PERBEZAAN zaman memperlihatkan kebanyakan remaja perempuan masa kini mempunyai gaya penampilan yang menarik serta kemahiran bersolek yang tidak dapat disangkal.

Ada antara mereka yang menata rias diri dengan menggunakan pewarna kuku mahupun inai agar kelihatan lebih menarik.

Namun begitu, adakah golongan ini tahu tentang hukum seorang wanita yang belum berkahwin mempamerkan jari jemarinya pada bukan ajnabi?

Perkara ini sering diambil mudah oleh segelintir individu yang beranggapan bahawa mewarnakan kuku atau memakai inai adalah suatu perkara yang dibolehkan kerana ia merupakan perhiasan.

Menurut Mazhab Syafie terdapat dua pendapat mengenainya.

Pertama, wanita yang sudah berkahwin ataupun belum berkahwin diharuskan buat mereka untuk mewarnakan kuku kecuali warna hitam.

Baca juga: Suami Isteri Bermanja-Manja Pada Siang Hari Ramadan, Ini Hukumnya

Kedua, harus bagi seseorang wanita, hamba perempuan yang sudah mendapat keizinan daripada suami untuk mewarnakan kuku dengan menggunakan apa jua warna sekalipun termasuklah warna hitam.

Seterusnya menurut Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa wanita sudah berkahwin mahupun belum berkahwin dibenarkan untuk mewarnakan kuku di jari mereka.

Namun begitu, para wanita dinasihatkan untuk meneliti bahan-bahan yang terkandung di dalam pewarna dan inai celup.

Walaupun peniaga mengatakan bahawa mereka menggunakan 100 peratus daun inai dan tiada bahan kimia lain yang dicampur.

Tetapi, agak mustahil inai celup menghasilkan warna merah pekat dalam masa yang singkat sedangkan inai daun perlu menunggu selama beberapa jam untuk mendapatkan hasil yang serupa.

Menurut Ustazah Asma Harun, terdapat lambakan inai celup yang dijual di pasaran.

Jelasnya, ada jenis inai celup yang fungsinya sama seperti pewarna kuku yang hanya melapisi permukaan kulit dan kuku.

Iklan

“Cuba ambil pisau kemudian kikis kuku dan sekiranya warna inai itu hilang sehingga menampakkan warna putih isi kuku maka solat dan mandi wajibnya tidak sah.

“Hal ini kerana wuduknya tidak sah maka solatnya juga tidak sah.

“Mereka yang memakai inai daun sah untuk solat kerana inai itu meresap sehingga ke dalam kulit dan kuku,” ujar Ustazah Asma.

Sekiranya seseorang itu masih meragui status ketelapan air terhadap produk tersebut, mereka boleh merujuk kepada pihak halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Iklan

Wanita sememangnya ciptaan ALLAH yang terlahir dengan jiwa yang cintakan kecantikan.

Diharapkan agar para wanita tidak mengambil mudah terhadap bahan-bahan yang terkandung di dalam produk kosmetik yang mungkin tidak dibenarkan di dalam Islam.

Baca juga: Inai Homemade Tahan Lama, Ringkas ‘Wuduk Friendly’

Baca juga: Risau Warna Bibir Gelap, Berikut Langkah Boleh Diambil Bagi Mengatasi