Iklan

Rujuk al-Quran jika kita buntu atau terbeban dengan banyak masalah

Rujuk al-Quran
October 2, 2020
Nurulfatiha

SEHARUSNYA kita menjadi hamba yang bersyukur kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Sesungguhnya ia merupakan satu nikmat yang besar.

Diri kita cukup bertuah kerana telah mengenali agama suci itu sejak di dalam kandungan ibu lagi.

Iklan

Walaupun tidak perlu ‘mencari’ siapa Tuhan yang menjadikan kita kerana sudah diperkenalkan oleh ibu bapa masing-masing, namun pencarian itu tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.

Menurut Pengarah Urusan Furqanworks Sdn Bhd, Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz, umat Islam perlu menghayati kalamullah dengan sebaiknya agar ia dapat membantu memandu kehidupan ke jalan yang lurus, membentuk pemikiran dan mengajar keutamaan yang perlu diikuti.

USTAZ MOHAMMAD ASRAFF AYOB

“Dalam Surah al-Baqarah ayat 2 menyatakan, al-Quran sebagai petunjuk bagi orang yang bertakwa. Kita perlu membaca al-Quran setiap hari. Namun, jika tidak faham apa yang dibaca ia merupakan masalah besar.

“Ketahuilah, kita boleh menjadi manusia yang sangat cemerlang dan hebat sebagaimana Rasulullah SAW, jika kita betul-betul mengikuti panduan al-Quran.

Iklan

“Begitupun, bagi mereka yang berhijrah kepada agama Islam, mereka sudah pun mencari, mengkaji dan meyakini agama suci ini sebelum mengucapkan dua kalimah syahadah. Itulah antara cabaran terbesar bagi orang Islam secara keturunan,” ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Ustaz Mohammad Asraff menambah, al-Quran merupakan sumber solusi yang lengkap.

“Apabila ada masalah, kita cuba hendak selesaikan sendiri, sedangkan kita sepatutnya merujuk kepada ALLAH SWT iaitu dengan merujuk al-Quran,” katanya ketika mengulas personaliti ibadurrahman (hamba ALLAH yang MAHA PENGASIH) ke-11 iaitu menyelami kalam ALLAH berpandukan Surah al-Furqan, ayat 73.

Al-Furqan menjadi surah pilihan bagi tema Malaysia #QuranHour, Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dan Astro Oasis pada 30 Ogos lalu.

(Artikel berkaitan: Kenali 12 ciri-ciri hamba ALLAH YANG MAHA PENGASIH)

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, umat Islam tidak boleh memandai-mandai dalam mentafsir al-Quran.

“Untuk memahami al-Quran, kita perlu belajar dengan berguru. Terdapat dua cara iaitu memahami al-Quran iaitu tafsir dan tadabbur. Tafsir adalah belajar memahami al-Quran secara teknikal seperti Asbabul Nuzul, hukum fiqah, aspek bahasa Arab, kupasan hadis dan turun (ayat) sama ada di Makkah atau Madinah.

“Sementara, tadabbur pula adalah usaha untuk memahami dan meletakkan ayat ALLAH dalam konteks kehidupan kita secara peribadi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari https:/bit.ly/ibadurrahmanYouTube dan https://www.facebook.com/WorldQuranHour/.

Penulis: Fouziah Amir

 

About Nurulfatiha

Biodata Penulis