Lafaz Innalillah, ramai keliru tentang perkara ini…

Lafaz innalillah
September 2, 2020
Oleh Nurulfatiha

SETIAP kali menerima berita kematian, lafaz istirja’ iaitu Innalillahi wa inna ilaihi raji’un sering diungkapkan oleh bibir kita.

Jika perkhabaran duka itu diterima daripada telefon, pasti lafaz berkenaan akan ditaip dalam gajet kita berserta ucapan takziah kepada keluarga terbabit.


Tidak kiralah apa jua situasinya, kebanyakan daripada kita akan mengucapkan lafaz istirja’ berkenaan apabila ia melibatkan kematian saudara seagama kita.

Bagi orang bukan Islam pula, frasa rest in peace atau singkatan RIP akan digunakan.

Hakikatnya, ucapan innalillah sebenarnya bukan untuk kematian orang Islam sahaja. Demikian tegas pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau Pencetus Ummah (PU) Azman menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Iklan

Memperincikan lebih lanjut, ujar PU Azman, penggunaan lafaz istirja’ sebenarnya adalah untuk musibah.

“Musibah ini banyak. Bukan mati saja. Tunang kita minta putus pun musibah juga. Kena faham betul-betul,” jelas beliau.

Lafaz innalillah
LAFAZ Innalillahi wa inna ilaihi raji’un bukan sahaja digunakan ketika menerima berita kematian, tetapi boleh diucapkan tatkala mendengar kenalan kita ditimpa musibah.

Malah, berita kematian yang melibatkan orang bukan Islam juga dikira musibah.

“Orang bukan Islam mati pun musibah juga bagi keluarga mereka.

Iklan

Innalillah ni bukan doakan kesejahteraan orang bukan Islam yang sudah meninggal, tapi pengakuan kita bahawa segala sesuatu itu dari ALLAH dan akan kembali kepada ALLAH,” terangnya.

Justeru, PU Azman atau lebih dikenali sebagai Cik Man menyarankan agar frasa RIP itu digantikan dengan ucapan Innalillah dan takziah.

“Takziah bukan doa untuk si mati. Tapi lebih kepada memberi motivasi dan semangat kepada keluarga si mati yang masih hidup sebab mereka tengah sedih.

“Jangan ucap tahniah pula,” selorohnya.

Andai kata selepas ini kita mendapat tahu kenalan kita ditimpa musibah, ucapkanlah Innalillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali).

Ia tidak kiralah sama ada musibah itu kecil atau besar (contohnya seperti kematian). Kata Imam al-Nawawi, sunat untuk kita melafazkan istirja’.

Sumber: Instagram puazmanofficial & laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis