APABILA kita melihat adik sendiri ataupun rakan baik kita buat salah, laju sahaja kita menegur mereka.

Maklum sahajalah, mereka antara insan yang paling hampir dengan kita. Tambahan pula, kita rasa bertanggungjawab untuk menegur kesilapan yang mereka lakukan.

Sudah tentulah kita tidak mahu mereka terus hanyut dengan kekhilafan masing-masing. Masakan tidak, siapa yang sanggup melihat insan kesayangan mereka memilih jalan yang salah lebih-lebih lagi jika melibatkan dengan urusan kehidupan masing-masing.

Namun begitu, bagi orang yang lebih tua usianya daripada kita, jarang sekali kita ingin membuat teguran. Lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, mak cik, pak cik, abang atau kakak masing-masing.

Bukan apa, bimbang jika dikatakan derhaka atau dilabel sebagai ‘budak nak mengajar orang tua’ pula.

Sebagai seorang anak, tidak bolehkah kita menegur ibu bapa yang ada melakukan kesalahan?

Menjawab persoalan itu, pendakwah terkemuka, Azhar Idrus menjelaskan, seorang anak dibolehkan untuk menasihati ibu bapanya andai mereka ada berbuat kesalahan.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Jangan kata tak boleh. Sebagai ibu bapa, jangan pula kita rasa diri kita terlalu hebat sehinggakan orang lain tidak boleh hendak beri nasihat kepada kita.

“Begitu juga apabila kita seorang guru. Jangan kita kata murid tidak boleh beri nasihat. Tidak betul itu,” tegasnya sebagaimana yang dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram jom_dakwah baru-baru ini.

Dalam bab nasihat itu, ujar Azhar Idrus, Islam menggariskan adab yang perlu dipelihara terutama teguran yang diberikan kepada orang tua.

“Kepada anak yang ingin memberi nasihat kepada ibu bapa, kena jaga adab. Antara adabnya adalah tak boleh tinggi suara dan tidak boleh bernada suara kuat atau menengking.

Anak nasihat ibu bapa
APABILA ingin menasihati ibu bapa, jaga adab dan jangan tinggi suara dengan mereka.

“ALLAH SWT tegaskan perkara itu dalam al-Quran. Justeru, nasihatlah ibu bapa dengan sebaiknya.

Iklan

“Misalnya ketika hendak nasihatkan emak yang tidak berhijab. Cakaplah elok-elok; ‘Mak, kena pakai tudung. Kalau kita tak tutup aurat berdosa, mak.’ Cukup setakat itu sahaja dan jangan panjang-panjang,” katanya.

Ini kerana katanya, sifat orang tua sememangnya kurang gemar apabila anak muda suka bercakap panjang lebar.

“Esok, cakap lagi perkara yang sama. Siapa tahu mungkin hari yang ke-15, baru nasihat itu menusuk masuk ke dalam hatinya?,” ujarnya.

Iklan

(Artikel berkaitan: Jika masih punya ibu bapa, hadam pesanan mesra ini)

Bagaimana pula jika nasihat yang diberikan anak-anak kepada orang tua tadi dianggap sebagai derhaka?

Dalam hal itu, jelas Azhar Idrus, anak tadi tidak dikira menderhaka kerana mereka hanya menunaikan perintah kepada Pencipta-NYA.

“Derhaka itu hanya berlaku apabila anak itu menasihati ibu bapanya dengan biadap cara menegurnya,” jelas beliau.

Anak nasihat ibu bapa
SEORANG anak boleh menasihati ibu bapa dengan cara yang dianjurkan oleh Islam.

Justeru, jalankanlah tanggungjawab kita kepada ALLAH SWT dengan sebaiknya. Nasihat dan tegurlah ibu bapa secara berhemah.

Sesungguhnya, tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan dan menasihatkan andai insan kesayangan kita ada berbuat kesalahan.

Semoga bimbingan kita tadi akan memberikan mereka hidayah dan kembali ke jalan yang benar. Amin.

Sumber: Instagram jom_kuliah

Foto: Freepik