SELAMA 38 tahun mahligai cinta termasuk ketika lima tahun bersemayam di Istana Negara, utuhnya kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hampir empat dekad berkongsi hidup, AI-Sultan Abdullah secara terbuka mengakui bahawa Tunku Azizah banyak memberi semangat dan kekuatan, terutama pada awal Seri Paduka menaiki takhta sebagai ketua utama negara pada 2019.
Al-Sultan Abdullah dalam temu ramah Bernama baru-baru ini menzahirkan rasa kasih dan penghargaan begitu tinggi kepada Raja Permaisuri, insan yang teguh berdiri di sisinya mengharungi pelbagai kisah suka duka.
Wanita cekal
Yang di-Pertuan Agong melihat peranan Raja Permaisuri begitu menyerlah menyantuni rakyat jelata, kaum wanita dan golongan banduan menerusi pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.
"Sudah tentu, bagi saya Azizah telah memainkan peranan luar biasa sebagai seorang Permaisuri dan isteri. Saya perlu bersetuju dengan anda bahawa Azizah banyak memberi semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Selain itu, sebagai ibu, sebagai isteri dan saya akui banyak sokongan, dukungan dan semangat yang diberi oleh Permaisuri terhadap saya. Alhamdulillah, saya bersyukur," titah Seri Paduka, lantas mengundang senyuman manis Tunku Azizah yang berada di sisi Seri Paduka sepanjang sesi berkenaan.
Baginda disifatkan sebagai sosok seorang ibu, isteri dan Permaisuri yang cukup sempurna, malah banyak menasihati Seri Paduka dalam pelbagai perkara.
"Beliau (Tunku Azizah) menasihati saya macam ini, macam itu, (tapi) saya yang buat keputusan, bukan beliau," titah Seri Paduka berseloroh.
Tatapan penuh cinta, kucupan di pipi
Walaupun kurang sihat ketika sesi wawancara berlangsung, Tunku Azizah atau sering dipanggil 'Ji' oleh Al-Sultan Abdullah, yang kelihatan anggun mengenakan persalinan serba merah jambu, sekali sekala"menyampuk" ketika pelbagai soalan di lontar pengamal media.
Sepanjang wawancara hampir dua jam itu, jelas terpancar rasa kecintaan Al-Sultan Abdullah yang mesra dipanggil"Alam' oleh Tunku Azizah, melalui bahasa dan gerak tubuhnya, tatapan mata Seri Paduka yang sesekali melirik ke arah Tunku Azizah, begitu jua sebaliknya.
Baca juga: Tuah Missclyen kini anak angkat Raja Permaisuri Agong, alami penyakit rare Sindrom Werewolf
"Terima kasih atas khidmat Azizah kepada Raja sebagai Permaisuri," titah Seri Paduka lantas menghadiahkan kucupan mesra di pipi Tunku Azizah, tanda menghargai suri yang bertakhta di hati Al-Sultan Abdullah selama ini.
Baca juga:“Kita jangan bergaduh pasal laksa ok. Tepuk dada tanya selera”- Raja Permaisuri Agong kongsi resipi
Baca juga: Raja Permaisuri Agong bersuara desak gencatan senjata di Gaza curi perhatian, ramai zahir syukur
Dari padang polo ke jenjang pelamin
Walaupun sibuk dengan tugas hal ehwal negara dan menyantuni rakyat jelata, adakalanya mengetepikan protokol, hubungan kekeluargaan yang erat antara Seri Paduka berdua dengan kesemua paduka anakanda, menjadi model keakraban dan keutuhan institusi keluarga.
Tengku Hassanal dilahirkan untuk berkhidmat
Al-Sultan Abdullah bertitah dalam setiap program menyantuni rakyat, Seri Paduka akan berusaha membawa bersama paduka anakanda, sekali gus membolehkan mereka menyantuni dan mengenali rakyat dengan lebih dekat.
Kini,"DNA" raja dan rakyat berpisah tiada turut diwarisi anakanda, yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Esok 30 Jan, genaplah lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, maka Alam dan Ji akan kembali bersemayam di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Baca juga: 10 fakta menarik Sultan Johor, Sultan Ibrahim dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17
Ketika ditanya perancangan sekembalinya ke Pahang, Seri Paduka bertitah banyak kerja yang perlu dilakukan baginda.
"Seperti saya kata tadi, saya baru 15 hari jadi Sultan Pahang. Jadi, rakyat Pahang ternanti-nanti saya. Banyak perlu dibaiki dan dimajukan, membantu rakyat miskin, ramai lagi rakyat miskin," titah Al-Sultan Abdullah.
Mengakhiri wawancara itu, Seri Paduka berdua menzahirkan kesyukuran atas segala peluang menerajui negara selama lima tahun dan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata serta memohon kemaafan terhadap segala kekurangan.
Menjunjung kasih. Dirgahayu Tuanku.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!