NAMA Han Kabir barangkali masih agak asing buat segelintir peminat industri seni, namun bakat pemuda berusia 26 tahun itu sudah menjadi perhatian ramai penggiat seni, termasuk Mimifly.

Percaya dengan hasil kerja rapper dan penulis lirik muda itu mendorong Mimifly berkolaboratif bersama Han atau nama sebenarnya Ahmad Sufian Mohd Hakim menerusi lagu terbaharu berjudul Diam.

“Semasa dalam proses saya menulis lagu Diam ini, saya amat tertarik untuk memasukan bahagian rap di dalam lagu dan Han merupakan salah seorang rapper yang saya rasa sangat sesuai untuk lagu ini kerana saya suka cara penulisan dan penyampaian rap Han.

“Masa itu saya tak mengenali pun siapa dia. Kami dipertemukan oleh komposer, Khairafik Khairudin. Bila dengar Han punya rap dan lirik terus saya tertarik.

“Saya rasa dia sangat berbakat dan berpotensi tinggi untuk pergi lebih jauh dalam industri muzik kita,” jelasnya.

Han bakat baharu yang semakin menjadi perhatian penggiat seni.

Han merupakan anak kepada pelawak dan penulis lirik tersohor tanahair, Bob Lokman, yang telah menulis lagu untuk ramai bintang-bintang lagenda tanah air seperti Kumpulan Search, Wings, Lefthanded, Ekamatra dan ramai lagi.

Berkongsi mengenai idea pembikinan lagu Diam, Mimi berkata, lagu tersebut adalah hasil nukilan bersama Mimifly, Han dan Khairafik.

Iklan

Katanya, idea lagu itu tercetus daripada pengalamannya sendiri, yang sentiasa menjadi bualan negatif pihak-pihak suka bercerita tentang perihal kehidupan orang lain.

“Ramai orang yang macam ini dalam dunia tapi tak semestinya kita perlu jadi seperti mereka. Ada banyak lagi benda yang kita perlu fikir dari bercakap tentang perkara negatif terutama sekali tentang kehidupan orang lain dan sentiasa membuat tuduhan melulu tentang mereka.

Iklan
Diam memberi interpretasi buat Mimifly.

“Dan jika kita sentiasa menjadi bahan bualan orang-orang yang bersifat negatif dan yang hanya ingin menjatuhkan orang, jangan risau, kita tak perlu buat apa-apa. Diam je, diam itu lebih berbisa dan Tuhan akan membalas segalannya,” ujarnya.

Dengarkan lagu Diam di semua platform digital bermula 2 April 2021. Muzik video Diam juga boleh ditontoni di Youtube Channel Mimifly pada hari yang sama.