Wajah berubah semasa hamil boleh jadi punca rosasea!

No Image Caption
A
A
A

FENOMENA perubahan wajah ketika hamil bukanlah sesuatu yang baharu. Namun bagi seorang wanita yang bernama Farah Faizal, pengalaman tersebut memberi kesan besar terhadap emosi dan keyakinan dirinya. 

Wanita berusia 28 tahun itu berkata, beliau mula menyedari perubahan pada kulit wajah sejak awal kehamilan. 

Pada waktu itu beliau masih belum mengetahui dirinya sedang berbadan dua. 

“Saya mula perasan muka mengalami perubahan ketika kandungan baru berusia sebulan. Ketika itu saya belum tahu saya hamil. 

"Pelbagai produk penjagaan wajah telah saya cuba, tetapi jerawat tetap tumbuh walaupun tidak terlalu teruk. 

"Saya sangkakan ia hanya masalah kulit biasa menjelang haid. Lalu teruskan rutin penjagaan wajah seperti biasa, namun setiap kali bangun tidur tetap ada jerawat kecil yang muncul,” katanya. 

Disebabkan tiada sebarang perubahan positif selepas mencuba pelbagai produk, Farah akhirnya memilih untuk berjumpa doktor. 

Hasil pemeriksaan mendapati beliau sebenarnya sedang hamil dan perubahan yang berlaku itu adalah normal bagi bakal ibu. 

Memasuki bulan kedua kehamilan, wanita itu turut menyedari perubahan ketara pada struktur wajah, terutamanya di bahagian garisan senyum. 

Katanya, sebelum ini beliau memang ada garisan senyum seperti orang lain. Namun, ia menjadi semakin ketara dan dalam. 

Apabila kandungan mencecah enam bulan, muncul pula garis halus atau kerutan pada dahi. 

Perubahan fizikal tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan dirinya. 

Namun begitu, ibu muda berkenaan bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suami, keluarga dan rakan-rakan yang memahami situasinya. 

No Image Caption


“Saya lihat ramai pempengaruh di media sosial kelihatan cantik dan berseri ketika hamil, tetapi saya sedar itu hanyalah apa yang mereka pilih untuk dikongsi. Di sebalik itu, kita tidak tahu realiti sebenar yang dilalui,” ujarnya. 

Oleh sebab itu, Farah memilih untuk berkongsi kisahnya di media sosial, khususnya di platform Twitter (kini X), sebagai usaha menyebarkan kesedaran tentang realiti sebenar kehamilan yang tidak selalu indah seperti digambarkan. 

Bakal melahirkan anak pada Julai ini, Farah menganggap kehamilan sebagai satu perjalanan yang sangat indah, meskipun penuh cabaran. 

"Selagi saya gembira bersama keluarga dan suami, itu sudah mencukupi. 

"Saya ingin menyambut kelahiran anak saya dalam suasana yang penuh dengan aura positif, bukannya dengan emosi yang negatif,” katanya mengakhiri bicara. 

Keradangan kulit muka 

SinarPlus sempat mendapatkan pandangan Pakar Klinikal Perubatan Keluarga di Management & Science University (MSU), Dr Haslina Mukhtar Aajamer. 

No Image Caption


Pakar itu menjelaskan, perubahan hormon adalah faktor utama berlakunya perubahan pada wajah wanita hamil. 

Menurutnya, kebiasaannya berlaku perubahan pada sistem imun, saluran darah dan hormon terhadap wanita hamil. 

Keadaan ini boleh menyebabkan perubahan kulit seperti jerawat, pigmentasi, penebalan kulit, radang dan perubahan pada struktur hidung. 

Katanya lagi, perubahan tersebut biasanya hanya melibatkan kawasan kulit muka tanpa menjejaskan kulit di bahagian badan yang lain. 

“Ini biasanya disebabkan oleh keadaan yang kita panggil rosasea, iaitu sejenis keradangan kulit muka,” katanya. 

Semasa hamil, hormon seperti estrogen, progesteron dan hormon gonadotropin korionik manusia (hCG) berubah-ubah. 

Ini boleh menyebabkan kulit jadi lebih berminyak atau kering, dan juga meningkatkan risiko jerawat serta flare-up ekzema atau rosasea. 

Setelah bersalin, hormon akan terus berubah dan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali ke paras normal. 

Tambah beliau, sekiranya ibu berasa terganggu dengan perubahan kulit yang berlaku, disarankan untuk mendapatkan rawatan doktor. 

“Biasanya kita sarankan beberapa jenis ubat topikal atau ubat sapu. Kalau ubat topikal gagal, kita kombinasikan dengan ubat jenis makan tapi perlu berjumpa doktor pakar,” katanya. 

No Image Caption


Justeru, penjagaan awal adalah lebih baik kerana jika dibiarkan, perubahan itu boleh menjadi lebih ketara atau kekal. 

Dr Haslina turut menyarankan agar wanita hamil menggunakan pembersih wajah yang tidak mengeringkan dan tidak merangsang kulit, mencuci muka dengan air bersuhu sederhana, serta menggunakan kosmetik dan pelindung matahari yang sesuai untuk kulit sensitif. 

Dari aspek pemakanan pula, sebaiknya wanita hamil mengelakkan makanan tinggi karbohidrat ringkas dan makanan ringan. 

"Lebihkan pengambilan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta sumber lemak yang baik seperti minyak zaitun, avokado dan minyak kelapa. 

"Tidak dilupakan, makanan tinggi protein sihat seperti ikan, ayam dan daging tanpa lemak juga penting untuk membantu kesihatan kulit dari dalam. 

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Sekiranya terdapat perubahan awal, seeloknya ditangani segera dan berjumpalah dengan doktor.



 



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang