Kamera AwAS dah onz! Pengguna jalan raya dinasihatkan patuh peraturan, elak duit raya melayang gara-gara saman
CUTI sekolah sudah onz dan seperti biasa ramai yang dah mula plan nak pulang ke kampung untuk sambut Hari Raya Aidiladha.
Tak kurang juga yang ambil peluang cuti panjang ni untuk ‘lari’ sekejap ke destinasi pelancongan pilihan. Sebelum itu, jangan lupa check laluan dulu ya!
Bukan apa, makin banyak kawasan kini jadi tumpuan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang aktif kesan kesalahan trafik.
Antara kesalahan yang boleh dikenal pasti termasuklah pandu laju lebih had, langgar lampu isyarat merah, potong ikut kiri dan langgar garisan berkembar.
Kecanggihan kamera AI itu pun bukan biasa-biasa tau. Siap boleh ‘hidu’ kalau anda suka-suka memandu di laluan kecemasan atau ekor kenderaan depan (tailgating) semata-mata nak cepat sampai ke destinasi.

Lagi satu, kamera AwAS juga boleh kesan kenderaan berat yang dilarang melalui jalan tertentu waktu musim perayaan dan juga kenderaan terlebih muatan yang sebenarnya cukup bahaya untuk pengguna jalan lain.
Menurut laporan Astro Awani, sistem itu akan dipertingkat dengan kaedah point-to-point, iaitu kaedah pemantauan kelajuan yang lebih menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, kaedah tersebut akan pastikan kenderaan kekal perlahan dalam satu-satu jarak, bukan sekadar ‘perlahan kejap’ depan kamera statik jer.

“Objektif kita adalah pastikan kenderaan perlahan terutama sekali bas supaya pemandu tak memecut masa turun bukit. Kaedah lama kurang berkesan, lepas kamera jer, pecut balik,” katanya.
Fasa awal akan dilaksanakan di lokasi berisiko tinggi seperti Lebuh Raya KL-Karak di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.
Beliau berharap penambahbaikan AwAS ini melalui sistem point-to-point mampu kurangkan kadar kemalangan dan tingkatkan kesedaran pemandu di seluruh negara.
Berikut antara laluan yang kini dipantau kamera AwAS membabitkan lebuh raya di Johor, Melaka, Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Tak lupa juga, pemantauan had laju di Jalan Persekutuan di Perak dan Kelantan, manakala pemantauan kesalahan lampu isyarat tertumpu di Kedah, Perak serta Kuala Lumpur.

Paling penting, kita semua kena berhati-hati masa memandu dan patuhi peraturan jalan raya, seiring usaha kerajaan nak kurangkan kemalangan jalan raya.
Satu lagi, alert ya dengan operasi khas oleh pihak berkuasa. Jangan nanti duit raya melayang sebab saman!

Menurut kenyataan media Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka akan jalankan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2025 dari 4 hingga 10 Jun nanti.
Antara strategi utama penguatkuasaan dalam operasi ni termasuk:
i) Pemeriksaan Audit Operasi Bas di depoh
ii) Ops Khas 9 Kesalahan Utama

iii) Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas) – Audit di terminal
iv) Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan
v) Ops Khas Motosikal
vi) Ops Khas Teknikal


Jadi, tolonglah rancang perjalanan betul-betul, supaya tak perlu pecut, potong membabi-buta atau buat silap sebab nak cepat sampai destinasi.

Ingat insan tersayang, pandu cermat dan pasti nyawa selamat. Raya nak seronok, bukan sedih di hospital.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

