'Bismillah...'Dari bantu nenek terlantar, kini pemuda ini menjadi Imam di Amerika. Kisah inspirasi Akmal buat ramai tersentuh

SIAPA sangka, kebaikan kecil yang dilakukan dengan hati yang ikhlas hari ini mampu menjadi asbab terbukanya pintu rezeki yang tidak diduga pada masa akan datang.
Itulah yang dilalui seorang pemuda bernama Akmal Zahir ketika melakukan aktiviti sukarelawan yang biasa dilakukannya di Depok, Jawa Barat.
Ketika itu, Akmal bersama rakan-rakan sukarelawan turun padang menyantuni seorang nenek uzur yang tinggal sebatang kara tanpa waris, tanpa insan tersayang di sisi, namun tetap tabah meneruskan hidup seadanya.
Bukan sekadar datang membawa makanan dan pakaian, Akmal dan pasukannya turut mengambil inisiatif membersihkan rumah warga emas itu yang serba daif.
Melihat keadaan kesihatannya yang semakin merosot, mereka akhirnya sepakat membawa wanita tersebut ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
"Memang penat sangat masa tu. Lepas nenek selamat dimasukkan ke hospital, saya duduk luar kejap nak tenangkan diri sambil tunggu waktu Maghrib," katanya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Akmal yang berusia 24 tahun berkongsi detik ketika menerima satu mesej ringkas yang masuk ke telefonnya.
Tanpa disangka, bunyi deringan itu menjadi ‘durian runtuh’ yang turut membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.
Mesej itu mungkin ringkas, namun maknanya cukup besar dan mendalam. Tanpa dijangka, rakan Akmal menawarkan sesuatu yang di luar jangkaan bagi menggantikan tempatnya sebagai imam di Amerika Syarikat.
"Saya kasi tawaran. Mahu tak gantikan saya jadi imam di Amerika?" mesej daripada salah seorang rakannya.
Bagaimanapun pada mulanya, Akmal yang juga pernah dikenali sebagai Abd Rasul Amin masih teragak-agak untuk menerima tawaran itu.
Kekangan utama bukan pada kemampuan, tetapi kerana kurang fasih berbahasa Inggeris yang membuatkan dirinya rasa tidak yakin untuk melangkah sejauh itu.
Namun, Akmal sedar bahawa peluang seumpama itu mungkin hanya datang sekali seumur hidup tanpa berfikir panjang menerima tawaran tersebut dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.
"Jadi imam di Amerika bukan mudah. Bayar ratusan juta pun belum tentu dapat. Ini peluang yang tak datang dua kali," kata rakannya.
“Okey. Bismillahirrahmanirrahim," jawab Akmal.
Jauh di sudut hati, anak kedua daripada lapan beradik itu yakin bahawa segala yang berlaku bukan sekadar kebetulan tetapi berkat daripada kebaikan kecil yang dilakukan tanpa mengharapkana balasan.
“Setiap kebaikan yang kita lakukan, walau sekecil mana pun, akan kembali kepada kita dalam bentuk berbeza. Ia datang berlipat ganda, pada waktu dan cara yang tidak disangka-sangka,” tulisnya.
Perkongsian menyentuh hati itu meraih lebih 126,000 tanda suka di Instagram, sekali gus membuka mata ramai tentang keberkatan dalam memberi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang