Tak pernah aktif, tiba-tiba ikut senaman ekstrem. Hati-hati, boleh terkena rhabdomyolysis!

No Image Caption
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, kita sering mendengar berita mengenai individu yang dikejarkan ke hospital akibat melakukan senaman yang terlalu ekstrem. Salah satunya, tular bebebapa hari sebelum ini kes melibatkan seorang pempengaruh media sosial yang dimasukkan ke hospital selepas menyertai kelas berbasikal statik atau lebih dikenali sebagai spin class.

Spin class bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1970-an dan awal 80-an. Aktiviti tersebut pada asalnya digunakan dalam perubatan sukan untuk ujian prestasi atlet, tetapi kini digunakan di studio kecergasan dan pusat kesihatan sebagai salah satu bentuk senaman berkumpulan yang dilakukan di atas basikal statik dengan iringan muzik yang rancak.

Bagi yang melihatnya, sudah tentu akan timbul rasa teruja untuk menyertai senaman tersebut. Meskipun berkesan dalam membakar kalori, namun ramai yang mungkin tidak menyedari risiko tersembunyi di sebaliknya.

Terutamanya bagi mereka yang tidak biasa bersenam kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti rhabdomyolysis.Menerangkan lebih lanjut tentang penyakit ini, pengarah dan doktor perubatan dari Femma Clinic, Dr Alia Zafira Zaferi berkata, rhabdomyolysis adalah satu keadaan di mana sel otot pecah dan melepaskan kandungan selnya ke dalam saluran darah.

No Image Caption

Keadaan Ini boleh berlaku akibat kecederaan otot yang teruk, senaman yang berlebihan atau trauma.

Protein otot yang dilepaskan termasuk mioglobin, boleh merosakkan organ, terutama buah pinggang.

“Protein otot seperti myoglobin yang dilepaskan ke dalam darah boleh merosakkan ‘penapis‘ buah pinggang. “Ini boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, yang mana ia tidak dapat menapis bahan buangan dengan betul dan berpotensi membawa kepada komplikasi serius,“ katanya.

Malah kata beliau lagi, apabila keadaan tersebut berlaku, pesakit akan mula mendapat simptom awal seperti kesakitan otot yang teruk, kekejangan atau kelemahan, terutamanya selepas aktiviti fizikal berat.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila kencing mereka berubah warna menjadi gelap atau seperti teh (akibat myoglobinuria).

No Image Caption

Pada masa sama, seseorang itu juga akan mendapat keletihan yang melampau. Malah, kadangkala akan mengalami demam, merasa loya atau muntah. Berikutan simptom-simptom tersebut, pesakit yang datang membuat pemeriksaan perlu menjalani beberapa ujian bagi mengesahkan mereka mengalami rhabdomyolysis.

Antaranya, ujian darah untuk memeriksa tahap enzim otot kreatinin kinase (CK) yang sangat tinggi. Seterusnya, mereka juga perlu melalui ujian darah dan air kencing untuk melihat kehadiran mioglobin. Malah, pesakit juga perlu melakukan ujian fungsi buah pinggang untuk menilai tahap kerosakan buah pinggang.

“Apabila seseorang itu disahkan mengalami rhabdomyolysis, perkara pertama yang akan dibuat adalah penghidratan agresif melalui titisan IV (intravena) untuk membantu buah pinggang menyingkirkan toksin dalam badan.

“Selain itu, doktor juga akan melakukan pengawalan dan pemulihan tahap elektrolit yang terganggu pada pesakit.

“Jika keadaan semakin memburuk, dialisis mungkin diperlukan sekiranya kegagalan buah pinggang berlaku. Walau bagaimanapun, bagi kes yang lebih ringan, pesakit mungkin hanya memerlukan pemantauan dan rehat sahaja,“ tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Alia turut menjelaskan bahawa, tempoh pemulihan bagi pesakit yang menghidap rhabdomyolysis ini bergantung kepada keadaan yang dialami. Bagi kes ringan, mereka boleh pulih dalam beberapa hari atau minggu.

Namun, berbeza bagi kes yang lebih teruk, mungkin memakan masa berbulan untuk kembali sembuh sepenuhnya, terutama jika terdapat komplikasi pada buah pinggang.

Penyakit rhabdomyolysis juga kongsi beliau bukan berlaku disebabkan oleh spin class sahaja, sebaliknya ada pelbagai faktor lain seperti:

  • Trauma atau kecederaan fizikal yang teruk. Contohnya, kemalangan kereta.
  • Pengambilan alkohol atau dadah berlebihan.
  • Kejang otot yang berpanjangan.
  • Penyakit seperti strok atau serangan jantung.
  • Kekurangan elektrolit, dehidrasi, atau haba yang melampau.
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti statin.

Berikut cara terbaik untuk mencegah rhabdomyolysis, terutama bagi mereka yang kurang aktif bersenam:

  • Elakkan daripada melakukan senaman berlebihan secara tiba-tiba, terutamanya jika tidak biasa dengan tahap aktiviti tersebut.
  • Minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Memanaskan badan (warm up) sebelum senaman dan berehat dengan cukup antara sesi latihan yang intensif.
  • Berhati-hati dengan senaman dalam cuaca panas atau lembap.
  • Jangan mengambil suplemen atau ubat yang boleh meningkatkan risiko rhabdomyolysis tanpa nasihat doktor.

Air sememangnya penting untuk tubuh badan kita. Apabila menyentuh tentang pengambilan air secukupnya, pihak kesihatan akan mencadangkan untuk pengambilan air lapan gelas sehari bersamaan 2.5 liter.

Pengambilan air yang mencukupi amat penting untuk memastikan fungsi tubuh berjalan dengan lancar, termasuk mengekalkan suhu badan, melancarkan penghadaman, serta menyingkirkan toksin melalui air kencing dan peluh.

Selain itu, faktor seperti aktiviti fizikal, keadaan cuaca, dan tahap kesihatan individu juga boleh mempengaruhi keperluan air setiap orang.

Maka, penting untuk mendengar isyarat tubuh seperti rasa dahaga dan memastikan badan sentiasa terhidrat sepanjang hari.

“Air memang diperlukan ketika bersenam kerana ia membantu mengawal suhu badan dan menggantikan cecair yang hilang melalui peluh.

Ketika bersenam, tubuh kita lebih mudah mengalami dehidrasi, terutamanya dalam cuaca panas atau semasa latihan intensif.

“Pengambilan air yang mencukupi sebelum, semasa, dan selepas senaman dapat membantu mengekalkan prestasi optimum, mencegah kekejangan otot, serta mengurangkan risiko keletihan dan pening.

“Tanpa hidrasi yang mencukupi, tahap tenaga akan menurun dan tubuh akan lebih sukar untuk pulih selepas bersenam,“ jelas beliau.

Kesimpulannya, senaman adalah penting untuk kesihatan, namun adalah lebih baik untuk memahami had tubuh kita dan tidak terlalu mengikut arus trend semasa.

Langkah berjaga-jaga dan pencegahan boleh membantu mengelakkan keadaan serius seperti rhabdomyolysis, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru mula melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang berat.

“Mereka yang pernah mengalami rhabdomyolysis berisiko untuk mengalaminya lagi, jika faktor penyebab tidak diuruskan dengan baik.

“Pendedahan kepada senaman berlebihan atau keadaan yang sama seperti sebelum ini boleh meningkatkan risiko penyakit ini berulang,“ ujar Dr Alia lagi sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang