Ini hukum mengambil upah mengajar al-Quran… Ramai yang masih keliru

Upah mengajar al-Quran
December 15, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEJAK hujung minggu lalu, cerita tentang upah mengaji agak ‘panas’. Ramai yang memperkatakan tentang perkara tersebut terutama mereka yang menghantar anak untuk mengaji.

Semuanya gara-gara tular di media sosial tentang mesej dalam aplikasi WhatsApp berkaitan dengan upah mengaji al-Quran yang disifatkan agak mahal baru-baru ini.


Bertambah hangat lagi apabila mesej yang tular berkenaan turut membandingkan seolah-olah pengajian berkenaan kurang penting berbanding akademik.

Isu berkenaan mendapat perdebatan ramai orang. Masing-masing menyatakan pendapat tentang perkara itu hinggakan bab perihal hukum mengambil upah mengajar al-Quran turut timbul.

Ada yang mendakwa, haram mengambil upah mengajar mengaji. Segelintir orang pula berpandangan sebaliknya.

Iklan

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Apakah hukum mengambil upah mengajar al-Quran?

Menjawab persoalan berkenaan, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, terdapat khilaf dalam perihal hukum berkenaan perkara itu.

Iklan

“Sebahagian ulama seperti Ibnu Syihab al-Zuhri tidak membenarkan ambil upah daripada mengajar al-Quran.

“Sementara itu, ‘Atha’ bin Abi Rabah, Imam Malik bin Anas, Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa mengambil upah mengajar al-Quran adalah dibolehkan. Ini sekiranya telah ada syarat dan perjanjian yang dipersetujui oleh kedua belah pihak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Twitter miliknya semalam.

Upah mengajar al-Quran

Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi berkaitan mengambil upah daripada mengajar al-Quran.

Menurutnya, Imam al-Nawawi lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkan upah diambil sebagaimana yang disebut dalam Syarah Sahih Muslim dan al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran.

Sementara itu, memetik artikel di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mengambil upah daripada mengajar al-Quran adalah dibolehkan.

“Ini kerana bagi menampung kos-kos pengajian seperti usaha, pengangkutan dan masa yang ditanggung oleh guru tersebut,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel berkenaan.

(Artikel berkaitan: Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…)

Pun begitu, artikel berkenaan turut memetik nasihat Imam al-Nawawi dalam al-Tibyan bahawa kita perlu berwaspada apabila menjadikan al-Quran sebagai satu-satunya punca pendapatan dalam mencari rezeki.

Sebagai orang Islam, kita dituntut untuk sentiasa mempelajari dan mengajarkannya bagi sesiapa yang mampu.

Masakan tidak, mereka itu disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik manusia.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, ayuhlah sama-sama kita mempelajari dan mendalami kalam ALLAH dengan sebaiknya. Semoga dengan berkat al-Quran yang dibaca dan dihayati isi kandungannya, ia boleh memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR & Irsyad al-Hadith Siri ke-163: Kepentingan Mempelajari al-Quran, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik & Bernama

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis