Alamak sembelit! Ini anda boleh buat ketika mengalaminya
Sembelit atau functional constipation (FC) adalah satu keadaan apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis. Masalah kesihatan itu merupakan salah satu gangguan gastrousus yang pernah berlaku pada setiap orang termasuklah kanak-kanak yang disebabkan oleh amalan pemakanan yang tidak baik.
Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Simon Foo Hee Wei, penyakit tersebut mempunyai kelaziman di seluruh dunia sebanyak 9.5 peratus dan menyumbang 95 peratus daripada kes sembelit kanak-kanak sihat yang berumur setahun ke atas.
Walaupun sembelit sering dianggap sebagai masalah kecil, namun jika tidak dirawat boleh membawa kepada pelbagai komplikasi gastrousus yang serius seperti koyakan pada kolon dan jangkitan saluran kencing. Bagi kanak-kanak, komplikasi ini boleh memberi kesan terhadap tumbesaran dan kualiti hidup mereka.
Menurut Affendi Isa melalui penulisannya di portal Myhealth, setiap orang mungkin akan mengalami gelaja-gejala yang berlainan. Antaranya:
- Tidak membuang air besar beberapa hari, atau membuang najis yang keras dan kering.
- Perut kembung, kejang atau sakit.
- Kurang selera makan.
- Gigi mengetap, kaki tersilang, punggung dikepit bersama, muka menjadi kemerahan apabila kanak-kanak cuba untuk menahan pembuangan najis untuk elakkan ketidakselesaan.* Sedikit cecair atau calitan najis lembut pada seluar dalam kanak-kanak.
Makanan pepejal
Sementara itu Dr Foo berkata, walaupun terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada sembelit, ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak amat terdedah untuk mendapat masalah sembelit semasa fasa utama kehidupan mereka.
“Misalnya, ketika tempoh pengenalan makanan pepejal pada usia enam bulan hingga setahun,“ ujar Dr Foo.
Berbicara lanjut soal tersebut, kata pakar itu, permulaan latihan menggunakan tandas untuk anak-anak ketika usia mereka mencecah dua hingga tiga tahun atau ketika mula masuk tadika pada usia tiga hingga lima tahun.
“Fasa ini penting kerana kanak-kanak mungkin boleh mendapat sembelit semasa tempoh latihan menggunakan tandas disebabkan tekanan mempelajari rutin baru.
“Selain itu, perubahan persekitaran seperti tandas sekolah yang tidak bersih boleh menyebabkan kanak-kanak mengelak daripada menggunakannya.
“Ini membuatkan mereka menahan diri dari membuang air besar dan berlakunya sembelit yang semakin teruk serta berada dalam kesakitan dan tekanan,“ ujarnya.
Bukan itu sahaja, kekurangan serat dan cecair dalam diet atau masalah intoleransi laktosa terhadap susu lembu turut menyumbang kepada masalah sembelit. “Peralihan daripada susu ibu kepada susu lembu boleh menyebabkan masalah sembelit bagi sesetengah bayi yang seterusnya boleh menyebabkan rekahan dubur (anal fissure) akibat najis yang besar dan keras.
“Namun, sembelit yang datang sekali-sekala adalah perkara biasa dan tidak menimbulkan kebimbangan. Bagaimanapun, ibu bapa harus berwaspada dengan tanda amaran seperti sakit perut dan kembung perut yang berterusan, kurang selera makan, penurunan berat badan atau ketidakupayaan untuk mengawal kencing,“ kongsi Dr Foo lagi.
Oleh itu, bagi membendung masalah sembelit ini, antara tip yang boleh seseorang itu amalkan seperti:
- Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buahan segar dan sayuran.
- Minum banyak air.
- Lakukan senaman secara berkala.
- Jangan menahan untuk membuang air besar.
- Tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.
- Sekiranya tabiat membuang air besar anda berubah, dapatkan pemeriksaan doktor anda.
Latihan menggunakan tandas
‘Potty training‘ atau latihan menggunakan tandas adalah fasa perkembangan kanak-kanak bersama ibu bapa. Ia penting bukan sahaja untuk menyemai rasa kebersihan dan berdikari yang baik pada diri si kecil, tetapi juga berpotensi untuk mencegah masalah kesihatan tersebut.
“Umur yang disyorkan untuk memulakan latihan tandas adalah sekitar usia empat tahun, iaitu apabila kanak-kanak boleh berjalan sendiri, kekal kering selama beberapa jam, dan boleh memahami serta mengikuti arahan dengan mudah.
“Namun begitu, Jika kanak-kanak memulakan latihan tandas terlalu awal, mereka mungkin mengaitkan pergi ke tandas dengan emosi negatif dan boleh menyebabkan mereka menahan diri dari membuang air besar. Kesannya, ia membawa kepada masalah sembelit kerana mereka kurang faham dan masih belum bersedia,“ ujar Dr Foo.
Untuk membantu memudahkan kanak-kanak ketika fasa latihan tandas, ibu bapa harus memastikan anak mereka selesa sepanjang proses latihan. Pakaikan anak dengan pakaian yang mudah dibuka sangat membantu sekiranya berdepan dengan situasi terkencing atau terbuang air besar.
Selain itu, menetapkan masa rutin harian mereka menggunakan tandas membantu anak biasakan diri dari awal. Bantuan tempat duduk khas kanak-kanak diperlukan untuk memudahkan proses ini. Ibu bapa boleh sediakan hadiah kecil sebagai ganjaran anak berjaya ke tandas sendiri.
Kesabaran ibu bapa adalah kunci kepada kejayaan latihan tandas dan juga untuk menguruskan masalah sembelit.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang