Diserang sawan ketika hamil, rupanya preeklampsia
PREEKLAMPSIA bukan biasa-biasa, kerana nyawa boleh melayang.
Pengalaman Nursyazwani Aznan menjadi bukti nyata bahawa komplikasi kehamilan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Segalanya bermula ketika kandungannya mencecah 39 minggu. Sebelum itu, semuanya kelihatan normal. Tekanan darah baik, tiada alahan dan kencing manis.
Namun, secara tiba-tiba, pada satu malam dia yang mesra disapa Wani diserang sakit kepala yang amat sangat.
“Saya cuba tidur, makan paracetamol, tetapi tetap sakit. Pukul empat pagi, saya bangun sebab rasa macam hendak pitam. Mata jadi gelap dan saya terus memanggil emak,” ceritanya.
Wani segera dibawa ke klinik dan ketika itulah dia mengalami sawan pertama. Badan kejang, mata putih dan suasana menjadi panik.
Sawan kedua berlaku dalam ambulans dan sebaik tiba di hospital, doktor membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan segera bagi menyelamatkan bayi.
“Doktor minta saya mengucap. Mereka beritahu mungkin saya tidak selamat. Saya reda, asalkan anak selamat,” katanya.

Syukur, bayi selamat dilahirkan dalam tempoh 75 minit. Wani kemudiannya ditahan di ICU selama sehari sebelum ke wad biasa.
Selepas siasatan, doktor mengesahkan uri bayinya sudah tidak berada dalam keadaan baik yang menjadi punca kepada tekanan darah meningkat dan gangguan oksigen.
Apabila uri dikeluarkan, keadaannya kembali stabil dan dia dirawat selama seminggu sebelum dibenarkan pulang.
Nasihat Wani buat ibu di luar sana, jangan mudah percaya pada nasihat orang selain pakar dengan bidangnya.
“kalau dah kena, memang nyawa kita di hujung tanduk. Preeklampsia ni memang salah satu punca kematian ibu mengandung.
“Jadi, tolong jaga diri. Ikut nasihat petugas kesihatan. Mereka tahu apa yang terbaik,” titip wanita itu lagi.
Pendarahan dalam rahim
Bagi yang belum biasa mendengar tentang preeklampsia, ia adalah masalah kesihatan yang hanya berlaku ketika hamil, biasanya selepas usia kandungan melebihi 20 minggu.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Dr Siti Aziemah Jahaya, ia berlaku apabila tekanan darah meningkat melebihi bacaan 140/90mmHG dan terdapat protein dalam air kencing.

Dalam kehamilan normal, saluran darah yang menghubungkan ibu ke uri akan mengembang untuk memastikan bekalan oksigen dan nutrien mencukupi sampai ke bayi.
“Jadi, untuk kes preeklampsia, saluran darah menjadi sempit menyebabkan tekanan darah naik dan bekalan oksigen terganggu.
“Akibatnya, uri akan mengeluarkan bahan yang mencederakan dinding salur darah, menjadikannya bocor dan membenarkan cecair masuk ke tisu badan.
“Sebab itu, ibu hamil yang mengalami preeklampsia akan mengalami bengkak di kaki, tangan dan muka,” ujar Dr Siti Aziemah.
Tambah beliau, dalam kes serius, cecair boleh terkumpul di paru-paru dan otak hingga menyebabkan sesak nafas, sakit kepala teruk, gangguan penglihatan, loya dan muntah.
Jika melibatkan buah pinggang, pengeluaran air kencing juga boleh berkurangan. Semua ini merupakan petanda yang tidak boleh diabaikan.
“Keadaan ini juga sangat membahayakan bayi. Apabila uri tidak dapat berfungsi dengan baik, pertumbuhan bayi boleh terbantut.
“Dalam situasi serius, bayi terpaksa dikeluarkan lebih awal, meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.
“Malah, terdapat juga kes uri tertanggal sebelum waktunya menyebabkan pendarahan dalam rahim yang boleh membawa maut kepada bayi jika tidak dikesan awal,” jelasnya.

Disebabkan itu, penting untuk wanita yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi membuat persediaan lebih awal, walaupun sebelum hamil.
Kawalan berat badan, tekanan darah dan kencing manis amat penting untuk mengelakkan komplikasi semasa mengandung.
Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, pemantauan berkala dan pengambilan ubat secara konsisten mengikut nasihat doktor adalah langkah wajib, bukan pilihan.
Kesimpulannya, kondisi berisiko tinggi bukan sekadar masalah tekanan darah. Ia melibatkan banyak sistem dalam badan dan boleh meragut nyawa jika tidak dirawat awal.
Pengalaman Wani boleh jadi peringatan, supaya wanita tidak abaikan tanda-tanda pelik ketika hamil. Bertindak awal boleh selamatkan dua nyawa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
