BARU-BARU ini tular video seorang ibu yang mengamuk dan membuat siaran langsung apabila anak lelakinya dituduh mencuri di sebuah kedai serbaneka.

Disebabkan itu, ramai netizen yang mengecamnya. Itu semua gara-gara wanita berkenaan yang bertindak mengikut emosi dengan menaikkan suara kepada pekerja dan tidak berbincang secara baik dengan pihak pengurusan.

Susulan kejadian itu, empunya diri telah tampil dan membuat permohonan maaf kepada pekerja yang terlibat demi menjernihkan kembali keadaan yang sudah keruh.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, pengajaran paling penting daripada kisah itu adalah bagaimana kemarahan boleh mengundang banyak perkara negatif.

Lebih buruk lagi, ia menjejaskan nama baik dan perhubungan dengan orang lain.

Justeru, dalam hidup ini, kita harus pandai mengendalikan rasa amarah dalam diri.

Pastinya, ada dalam kalangan kita juga pernah berada dalam keadaan marah yang keterlaluan? Namun, cara mengatasinya berlainan bagi setiap individu.

Okey, tanpa membuang masa, SinarPlus nak kongsikan kepada anda beberapa tip untuk mengatasi sikap marah yang diperoleh daripada Telegram Petua dan Kesihatan.

PANDUAN UNTUK MENGATASI SIKAP MARAH

i. Mengubah posisi duduk

– Kaedah itu sangatlah bertepatan dengan satu Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu marah dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Jika tidak, maka hendaklah ia berbaring.”

ii. Mengambil wuduk

– Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis Riwayat Abi Daud)

iii. Mendiamkan diri ketika marah

– Cara mendiamkan diri mampu mengurangkan rasa marah. Hal ini kerana panas baran terjadi apabila berlakunya tindakan berterusan yang menyebabkan suasana tegang. Oleh itu, mendiamkan diri membolehkan kita mengurangkan rasa marah.

iv. Berfikiran positif

– Elakkan memekik atau bersuara lantang ketika marah kerana ia akan menyebabkan suasana menjadi tidak terkawal dan beremosi.

-Berfikirlah secara positif kerana sifat marah bukan cara penyelesaian yang bagus. Lebih baik merendahkan suara dan tidak menggunakan perkataan yang mungkin menyinggung perasaan orang lain.

v. Luahkan pada masa dan tempat yang sesuai

Iklan

– Carilah tempat untuk meluahkan masalah tanpa perlu merasa marah. Sebagai contohnya, kongsi masalah dengan teman terdekat yang boleh dipercayai.

-Setiap individu mempunyai cara tersendiri meluahkan perasaan, namun pastikan ia akhirnya membawa kebaikan kepada diri sendiri.

vi. Bawa bertenang

– Tarik nafas juga mampu mengurangkan rasa marah. Ia membolehkan kita mengawal emosi ketika marah.

Iklan

vii. Senyum

– Senyuman juga boleh mengurangkan rasa marah. Cara itu nampak senang, tetapi senyuman tidak mudah untuk diukur pada wajah orang yang berada dalam keadaan seperti itu.

Daripada panduan-panduan yang dikongsikan itu, boleh menjadikan anda daripada seorang yang pemarah kepada seorang yang lebih cool.

Banyakkan bersabar kerana ALLAH SWT akan menaikkan darjat orang mengamalkan sikap mulia itu.

Dalam Surat al-Baqarah, ayat 155-156, ALLAH berfirman: Dan KAMI pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” (Sesungguhnya, kami milik ALLAH dan kepada-NYA lah kami kembali)”