dengan Datuk Syafinaz kerana kepercayaan yang diberikan peminat kepada saya.

“Dalam tempoh itu, saya pernah cuba menjadi seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, tapi kata Datuk Syafinaz, Misha Omar ada rasa tersendiri. Dari situ saya tahu, bukan semua perlu sama, yang penting adalah menjadi diri sendiri,” tuturnya.

Menerusi DiA Misha Omar, anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu mahu mengajak penonton menelusuri 23 tahun perjalanan kariernya dari Pulangkan, Sampai Bila, Nafas Cahaya hingga Break, karya terbaharunya yang menjadi simbol kelahiran semula. 

Dengan garapan artistik Hamzah Tahir dan susunan muzik oleh Sze Wan, persembahan itu dijanjikan penuh kejutan, malah diselitkan elemen teaterikal yang memperlihatkan sisi berbeza Misha.

Misha menyifatkan fasa selepas melahirkan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa sebagai proses untuk mempelajari semula vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat.
Misha menyifatkan fasa selepas melahirkan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa sebagai proses untuk mempelajari semula vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat.

Namun di sebalik segala glamor, ada realiti kehidupan yang tetap membumi. Misha tidak bersembunyi di sebalik imej sempurna, dia tetap isteri, ibu dan wanita biasa yang juga berlari, berlatih vokal, dan menolak 'jalan pintas' semata-mata mahu tampil cantik di pentas.

“Saya tidak mahu terlalu kurus sampai ganggu emosi. Suami pun pesan begitu. Saya lebih selesa menjadi diri sendiri, dengan keyakinan yang ada di usia ini,” katanya sambil tertawa kecil.

Dan di situlah magis Misha Omar. Antara dunia pentas dan realiti kehidupan, dia berdiri teguh, bukan kerana mahu membuktikan apa-apa, tetapi kerana masih punya cinta untuk diberikan.

Cinta kepada seni, kepada peminat, dan kepada perjalanan panjang yang membentuk dirinya hari ini.

Jejak yang ditinggalkan

Di sebalik ketenangan yang kini dimiliki, Misha tidak pernah lupa pada dua insan yang menjadi antara tiang utama perjalanan seninya iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan arwah Siti Sarah.

Adnan bukan sekadar guru vokal, tetapi kompas yang membentuk disiplin dan jiwa seorang penyanyi dalam dirinya.

Pemergian mentornya, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan rakan baiknya, arwah Siti Sarah sebagai satu tempoh sukar.
Pemergian mentornya, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan rakan baiknya, arwah Siti Sarah sebagai satu tempoh sukar.

Setiap teguran dan nasihat lelaki itu masih terngiang dalam ingatan, menjadi panduan setiap kali Misha berdiri di atas pentas.

"Alangkah seronoknya kalau mereka semua masih ada di sini bersama kita untuk menyaksikan kemanisan berjuang mengadakan konsert. 

“Sudah tentu, saya harap Abang Dee (Adnan Abu Hassan) masih ada dan lihat persembahan saya hari ini. Saya bintang yang beliau garap sewaktu saya masih ‘hijau’, dibesarkan dan diberikan lagu-lagu sehingga menjadikan versi saya yang hari ini. 

"Begitu juga dengan Sarah. Kalau dulu, di mana sahaja saya ada, arwah juga nama yang duduk sebelah-sebelah. Kalau bersiap, tempat letak kereta mesti bersebelahan. 

"Apa pun semangat mereka sentiasa ada bersama saya," tuturnya sebak.

Bagi Misha, konsert DiA Misha Omar bukan sekadar tentang perjalanan seorang penyanyi yang masih teguh berdiri, tetapi juga penghormatan kepada mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanannya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang