'Antara jutaan takdir, ALLAH pilih kita.' Pernah tular kisah duka pemergian suami, Farah Fakhira selamat bernikah
PEMPENGARUH dan usahawan terkenal, Farah Fakhira Fakhrulruzi kembali bergelar isteri kepada seorang jurufoto bernama Ismi Haqem.
Personaliti media sosial yang memiliki 1.3 juta pengikut di Instagram itu mendedahkan telah selesai ijab dan kabul dan akan mengadakan dua majls.
"Di antara jutaan takdir, ALLAH memilih kita untuk saling menemukan. Kini, aku pulang pada seseorang yang dipanggil "rumah"@ismihqem.
"Maaf untuk mana yang kenal, Farah buat yang wajib sahaja dahulu. Untuk majlis kemudian Farah akan jemput, insya-ALLAH akan buat di Terengganu dan Selangor.
"Doakan perjalanan hidup Farah dipermudahkan, rumah tangga ini sentiasa dalam rahmat dan reda ALLAH. Tiada apa yang Farah harapkan selain doa yang baik-baik daripada semua," kongsinya.
Dalam masa yang sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu suaminya meluahkan untuk memperisterikan dirinya semasa berada di Jepun.

Namun, usahawan itu mendedahkan ia bukan keputusan yang mudah kerana bimbang tiada keserasian dan corak berfikir.
"Ketika di Jepun, dia (suami) meluahkan hasratnya kepada Farah untuk berkahwin, tetapi pada ketika itu Farah meminta masa terlebih dahulu untuk saling mengenali. Farah mahu dia memahami sejauh mana kehidupan Farah, cara Farah bekerja, serta betapa tegas dan teguhnya pendirian Farah dalam kehidupan.
"Perkahwinan bukan sekadar soal saling menyukai semata-mata, sebaliknya kedua-dua pihak perlu benar-benar memahami sejauh mana pasangan masing-masing sedang memikul tanggungjawab dan bebanan.
"Farah tidak boleh hidup dengan individu yang lambat mempelajari sesuatu, terutamanya dengan rentak kehidupan Farah yang sangat pantas. Farah juga tidak boleh hidup dengan individu yang ego dan berpendirian sendiri sedangkan dia tidak mengetahui sejauh mana berdikarinya Farah.

"Oleh itu, sejak awal lagi, Farah mesti memilih individu yang sama-sama mahu berjuang. Senang bersama, susah pun perlu bersama. Farah tidak pernah kisah untuk bermula dari sifar, cuma wajib bagi dirinya untuk belajar dengan lebih gigih dan melakukan setiap perkara dengan cepat, bukannya sekadar mengikut arus semata-mata.
"Walaupun dia anak bongsu, Farah sentiasa berpesan agar tidak membawa perangai anak bongsu dalam kehidupan Farah jika benar-benar mahu hidup bersama. Hal ini kerana Farah mahu dia sedar dan belajar betapa pentingnya seseorang itu mempunyai pendirian yang teguh serta bertanggungjawab dalam setiap keputusan kehidupannya," kongsinya.
Dalam masa yang sama, penulis bersama naskhah Aku Mahu Hidayah dan Ujian Tanpa Henti itu mendedahkan telah mengirimkan doa ke Tanah Suci agar dipermudahkan urusannya membesarkan puteri tunggalnya, Farah Hana Khawla Zaidul Ariff yang kini berusia empat bulan.
"Ini doa khas Farah akan beri kepada orang terdekat yang menunaikan haji dan umrah. Ya, doa-doa mereka yang makbul buat Farah," kongsinya.
Farah terdahulu tular kerana susulan pemergian suami daripada perkahwinan keduanya dalam keadaan memilukan sebelum sempat menimang cahaya mata pertama yang kini dalam kandungan.
Sempat meluangkan masa bersama melakukan imbasan kehamilan pada sekitar jam 1 tengah hari, Allahyarham Zaidul Ariff Abdul Malek disahkan meninggal dunia pada 31 Oktober tahun lalu ketika dikejarkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba sewaktu bermain badminton pada malam hari sama.
Farah kemudian bersalin pada 17 Mac 2026.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

