Rafa hilang 72 jam di bawah jagaan pengasuh, ditemui sudah tidak bernyawa. ‘Dia masih berpakaian sama…’
OPERASI pencarian kanak-kanak berusia satu tahun akhirnya menemui noktah apabila mangsa ditemui tidak bernyawa di hadapan pintu sebuah masjid di Singkawang Tengah, Kalimantan Barat, awal pagi Jumaat tadi.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Rafa Fauzan dilaporkan hilang ketika berada di bawah pengawasan pengasuhnya pada Selasa.
Difahamkan, ketika kejadian, pengasuh yang dikenali sebagai Shellsi masuk ke dalam bilik buat seketika, manakala Rafa ketika itu berada di dapur.
Tidak lama selepas Shellsi keluar dari bilik, dia menyedari Rafa tidak lagi berada di dapur, manakala pintu belakang rumah pula didapati terbuka luas.
Kehilangan Rafa turut mencuri perhatian orang ramai, termasuk penduduk setempat yang segera berganding bahu menghulurkan bantuan dalam usaha mencarinya.
Pihak polis turut menjalankan pelbagai usaha pencarian, dibantu orang awam yang cuba menjejaki pergerakan Rafa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun, segala ikhtiar itu masih belum membuahkan hasil.
Selepas genap 72 jam operasi mencari, seorang ahli kariah menemui kanak-kanak lelaki yang dipercayai Rafa di hadapan pintu masjid ketika ingin menunaikan solat Subuh.
Memetik laporan media tempatan, Rafa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian seperti hari dia dilaporkan hilang tiga hari lalu.
Lebih menyayat hati, tubuh kecil itu didapati dipenuhi kesan kotoran seakan-akan tanah, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin pernah ditanam sebelum jasadnya diletakkan di hadapan masjid.
Menurut saksi, keadaan pintu pagar masjid juga didapati mencurigakan kerana lazimnya ditutup dan diikat dengan tali.
Namun pada pagi kejadian, pagar berkenaan didapati terbuka.
Menurut pihak berkuasa, lokasi penemuan jasad Rafa terletak kira-kira 3.5 kilometer dari kediamannya iaitu . Jika menggunakan kenderaan, perjalanan ke kawasan tersebut mengambil masa kurang daripada 10 minit.
Bagi mereka yang berjalan kaki, perjalanan dari rumah Rafa ke lokasi penemuan dipercayai mengambil masa hampir setengah jam atau lebih.
Keluarga mangsa memilih untuk tidak meneruskan prosedur bedah siasat kerana menganggap pemergian anak lelaki tercinta itu sebagai takdir yang telah tertulis.
Sumber: Tribunnews
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
