Al-Razi Bapa Perubatan Islam yang sangat pemurah

Al-Razi
October 9, 2020
Nurulfatiha

NAMA Al-Razi begitu gah dalam bidang perubatan. Beliau antara tokoh Islam penting yang menjadi rujukan ramai dalam bidang itu sejak abad ke-8 lagi.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa Al-Razi hanyalah nama panggilannya sahaja. Nama sebenarnya ialah Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi. Di Barat beliau dikenali sebagai Razhes.

Menelusuri salasilahnya, ilmuan itu lahir pada tahun 251 Hijrah bersamaan 865 Masihi di Ray, utara Iran. Tidak banyak yang diketahui tentang dirinya ketika masih kecil.

Namun hasil pembacaan Sinar Islam, Al-Razi mempunyai keistimewaan tersendiri apabila pandai menyanyi dan bersyair. Beliau banyak menghabiskan masanya dalam bidang muzik ketika usia remaja.

Menginjak dewasa, minat Al-Razi terhadap muzik semakin pudar. Baginya, lebih baik melakukan perkara yang berfaedah dan tidak membazirkan masa.

Sikapnya yang sememangnya rajin membaca dan menulis membuatkan dirinya cemerlang dalam pelbagai ilmu pengetahuan seperti kimia, falsafah, logik, matematik, kedoktoran dan fizik.

Al-Razi
AL-RAZI banyak menghabiskan usianya dengan mendalami ilmu perubatan dan membantu orang.

Menjadi resam seorang ilmuan tidak sekadar menuntut ilmu semata-mata. Al-Razi juga telah telah mengembara, antaranya ke kota Baghdad, Iraq.

Ketika berkelana, usianya sudah memasuki 30 tahun. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendalami ilmu terutama dalam bidang perubatan.

Hasilnya, beliau mendapat gelaran sebagai Gale iaitu pakar pembedahan Yunan dan telah diiktiraf sebagai ahli perubatan kelas pertama.

Memasuki usia 40 tahun, kepopularannya menjadikan beliau seorang doktor merangkap saintis yang terkemuka sehinggakan Sultan Harun Al-Rasyid melantiknya menjadi sebahagian orang penting dalam pembangunan hospital Bimaristan Al-Abadi di Baghdad.

Untuk pengetahuan pembaca Sinar Islam, Ibnu Sina adalah anak didik Al-Razi.

(Artikel berkaitan: Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi)

Buta terkena asid sulfurik

Jika disingkap satu persatu, sumbangan figura itu terlalu banyak. Pun demikian, paling signifikan dan diingati adalah penggunaan ilmu kimia dalam perubatan.

Masakan tidak, Al-Razi merupakan orang pertama yang mengaplikasikan konsep berkenaan. Satu lagi sumbangannya yang tidak kurang penting adalah penemuan penyakit cacar selain mengkaji perbezaan antara penyakit cacar dan campak.

Beliau bukan bercakap melalui hujah semata-mata, tetapi dibuktikan menerusi penyelidikan empirikal.

Selain itu, Al-Razi juga menjadi individu pertama yang mengumumkan penggunaan alkohol untuk tujuan perubatan. Keintelektualannya itu dianggap sebagai paling inovatif dalam kalangan semua pakar perubatan Islam.

Maka tidak hairanlah beliau mendapat jolokan Bapa Perubatan Islam. Menarik lagi tentang Al-Razi, segala ilmu yang ada padanya dibukukan. Terdapat kira-kira 237 karya telah dihasilkan oleh beliau dalam pelbagai bidang seperti bidang muzik, politik, logik, ketuhanan, kimia, psikologi, sains, geografi, perubatan, pembedahan dan rawatan mata.

Kitab Al-Hawi merupakan karya perubatan Al-Razi yang begitu terkenal. Apa tidaknya, ia menjadi bahan rujukan terbesar terutama di Perpustakaan Fakulti Perubatan Paris di Perancis pada 1395 Masihi dan di Eropah selama beberapa abad lamanya.

Dirinya juga begitu masyhur sebagai pengasas kimia moden yang menyamai konsep kimia pada masa ini. Obsesnya beliau pada bidang itu sehingga ilmuan Islam itu dikatakan menjadi buta akibat terkena asid sulfurik ciptaannya sendiri.

Seperkara, beliau juga seorang pemurah terutamanya kepada fakir miskin. Bayangkan, mereka diberi rawatan percuma atau bayaran yang paling minimum ke atas pesakit yang datang mendapatkan khidmatnya.

PROFIL

Al-Razi
ILUSTRASI lakaran gambar Al-Razi.

Nama: Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi

Gelaran: Al-Razi, Razhes dan Bapa Perubatan Islam

Asal: Ray, Iran

Tahun kelahiran: 865 Masihi

Tahun kematian: 925 Masihi

Kepakaran: Ahli kimia, doktor, saintis perubatan dan beberapa bidang lain seperti falsafah

Sumbangan: Pengasas kimia moden, saintis pertama guna alkohol dan dadah dalam perubatan, individu pertama menemui penyakit cacar dan lain-lain

Karya agung: Al-Hawi (perubatan), al-Judari wal Hasbah (risalah kimia klinik kedoktoran), Sir al-Asrar (buku mengenai rahsia)

Sumber & Foto: Sumber Buku Meneroka Kegemilangan Saintis Islam (Dr Yazid Abdul Manap) terbitan Karya Bestari; journals.iium.edu.my, https://www.researchgate.net; republika.co.id, https://www.crystalinks.com; https://www.sciencephoto.com dan https://en.wikiquote.org/

About Nurulfatiha

Biodata Penulis