MEMBACA Surah al-Kafirun sebelum tidur dapat membebaskan seseorang daripada kemusyrikan.

Pernyataan itu sesungguhnya satu kebenaran dan diperkukuhkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu telah ke tempat tidurmu pada waktu malam, maka bacalah (Surah al-Kafirun) dan tidurlah dalam keadaan kamu telah selesai membacanya, kerana ia adalah pembebasan daripada syirik.”

Dalam hadis yang lain, baginda turut bersabda: “Bacalah Surah al-Kafirun, kemudian tidurlah setelah itu, kerana sesungguhnya itu adalah pembebas (pembersih) dari syirik.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Al Hakim).


Berdasarkan hadis-hadis tersebut, Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, syirik adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang Muslim.

Dalam Surah al-Nisa, ayat 116, ALLAH telah menyatakan seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat, mereka akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak.

“Ini kerana mereka tidak akan memperoleh pengampunan daripada ALLAH SWT. Justeru, syirik adalah suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua.

Baginda melalui hadis sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik,” katanya yang juga Penasihat Syariah Harta Muslim.

Penceramah terkenal itu menambah, umat Islam bukan sahaja disarankan membaca surah hebat itu setiap hari, malah cuba menghayati isi kandungannya dengan baik agar dapat membina kekuatan dan kekentalan aqidah dalam diri.

Baca juga Nota penting di sebalik Surah al-Kafirun. Selain ditakuti iblis, ini fadilat lain yang perlu kita ketahui

Iklan


“Surah al-Kafirun juga dapat membentuk kita agar mengikhlaskan diri dalam beribadat dan menyembah hanya kepada ALLAH SWT.

“Justeru, marilah kita sama-sama memantapkan aqidah dengan mempelajarinya bersungguh-sungguh agar bebas daripada perbuatan syirik yang menghancur dan memusnahkan. Aqidah merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada ALLAH, rasul dan agama,” ujar beliau.

Iklan

 

Foto Pexels