Wajib tutup kepala ketika masuk ke tandas? Ini yang perlu kita tahu

Tutup kepala masuk tandas
August 17, 2020
Nurulfatiha

LAZIMNYA, jika kita masuk ke dalam tandas untuk mengqada hajat, jarang sekali kita ambil sesuatu untuk menutup kepala.

Masakan tidak, segelintir orang menganggap tidak perlu melakukan sedemikian. Sebilangan orang orang hanya memandang remeh dalam hal itu.

Namun begitu, ada pandangan yang menyatakan makruh jika kita tidak menutup kepala apabila memasuki tandas.

Terdapat juga masyarakat yang menyatakan, perbuatan itu hanya dilakukan oleh Abu Bakar al-Siddiq. Jika benar ia hanya dilakukan oleh Khalifah Islam pertama itu, adakah kita boleh mengamalkannya dengan maksud mengikuti sunah khulafa’ al-rasyidin berkenaan?

Sebenarnya, apakah hukum menutup kepala apabila masuk ke dalam tandas? Apa pandangan Islam mengenai perkara ini?

Ketahuilah bahawa perbuatan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang menutup kepala apabila masuk ke dalam tandas atau bilik air ada disebutkan dalam beberapa athar (sesuatu yang disandarkan kepada nabi atau para sahabat dan sebagainya) yang sahih.

Dalam sebuah athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: “Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.” (Lihat Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96))

Bukan itu sahaja, terdapat juga riwayat lain yang menyentuh tentang bab menutup kepala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aishah RA bahawa beliau berkata: “Adalah Nabi Muhammad SAW apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Habib bin Salih, beliau berkata: “Adalah Nabi Muhammad SAW apabila masuk ke dalam tandas, baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Bagaimanapun, kedua-dua hadis yang memerihalkan tentang perbuatan menutup kepala yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW diragui dari segi status kesahihannya.

Hadis Aishah umpamanya, dinilai dhaif oleh sebahagian ulama hadis disebabkan perawi di dalam sanadnya yang dikritik, manakala hadis Habib juga dinilai dhaif kerana ia hadis mursal iaitu diriwayatkan terus daripada tabiin kepada Rasulullah SAW tanpa melalui seorang sahabat nabi.

Hanya riwayat daripada Abu Bakar al-Siddiq RA yang merupakan riwayat yang sahih, di samping diperkuatkan lagi dengan beberapa riwayat lain yang juga datang daripada beliau.

Walaupun perbuatan itu dilakukan oleh para khalifah al-Rasyidin, namun umat islam dituntut mengikut jejak langkah ataupun sunah mereka.

Rasulullah SAW secara khususnya memberikan petunjuk dan arahan kepada para sahabat untuk mengikuti Abu Bakar al-Siddiq dan juga Umar al-Khattab.

Ia berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua mengikuti dua orang selepasku iaitu Abu Bakr dan juga Umar.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Fahamilah bahawa sunah para khalifah adalah menepati sunah Nabi Muhammad SAW.

Berbalik kepada persoalan tadi, maka hukum menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas adalah mustahab iaitu sunat.

Ia bersandarkan kepada athar yang sahih daripada Abu Bakar al-Siddiq, di samping mengambil kira pandangan para ulama yang berpegang bahawa hadis dhaif juga boleh diamalkan dalam bab fadhail al-a’mal (fadhilat-fadhilat amal).

Justeru, andai kita tidak menutup kepala apabila memasuki tandas, tiada masalah.

Namun, lebih elok jika kita boleh menutup kepala, selain mengikuti sunah para khalifah al-Rasyidin. Jom sama-sama kita amalkan.

Sumber: Al-Kafi #673: Hukum Menutup Kepala Semasa Buang Air, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis