Amalkan ayat al-Quran ini untuk penawar semua penyakit. Insya-ALLAH dengan izin-NYA

Al-Quran penawar penyakit
October 1, 2020
Oleh Nurulfatiha

TIADA siapa yang mahu dirinya jatuh sakit. Apabila kesihatan terjejas, maka rutin harian juga akan terkena tempiasnya.

Pasti banyak kerja yang akan tertangguh atau langsung tidak dapat dilakukan. Malah, ia juga mungkin menyukarkan untuk kita melakukan ibadah sunat yang biasa dilaksanakan.

Namun, jika sedang diuji dengan kesakitan, maka pergilah mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar. Pada masa sama, usah mengeluh dengan ujian itu. Sabar adalah sebaik-baik tindakan.

Siapa tahu, barangkali dengan kesakitan itu akan menyebabkan dosa-dosa kita terhapus. Wallahuaklam.

Pada zaman milenial ini, pelbagai jenis penyakit yang datang 'menyerang' masyarakat tanpa mengenal usia.

Antara penyakit yang biasa kita dengar ialah darah tinggi, kencing manis, jantung, batu karang, gout, strok, buah pinggang, barah, ketumbuhan, senggugut dan macam-macam lagi.

Begitupun, ketahuilah, tiada penyakit yang tiada penawarnya kecuali mati.

Dalam al-Quran terkandung penawar untuk semua penyakit.

Iklan

Pakar perubatan Islam, Ustaz Datuk Sharhan Shafie menjelaskan, menerusi kalam ALLAH berkenaan, terselit amalan yang boleh menjadi penawar kepada penyakit.

"Sebenarnya Tuhan sebut secara spesifik dalam al-Quran penyakit yang ada dalam dada kita.

"Kepada mereka yang menghadapi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, batu karang dan seumpamanya yang disahkan oleh pakar perubatan serta bukan daripada penyakit gangguan makhluk halus, ingatlah bahawa al-Quran ada untuk merawat mereka sebenarnya," katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam TikTok milik @meeradriana baru-baru ini.

Ujar beliau, terdapat satu ayat yang begitu hebat untuk kita amalkan. Insya-ALLAH ia akan jadi penawar untuk diri kita.

Beliau kemudian membacakan sepotong ayat yang diambil daripada ayat 57, Surah Yunus.

Iklan

Ayat berkenaan berbunyi:  وَشِفَاء لِّمَا فِي الصُّدُورِ (Wa syifaul lima fis sudur). Ia membawa maksud: Penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada.

Ustaz Sharhan menganjurkan kita membaca ayat berkenaan sambil tangan diletakkan pada dada.

Al-Quran penawar penyakit
LETAKKAN tangan pada dada sambil membacakan potongan ayat 57 dalam Surah Yunus setiap kali selepas menunaikan solat.

"Ini kerana, dalam dada itu terdapat jantung dan pelbagai organ penting lain.

"Maka, bacalah potongan ayat itu setiap kali lepas solat dengan meletakkan tangan pada dada.

"Yakinlah kepada ALLAH dan usahlah mempercayai perkara-perkara khurafat," nasihatnya.

Jom kita cuba lakukan amalan ini. Insya-ALLAH, penyakit yang dihidapi akan sembuh dengan izin-NYA.

Apa-apapun, segala nasihat doktor dan preskripsi ubat yang diambil jangan pula dibiarkan begitu sahaja. Biarlah kedua-duanya bergerak seiring dalam memberikan kesan yang baik.

Setelah berusaha untuk menerima rawatan, makan ubat dan mengamalkan bacaan potongan ayat al-Quran tadi, bertawakal dan berserahlah kepada ALLAH SWT.

 Sumber: TikTok @meeradriana

About Nurulfatiha

Biodata Penulis