'Hukum harus dan tidak salah' - Wanita sertai misi flotila hantar bantuan ke G4z4, ini jawapan mufti

Foto: Ihsan Iylia Balqis, Farah Lee
Foto: Ihsan Iylia Balqis, Farah Lee
A
A
A

DALAM semangat sumud, sekumpulan aktivis kemanusiaan, termasuk wanita, menyertai misi flotila ke G4z4 bagi menghantar bantuan kemanusiaan. 

Antara yang menyertai ialah selebriti, pendakwah dan aktivis kemanusiaan iaitu Zizi Kirana, Ardell Aryana, Farah Lee yang turut membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul pertikaian berkaitan penglibatan wanita dalam misi yang berisiko itu. Menurut Pejabat Mufti Wilayan Persekutuan, hukumnya adalah harus iaitu perkara yang diberi kebebasan untuk dilakukan atau ditinggalkan tanpa pembalasan.

"Pada asasnya, hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negaranya adalah tidak wajib. 

"Namun begitu, pada zaman hari ini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan. 

"Oleh itu, sumbangan dan peranan mereka dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan perkara yang dituntut dan terpuji. 

"Hal ini dengan berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, hukum penyertaan wanita dalam flotila ini adalah harus dan tidak salah. 

"Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat P4lestin yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan serta bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran," kongsinya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dalam pada itu, dalam hantaran yang sama, pihaknya turut menitipkan bahawa pada asasnya hukum wanita terlibat dalam jihad peperangan adalah tidak diwajibkan. 

Hal itu kerana terdapat tujuh syarat yang ditetapkan oleh para ulama yang antaranya mestilah berjantina lelaki dan tidak diwajibkan ke atas wanita. Imam Abu Syuja’ dalam kitabnya Matn al-Ghayah wa al-Taqrib menyebutkan bahawa:

وشرائط ‌وجوب ‌الجهاد سبع خصال: الإسلام والبلوغ والعقل والحرية والذكورة والصحة والطاقة على القتال.

Maksudnya: Syarat-syarat kewajipan jihad ada tujuh perkara: Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan berkemampuan untuk berperang.

Namun, dalam Sirah Nabawiyyah dapat dilihat penglibatan kaum wanita di medan jihad walaupun bukan berperang mengangkat senjata secara langsung terhadap musuh. 

Berdasarkan hadis, kaum wanita juga terlibat dalam peperangan dengan peranan yang berbeza daripada kaum lelaki iaitu antaranya ialah memberi minum kepada para pejuang dan merawat golongan yang tercedera dari kalangan mereka.

Kaum wanita tidak terlibat dalam mengangkat senjata dalam peperangan jihad, namun begitu peranan mereka tidak kurang pentingnya dalam memastikan kejayaan sesuatu misi jihad yang dilancarkan. 

Apatah lagi apabila melibat maslahah yang lebih besar, maka didahulukan maslahah yang umum berbanding maslahah yang khusus.

Foto: Rahmad Ikhsan Sumud Nusantara
Foto: Rahmad Ikhsan Sumud Nusantara

Di samping itu, peranan yang dijalankan oleh kaum wanita ini juga dikira sebagai satu bentuk penglibatan secara langsung (mubasyarah) yang mana akan memperoleh ganjaran yang sama seperti golongan yang berjihad di jalan-NYA secara langsung.

Hal berkenaan juga ditegaskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh al-Jihad bahawa peranan wanita dalam jihad pada zaman moden ini luas dan fleksibel. Jihad tidak lagi hanya berkait dengan kekuatan jasmani tetapi memerlukan keupayaan akal yang cerdas dan kemahiran. 

Bahkan dilihat juga pihak musuh turut memanfaatkan peranan wanita dalam kekuatan ketenteraan mereka bersama dengan kaum lelaki.

Justeru, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi garis panduan dan syarat penglibatan wanita dalam usaha jihad:

1-Hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi yang sangat diperlukan dalam usaha jihad.

2-Memastikan keselamatan dan keamanan misi berkenaan terjamin serta dilindungi organisasi di samping mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemerintah dan kerajaan.

3-Menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.

Jika syarat-syarat itu dipenuhi, maka hukum penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti ini adalah harus dan dibenarkan.  Justeru sokongan dan dokongan harus diberikan kepada para peserta yang terlibat secara sukarela tersebut bagi menjayakan misi jihad yang sangat penting ini.

"Oleh yang demikian, hukum wanita keluar berjihad berdasarkan situasi dan keadaan mereka yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak adalah suatu perkara kebaikan dan mendapat pahala di sisi ALLAH SWT. 

"Lebih-lebih lagi dalam situasi genting yang dihadapi oleh rakyat P4lestin pada ketika ini yang begitu terdesak kepada pertolongan dan bantuan tidak kira daripada siapa jua yang mampu menolong mereka," kongsinya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang