Penambahan berat badan secara mendadak antara simptom sindrom nefrotik

No Image Caption
A
A
A

BUAH pinggang merupakan antara organ paling penting dalam tubuh badan manusia.

Ia memainkan peranan penting untuk menyingkirkan sisa toksik berbahaya dan mengekalkan keseimbangan cecair, mineral serta bahan kimia dalam badan. Sisa yang telah ditapis akan bercampur dengan air dan membentuk air kencing. Oleh sebab itu, menjaga kesihatan buah pinggang adalah amat penting.

Jika berlaku kerosakan, ia boleh menjejaskan fungsi tubuh secara keseluruhan. Masalah itu bukan sahaja menimpa orang dewasa, tetapi turut melibatkan kanak-kanak. Salah satu penyakit berkaitan buah pinggang yang perlu diberi perhatian adalah sindrom nefrotik.

Sindrom nefrotik ialah satu keadaan yang mana buah pinggang mengalami kebocoran protein dalam air kencing untuk jumlah yang banyak. Keadaan ini dikenali sebagai proteinuria dan menyebabkan paras protein dalam darah, terutamanya albumin menurun. Biasanya, ia berlaku akibat kerosakan pada saluran darah kecil buah pinggang yang dipanggil glomeruli.

Glomeruli yang sihat berfungsi mengekalkan protein darah (terutamanya albumin yang penting untuk mengekalkan jumlah cecair mencukupi dalam badan) dan menapis produk sisa keluar melalui air kencing. Apabila glomeruli rosak, ia gagal menyimpan protein dan protein akan keluar daripada badan melalui air kencing yang menyebabkan sindrom nefrotik.

No Image Caption

Antara kesan yang berlaku ialah pembengkakan badan (edema), paras kolesterol yang tinggi (hiperlipidemia) dan peningkatan risiko jangkitan serta pembekuan darah. Kebocoran proteinSimptom sindrom nefrotik adalah hampir sama bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Antara gejala utama termasuklah:

Bengkak pada bahagian muka (terutama kelopak mata), kaki dan perut.

Air kencing berbuih akibat kebocoran protein.

Penambahan berat badan secara mendadak disebabkan penahanan air.

Keletihan dan kelemahan kerana kehilangan protein penting yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Darah beku (trombosis) akibat perubahan dalam sistem pembekuan darah.

Kencing berdarah. Walaupun ia jarang berlaku dan biasanya menandakan komplikasi lanjut kerana tidak dirawat awal.

Menurut Doktor Pediatrik di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor, Dr Muhammad Nor Harith Ismail, walaupun sindrom nefrotik lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak (terutamanya antara umur dua hingga enam tahun), ia juga boleh menyerang orang dewasa.

"Sindrom nefrotik boleh dikaitkan dengan pelbagai sebab. Antaranya ialah idiopatik yang mana tidak diketahui apakah puncanya seseorang individu boleh mendapat penyakit tersebut. Minimal Change Disease antara penyebab utama penyakit ini menyerang kanak-kanak.

"Mereka yang mempunyai masalah autoimun seperti Focal segmental glomerulosclerosis (FSGS) atau Membranous Nephropathy juga berisiko untuk mendapat penyakit ini," ujarnya.

Tambah beliau lagi, pesakit yang memiliki masalah hepatitis B/C, HIV atau pun malaria antara golongan yang boleh mendapat penyakit ini.

No Image Caption

"Begitu juga untuk mereka yang sedang menggunakan ubat tertentu seperti ubat tahan sakit. Akhir sekali, pesakit yang mempunyai penyakit kronik antaranya diabetes mellitus atau pun lupus," kongsi pakar itu lagi.

Untuk mendiagnosis penyakit tersebut, beberapa langkah penting perlu diambil. Antaranya:Analisis air kencing bagi memeriksa kandungan protein untuk tujuan diagnosis. Ujian darah untuk memeriksa komponen albumin, lemak, penanda keradangan dan tahap sel darah yang penting. Biopsi buah pinggang yang mana sampel tisu akan diambil dan dianalisis. Walaupun prosedur itu jarang dilakukan dan tidak semua pesakit memerlukannya.

Ujian hepatitis B, C dan HIV kerana sesetengah pesakit yang dijangkiti virus itu juga boleh mengalami sindrom nefrotik akibat kerosakan buah pinggang. Berkongsi lanjut berkenaan rawatan untuk sindrom tersebut, pakar itu mengakui, ia bergantung kepada puncanya.

"Secara umumnya, ubat steroid seperti prednisolone merupakan rawatan utama dalam kes Minimal Change Disease. "Ubat diuretik digunakan untuk mengurangkan bengkak dengan membuang lebihan cecair daripada badan. Albumin intravena pula digunakan apabila pesakit kehilangan protin dalam jumlah yang sangat tinggi.

"Dalam kes tertentu, ubat imunosupresif seperti cyclophosphamide atau rituximab mungkin digunakan jika steroid tidak berkesan atau risiko serangan berulang," jelasnya.

Kesan sampingan

Pun demikian, Dr Muhammad Nor Harith turut memberitahu, ubat prednisolone boleh menyebabkan kesan sampingan jangka panjang jika digunakan dalam tempoh lama.

"Ia termasuklah osteoporosis (tulang rapuh), kelemahan otot, peningkatan berat badan dan muka membulat (cushingoid features), tekanan darah tinggi, paras gula dalam darah meningkat (risiko diabetes) serta penurunan daya tahan tubuh terhadap jangkitan. Namun, dalam kebanyakan kes, rawatan steroid diberikan dalam tempoh tertentu sahaja dan dikurangkan secara berperingkat untuk mengelakkan kesan sampingan.

"Kebanyakan pesakit akan sembuh sepenuhnya selepas rawatan steroid, tetapi ada yang mengalami serangan berulang," jelasnya.

Dalam kes yang lebih serius seperti FSGS atau Membranous Nephropathy, rawatan hanya dapat mengawal penyakit tetapi tidak menyembuhkan sepenuhnya. Bagi kes berkaitan penyakit kronik seperti diabetes, rawatan tertumpu kepada mengawal keadaan asas bagi mengelakkan kerosakan buah pinggang yang lebih teruk.

Sekiranya tidak dirawat atau penyakit berulang berlaku dengan kerap, sindrom nefrotik boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang kronik, yang akhirnya memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Pesakit juga berisiko tinggi mendapat jangkitan serius kerana kehilangan protein penting dalam sistem imun dan risiko pembekuan darah yang boleh menyebabkan strok atau embolisme paru-paru (pulmonary embolism).

Secara umum, sindrom nefrotik jarang dapat dicegah kerana banyak kes berlaku tanpa sebab yang jelas. Namun begitu, langkah-langkah berikut boleh membantu mengurangkan risiko:

Amalkan gaya hidup sihat melalui diet seimbang, bersenam dan mengawal berat badan.

Makan makanan rendah lemak dan rendah garam.

Dapatkan nasihat doktor tentang jumlah protein dan air yang perlu diambil setiap hari.

Elakkan jangkitan kuman dengan menjaga kebersihan diri, mendapatkan vaksinasi dan merawat jangkitan dengan segera.

Kawal penyakit kronik seperti diabetes.

Pada masa sama, pakar berkenaan turut menasihati supaya pesakit menggunakan ubat secara berhemah dan mengelakkan pengambilan ubat tahan sakit secara berlebihan tanpa nasihat daripada doktor.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang