Lagi kes bekas penuntut UPNM didera? Netizen mahukan #justiceforamirul setimpal dengan hukuman
KECOH di media sosial apabila kes kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Nashriq Othman yang dilaporkan meninggal dunia akibat lemas dikatakan akan dibuka semula.
Apa yang menarik perhatian netizen, seorang peguam yang dikenali ramai dengan kisah benar kes pencurian kotak pensil, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar mahu membela nasib arwah.
Susulan #justiceforamirul, peguam itu dilaporkan akan mengunjungi famili Allahyarham Amirul Nashriq sebagai persediaan untuk membuka semula kes tersebut.
Kes kematian remaja berusia 19 tahun berkenaan pada awalnya dilaporkan lemas selepas dikatakan bermandi-manda di salah satu kawasan rekreasi air terjun di Bentong, Pahang pada 24 Mac 2018.
Pun begitu, apa yang membuatkan famili mangsa pelik kerana hasil bedah siasat menunjukkan kesan kecederaan termasuk lebam terutamanya pada dada mangsa.
Lapor media tempatan, bapa mangsa, Othman Yusoff sebelum ini membuat laporan polis berikutan tak puas hati dengan hasil siasatan dan laporan bedah siasat yang didakwa bercanggah.
Othman kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gopeng pada 25 Mei 2018 itu selepas melihat kecederaan yang dikesan pada anaknya sebenarnya disyaki berlaku dua hari sebelum kejadian.
"Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa kejadian lemas.
“Sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior," kata bapa mangsa.
Menurut kata bapa mangsa, arwah juga sempat mengadu dipukul pada hulu hati menyebabkan rasa senak pada bahagian berkenaan.
Pada masa sama, arwah juga diminta pulang ke kampung, namun apa yang lebih mengejutkan apabila mangsa dilaporkan meninggal dunia dua hari kemudian.
Kisah arwah Amirul kembali menjadi tumpuan selepas enam pelaku kes kematian kejam penuntut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Berikut kronologi kes yang dilaporkan:
I) Ketua Polis Daerah Bentong, Superinten Yusuf Unis mengesahkan kejadian lemas yang melibatkan arwah ketika mandi bersama rakan di air terjun berkenaan.
II) Hasil siasatan, mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan gagal dikesan sebelum timbul 15 minit kemudian. Pada masa itu, rakan mangsa cuba untuk menyelamatkan tapi gagal.
III) Bapa mangsa menerima panggilan arwah meninggal dunia pada jam 5.30 petang pada 24 Mac 2018.
IV) Ibu bapa mangsa yang tiba di Hospital Bentong mendakwa arwah sudah selesai dibedah siasat tanpa kehadiran mereka.
V) Keluarga mangsa juga mendakwa sehingga kini dokumen penting seperti kad pengenalan dan barang milik mangsa masih belum diserahkan.
Rata-rata netizen yang mengikuti perkembangan kes tersebut berharap ada pembelaan sewajarnya sekiranya betul arwah Amirul adalah mangsa buli di institusi berkenaan.
Apa yang pasti, ramai yang menolak kes buli yang boleh meragut nyawa berulang lagi dan mahukan tindakan tegas daripada pihak berwajib.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang