Amal 8 tip ini agar langsir sentiasa nampak baru dan tahan lama

May 5, 2020
Oleh Arziana Mohmad Azaman

LANGSIR merupakan salah satu penyeri ruang yang amat penting. Selagi tiada langsir yang digantung, ruang kelihatan seperti masih belum siap.

Selain itu langsir juga memainkan peranan untuk mengubah ‘mood’ sesebuah ruang, bergantung pada kegunaan.

SinarPlus kongsikan bagaimana untuk pastikan langsir sentiasa nampak baru tanpa perlu membeli langsir lain.

1.Bagi langsir yang menggunakan kain tebal, anda boleh menggunakan bulu yam atau fabrik pembasmi habuk. Anda boleh lap debu atau habuk melekat pada langsir. Ini boleh kita lakukan seminggu sekali terutama jika menetap di kawasan bandar. Bucu langsir boleh disedut dengan penyedut hampagas. Adakala debu-debu seumpama inilah yang menjadikan fabrik kita nampak kotor dan kelabu terutama bagi yang memilih fabrik renda kasar.

2.Sheer curtain anda menjadi kelabu? Jangan bimbang, rendam sahaja langsir anda dan biarkan semalaman. Kemudian basuh dan bilas seperti biasa. Pun begitu jika keadaannya masih agak kekuningan kerana kesan kimia cahaya matahari, tukarkan fungsinya kepada hiasan katil seperti kelambu atau pembahagi ruang. Paling penting dengan cucian sempurna ia bukan sahaja berbau wangi, segar malah bersih serta masih boleh dikitar semula.

3.Bagi yang menggunakan renda juga boleh merendam seketika dengan air panas bersama serbuk pencuci agar rongga jalinan terbuka dan membebaskan kotoran di celah-celah jalinan benang.

Iklan

4.Awas jika anda menggunakan fabrik sheer halus yang eksklusif, pastikan menggunakan mesin basuh cucian lembut agar tidak merosakkan kain.

5.Pastikan anda mencuci hanya langsir sahaja di dalam satu bekas cucian terutama jika anda membasuh langsir berwarna gelap. Ini bagi mengelakkan warnanya tidak berbelak atau luntur.

Iklan

6.Jika langsir anda mempunyai tiga panel, anda boleh menukar bahagian panel yang anda mahu dan menggantikannya dengan fabrik baru yang bersesuaian terutama di bahagian bawah yang selalunya lebih kotor dari bahagian atas.

7.Bagi yang memilih langsir klasik, tali ikatan dengan tassel usah dibasuh dengan mesin basuh. Andai kotor, memadai dengan merendam tassel tersebut semalaman. Gunakan berus gigi terpakai untuk menyental lembut segala kekotoran jika perlu.

8.Kucing anda semburkan ‘haruman’ pada langsir anda? Jangan risau, anda boleh rendam bahagian yang terkena semburan kencing kucing anda itu sahaja atau memilih untuk merendam seluruh langsir. Sebelum rendam dalam cecair cucian, sapukan bahagian yang terkena semburan kucing anda dengan ubat gigi. Biarkan dalam satu jam atau dua jam. Kemudian terus direndam dalam cecair pencuci agar bau najis kucing akan hilang dan tidak boleh dihidu oleh kucing anda.

Semoga perkongsian ini membantu dan memberi manfaat kepada semua.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH

About Arziana Mohmad Azaman