Penyakit Kawasaki: Ancaman senyap terhadap jantung anak



IBU bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak yang sebelum ini sihat tiba-tiba jatuh sakit walaupun hanya demam biasa.
Noor Safira Nafieysa Che Abdullah Suhaimi dan suaminya, Mohd Fardhir Mohd Zaki melalui detik mencemaskan apabila menyangka anak mereka, Muhammad Fareez Mateen yang berusia tiga tahun hanya demam biasa.
Kerisauan melanda apabila keadaan si kecil tidak menunjukkan perubahan dalam masa tiga hari malah bertambah teruk. Lebih membimbangkan, mata anak bertukar kekuningan, tubuhnya menjadi lemah dan kelenjar di leher membengkak.
Lantaran itu, si ayah terus membawa anaknya ke klinik untuk melakukan ujian darah. Doktor yang merawat mengesyaki penyakit Kawasaki dan memberikan surat rujukan ke hospital.
Setelah dimasukkan ke wad, ubat demam dan antibiotik yang diberikan langsung tidak berkesan. Kesihatan si kecil itu semakin merosot, bibirnya mula merekah dan berdarah.

"Pada hari ketiga menerima rawatan di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah UIAM, Kuantan, doktor memberikan ubat Imunoglobulin intravena (IVIG) sebanyak 12 botol untuk jangka waktu 12 jam.
"Alhamdulillah, pada keesokan hari anak sudah mula aktif dan berselera untuk makan” ujarnya lagi.
Hari ke lima di hospital, darah anaknya menjadi pekat dan sukar untuk doktor membuat rawatan. Oleh itu, si kecil dinasihatkan untuk mengambil ubat aspirin untuk tempoh enam minggu.
Tindakan awal ibu dan ayah mampu menyelamatkan anak ini daripada kesan yang lebih kritikal terutama masalah jantung. Penyakit Kawasaki mungkin masih asing bagi kebanyakan masyarakat.
Namun, ia tidak boleh dipandang ringan kerana merupakan sejenis penyakit radang salur darah atau vasculitis yang kerap menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Walaupun kesnya tidak banyak, namun kesan jangka panjang sangat berbahaya jika tidak dirawat dengan segera.
Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Bayi Putra Specialist Hospital, Melaka, Dr Adam Al-Anas Mat Ali, penyakit ini membabitkan kira-kira 200 hingga 300 kes bagi setiap 100 ribu kanak-kanak, terutamanya dalam kalangan bangsa Asia.

Penyakit tersebut berlaku apabila sistem imun tubuh bertindak balas secara berlebihan sehingga menyerang salur darah bersaiz sederhana, termasuk salur darah koronari di jantung.
Statistik menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih berisiko menghidapinya. Punca sebenar penyakit Kawasaki masih tidak diketahui. Ia mungkin mempunyai kaitan dengan faktor genetik.
Apa yang pasti, ia bukan penyakit berjangkit. Pembentukan darah beku Rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi serius seperti salur darah jantung yang mengembang secara tidak normal, serta pembentukan darah beku atau thrombosis yang boleh menyebabkan serangan jantung.
Penyakit ini kebiasaannya berlaku dalam tiga fasa dengan pelbagai gejala yang sering disalah anggap sebagai penyakit biasa seperti demam campak atau jangkitan virus.
Pesakit lazimnya mengalami demam berpanjangan lebih lima hari, walaupun sudah diberikan ubat demam. Mereka kelihatan lemah, tidak aktif dan hilang selera makan.
Mata menjadi merah tanpa pengeluaran tahi mata, bibir kering dan merekah, lidah berubah menjadi merah terang dan kasar, sering digambarkan sebagai lidah strawberi.
Ruam juga boleh muncul pada bahagian dada, perut atau sekitar dubur, selain bengkak dan kemerahan pada tangan serta kaki. Kelenjar limfa di leher, biasanya sebelah sahaja, turut membengkak.
Manakala kulit di hujung jari tangan dan kaki akan mula menggelupas apabila memasuki fasa seterusnya. Disebabkan gejala yang pelbagai ini, diagnosis awal sangat penting.
Ujian darah boleh membantu mengesan tanda keradangan, manakala ekokardiogram dan elektrokardiogram (ECG) digunakan untuk menilai fungsi jantung dan keadaan arteri koronari.

Sekiranya terdapat komplikasi, kanak-kanak tersebut perlu dirujuk kepada pakar jantung dan pakar penyakit berjangkit untuk pemantauan lanjut.
Rawatan utama bagi penyakit ini adalah imunoglobulin intravena (IVIG) yang diberikan melalui titisan.
Paling berkesan jika diberikan dalam tujuh hari pertama selepas bermulanya demam.
Selain itu, aspirin turut diberikan dalam dos tinggi untuk meredakan keradangan dan kemudian diteruskan dalam dos rendah bagi mencegah pembekuan darah.
Dari segi kesan jangka panjang, jika Kawasaki menjejaskan jantung, komplikasinya boleh kekal sepanjang hayat.
Antaranya ialah pembengkakan kekal pada salur darah jantung, pembentukan parut yang menyebabkan gangguan aliran darah, serta risiko serangan jantung pada usia muda.
Kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan pemantauan rapi sepanjang hayat seperti ujian ekokardiogram, imbasan CT jantung, dan angiogram.
Dalam beberapa kes, penggunaan ubat jangka panjang seperti aspirin atau ubat antikoagulan diperlukan.
Kanak-kanak yang terlibat juga mungkin perlu mengelakkan aktiviti lasak tanpa pengawasan pakar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
