Ibn Hazm hasilkan teori peredaran darah yang tepat 300 tahun lebih awal daripada sarjana Barat!

October 1, 2021
Oleh Lynn Mazlina

KEBANYAKAN sejarawan Eropah berpendapat, usaha keras yang dilakukan oleh para ilmuan Islam dalam bidang perubatan pada zaman keemasan Islam sekitar kurun ke-8 hingga ke-13 dianggap tidak lebih daripada pemeliharaan khazanah ilmu dari tamadun Yunani.

Dalam perihal sains anatomi jantung, paru-paru dan peredaran darah, tokoh perubatan Yunani yang dijadikan rujukan utama pada tempoh tersebut ialah Galen. Justeru, mana-mana manuskrip Arab yang mengkritik pendapatnya atau mengemukakan teori baharu, akan ditolak mentah-mentah.

Dalam teori peredaran darah, Galen antara lain merumuskan bahawa darah yang sampai ke bahagian kanan jantung mengalir melalui liang-liang halus (yang tidak dapat dilihat dalam septum jantung) ke bahagian kiri jantung yang bercampur dengan udara yang kemudiannya terus ke seluruh tubuh.

Ribuan tahun lamanya pandangan berkenaan diterima, sehinggalah muncul beberapa penyelidik perubatan seperti Michael Servetus, Realdo Colombo, Andreas Vesalius dan William Harvey yang menyangkal teori liang halus Galen.


Bagaimanapun, dunia perubatan disifatkan ketinggalan kerana seorang pakar perubatan Islam, Ibn al-Nafis atau nama sebenarnya, Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi merupakan individu pertama yang menjelaskan sistem peredaran darah paru-paru (pulmonari) secara tepat, kira-kira 300 tahun lebih awal daripada semua tokoh Barat itu.

Ibn Al-Nafis menerusi karya agungnya bertajuk Syarah al Tashreeh al Qanoon telah menjelaskan bahawa septum iaitu dinding antara dua ruang ventrikel jantung ialah otot pembahagi yang pejal dan tidak mempunyai rongga atau bukaan untuk membenarkan aliran darah menembusi antara dua ruang jantung.


Sebagaimana yang dinyatakan oleh cendekiawan tersohor tersebut, aliran darah adalah dari ventrikel kanan ke paru-paru, yang mana udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudian meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri, lalu masuk ke dalam ventrikel kiri jantung sebelum disebarkan ke seluruh badan.

Komentar ilmuan Islam tersohor berserta bukti saintifik itu menunjukkan bahawa Ibn Al-Nafis ialah individu paling ke hadapan dalam melangkaui kebenaran teori Galen.

Meskipun penemuannya begitu menggemparkan, sejarah dunia perubatan sebenarnya tidak benar-benar mengenali beliau. Hanya pada tahun 1924, seorang ahli perubatan Mesir, Muhyo Al-Deen Altawi menemui manuskrip figura tersohor itu di Perpustakaan Negeri Prussia, Berlin, Jerman.

Iklan


Kemudian, hal tersebut telah sampai ke pengetahuan tokoh sejarah perubatan terkenal, Profesor Max Meyerhof.

Kemudian, Meyerhof telah mengiktiraf Ibn Al-Nafis sebagai individu pertama yang merungkaikan sistem peredaran darah paru-paru menerusi lukisan proses yang tepat.

 

Pemikiran yang terkehadapan

Iklan

 

Menyingkap historiografinya secara ringkas, tokoh yang sentiasa merendah diri itu dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 1213. Beliau dikenali tidak hanya sebagai pakar perubatan, tetapi seorang ahli teologi, sasterawan dan ulama Mazhab Syafie yang terkenal.

Pada usia 16 tahun, Ibn Al-Nafis telah mempelajari bidang perubatan di Hospital Nuri di Damascus selama lebih 10 tahun, sebelum berpindah ke Mesir pada tahun 1236 atas permintaan Sultan Al-Kamil, pemerintah kerajaan Islam Ayubbiyah. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perubatan di Hospital A-Naseri.

 


Sepanjang kehidupannya yang merentasi era kejatuhan Baghdad di tangan Mongolio dan juga kebangkitan kerajaan Mamluk, cendekiawan itu telah menghasilkan banyak buku yang merentasi pelbagai topik termasuk undang-undang, falsafah dan alam sekitar, selain perubatan.

Sesungguhnya, sumbangan Ibn Al-Nafis telah menunjukkan betapa ke hadapannya para cendekiawan Islam dalam meneroka ilmu pengetahuan. Sayangnya, pandangan yang meremehkan mereka telah membantutkan kemajuan yang sepatutnya dapat dicapai lebih awal.

 

Sumber dan Foto https://www.ncbi.nlm.nih.gov, Wikipedia Commons, https://www.bibalex.org/, https://www.encyclopedia.com/science/encyclopedias-almanacs-transcripts-and-maps/ibn-nafis-and-pulmonary-circulation dan UNSPLASH

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *