HARI-HARI yang berlalu pada bulan Ramadan seolah-olah tidak terasa. Sedar tidak sedar, kita sudahpun menjengah di pertengahan bulan yang penuh keberkatam ini.

Kemeriahan ‘pesta ibadah’ Ramadan disulami rasa kesyukuran apabila fasa pemulihan Covid-19 membuatkan kita kembali kepada kehidupan seperti sediakala, namun tetap berwaspada.

Pada tahun ini, menyaksikan kerinduan kemeriahan solat tarawih berjemaah di masjid terubat dengan pembukaan masjid untuk para jemaah mengimarahkannya.

Selain solat tarawih, bertadarus atau membaca al-Quran merupakan ibadah yang sinonim bagi umat Islam.

Seperti yang disyorkan, pada bulan yang mulia ini, ia merupakan kesempatan terbaik untuk mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, di samping mentadabbur setiap inci isi kandungan dan pengajaran daripada surah-surah di dalam kitabullah.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang dapat menjadi pembimbing kepada setiap insan ke jalan yang benar.

Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam setiap diri umat Islam meletakkan kalamullah sebagai dasar dan matlamat utama bagi tujuan hidupnya.

Melaluinya, kita dapat meraih pelbagai faedah serta hikmah daripada kemukjizatan ayat-ayat di dalamnya. Ini termasuklah teras ilmu dan nilai ketakwaan, keadilan, menjaga hubungan sesama insan, bahkan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuh tumbuhan. Begitulah sifat al-Quran iaitu kalamullah yang mulia menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

TEMAN SEJATI

Nilai dan panduan yang digagaskan dalam al-Quran sesungguhnya, sangat sesuai diterapkan pada setiap zaman dan keadaan.

Kitab al-Quran yang tiada syak di dalamnya dan menjadi panduan bagi mereka yang beriman. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”

Menjadikan al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, mendekati, mendampingi dan tidak mudah lupa dengannya.

Teman atau sahabat yang kita rapati ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia fana ini, malah ia akan menjadi teman setia kita ketika berada di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Sekiranya kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap perbuatan dan tindakan yang kita dilakukan.

Jiwa kita yang kosong akan pastinya diselubungi dengan hasutan yang akan merosakkan diri.

Oleh itu, dekatkanlah diri dengan al-Quran dan jauhilah diri kita daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia adalah musuh utama manusia.

Ini selaras dengan peringatan ALLAH SWT melalui firmannya dalam Surah al-Zukhruf, ayat 36 yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling dari pengajaran TUHAN YANG MAHA PEMURAH (al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”

Al-Quran sebagai teman sejati mencerminkan suatu manifestasi ubudiyyah yang sangat mendalam bagi diri seorang Mukmin.

Teman sejati adalah penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan ILAHI.

Teman atau sahabat yang baik akan memberi nasihat dan galakan untuk terus berada di jalan taqwa. Sekiranya tiada teman sejati yang memandu ke arah kebenaran ini, mana mungkin kita dapat menzahirkan kecintaan dan kasih sayang yang terbaik kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk memastikan al-Quran hadir dalam diri kita dan hidup kita sentiasa dipandu oleh-NYA, terdapat beberapa kaedah untuk menjadikan Al-Quran sebagai teman sejati. Antaranya:

Pertama
-Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari al-Quran, belajar membacanya, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan.

-Al-Quran ialah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat kepada segala penyakit jiwa dan hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya-NYA.

-Sesungguhnya dengan menjadikan Al-Quran sebagai teman yang sentiasa didekati, kita dijanjikan ALLAH dengan tempat yang terbaik di syurga.

Iklan

-Orang yang membaca Al-Quran diumpamakan sebagai buah yang berbau harum dan wangi disisi Allah SWT. Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang Mukmin yang selalu membaca al-Quran seperti buah utrujjah, bau dan rasanya enak. Orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran seperti raihanah, baunya harum tetapi pahit rasanya. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah hanzalah, tiada bau dan pahit rasanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kedua
-Umat islam wajib meyakini akan mukjizat Al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan oleh ALLAH SWT yang menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran.

-Untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran, seseorang itu perlu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum-hakamnya yang bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti.

Ketiga
-Bagi membuktikan persahabatan kita dengan al-Quran, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghafaz ayat-ayatnya agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani segala cabaran dalam kehidupan.

-Yakin dan percayalah bahawa bait-bait ayat yang dihafal itu bukanlah kata-kata syair atau pujangga yang sia-sia, tetapi ia adalah kalamullah yang tinggi nilainya dan mampu membimbing kita ke arah kebenaran dan ketakwaan kepada-NYA.

-Daripada Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Setiap manusia pastinya mengalami pelbagai perasaan seperti gembira, teruja, sedih, resah dan sebagainya.

Iklan

Sepayah mana pun kehidupan yang dihadapi dan seberat apapun masalah yang ditanggung, pastinya terasa lebih ringan dan damai jika ada teman yang setia bersama.

Panduan daripadanya akan membimbing kita mencari jalan keluar yang terbaik selari dengan tuntutan syarak.

Demikianlah juga hidup ini akan jadi lemah jika sebatang kara bersendirian tanpa saudara dan sahabat, maka teman yang setia hendaklah dicari untuk kebaikan hidup itu. Maka sudah tentu, al-Quran itu layak menjadi teman kita di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan bagi membimbing manusia ke jalan kebenaran dan ketakwaan kepada-NYA.

Wajib bagi setiap umat Islam menjadikan kalamullah sebagai teman sejati dengan membacanya, memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terdapat di dalamnya.

Seterusnya, kita hendaklah sentiasa merujuk al-Quran dalam apa jua perkara dan persoalan kerana ia adalah sumber petunjuk dan jalan keluar kepada segala permasalahan manusia di dunia dan akhirat.

Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Beliau juga ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM.