FITRAH manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan. Tidak kiralah sama ada besar atau kecil khilaf berkenaan.

Apa tidaknya, kita bukanlah manusia yang maksum seperti para nabi dan rasul. Maka disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH SWT.

Bercakap tentang kesilapan ini, selalu kita dengar orang kata bahawa tunaikanlah solat sunat dua rakaat jika ada berbuat dosa.

Apakah memang perkara itu dianjurkan oleh Islam? Adakah nas yang menyatakan tuntutan solat sunat berkenaan?

Dalam sebuah hadis daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba ALLAH) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wuduknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan ALLAH akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Ketika mensyarahkan hadis berkenaan dalam salah satu pengajian, Shaykh Abd al-Muhsin mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat,” kata beliau.

Selain itu, Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan, hadis itu juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wuduk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. (Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183) 

Melihat perbahasan di atas, maka jelaslah bahawa dosa-dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh yang kita lakukan.

Maka, disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Bagaimanapun, bagi dosa besar, tidak cukup sekadar dengan melakukan amal soleh.

Justeru, lazimkanlah diri dengan selalu beristighfar kepada-NYA.

Mudah-mudahan segala amal soleh kita diterima dan menjadi asbab dosa kecil kita diampunkan.

Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-510: Dosa Terhapus dengan Solat Sunat, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan