PESTA Halloween seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan segelintir masyarakat di negara ini. Jika dahulu sambutan Halloween diadakan secara besar-besaran di luar negara, kini dia disambut meriah di kalangan anak-anak muda di sini.

Memetik laporan Sinar Harian, seramai 20 lelaki berperwatakan wanita yang sedang berhibur sempena pesta Halloween ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah kelab malam di Jalan Sultan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan itu dijalankan menerusi Op Bersepadu bermula jam 10 malam bersama JAWI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Baca juga: Dr Malar tegur wanita Islam pakai tema Bollywood, jangan sampai langgar hukum agama

“Seramai 62 warga tempatan iaitu 53 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun telah diperiksa.

“Seramai 20 lelaki tempatan berusia lingkungan 22 ke 34 tahun telah dibawa balik Bahagian Penguat Kuasa JAWI kerana di samping berpakaian wanita mereka juga berlagak seperti wanita,” katanya.

Kredit foto: Life in Saudi Arabia

 

Ujar Noor Dellhan, kesemua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan sama ada pesta berkenaan ada melibatkan kegiatan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

“Pihak polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang jelas melanggar undang-undang,” ujar beliau.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun turut terpanggil menyuarakan pendapatnya tentang sambutan pesta Halloween yang kini menjadi kegilaan ramai anak-anak muda terutama yang beragama Islam. Beliau berasa sungguh kecewa dan sedih.

“Akhir-akhir ini kita melihat pesta Halloween seolah menjadi suatu budaya yang sedang dinormalisasikan. Bukan sahaja di luar negara, bahkan di negara kita sendiri, sudah mula tular di media sosial gambar-gambar anak muda Melayu Islam yang bertudung litup turut menyambut pesta ini,” kataya.

MENGAPA PESTA HALLOWEEN INI TIDAK BOLEH DISAMBUT ORANG ISLAM?

Sejarah perayaan Halloween:

-Halloween adalah perayaan sebahagian daripada penganut Kristian yang dirayakan setiap kali tibanya 31 Oktober. Bagi mereka ia bertujuan untuk memperingati orang mati termasuk golongan orang suci (saints) dan pejuang-pejuang agama (martyrs) dalam kalangan orang Kristian.

-Halloween berasal daripada istilah All Hallow’s Eve iaitu malam sebelum all hallow yang merujuk kepada malam memperingati golongan suci yang telah mati. Ia juga dikaitkan dengan syaitan, ahli sihir, hantu dan watak-watak mitos yang menakutkan.

Baca juga: ‘Joker’ mengamuk naik kereta api, cederakan 17 penumpang pada malam Halloween

Kredit foto: Pexels

-Perayaan Halloween juga asalnya dipengaruhi oleh tradisi pagan kuno, ia berkaitan pesta semaian hasil tanaman (harvest festival) yang dilakukan oleh golongan Samhain dalam kalangan kaum Celtic di Ireland dan Britain. Mereka percaya bahawa pada malam itu roh-roh orang-orang yang mati akan pulang menziarahi keluarga-keluarga mereka yang masih hidup.

-Hari ini, Halloween biasanya dirayakan dengan aktiviti seperti parti pakaian, kanak-kanak berpakaian aneh pergi rumah ke rumah sambil meminta gula-gula, menyalakan unggun api, melawat tempat-tempat berhantu, mengusik orang lain dengan pelbagai permainan (pranks), dan menyampaikan cerita-cerita seram.

-Di dalam Islam ia jelas bertentangan dengan nilai-nilai syariah Islam yang sebenar, bagi memperingati orang-orang yang telah meninggal dunia, Islam menganjurkan amalan berdoa dan membaca al-Quran.

Baca juga: Sanggup tikam mangsa 99 kali dan dibiarkan mati, ini kronologi kes remaja taasub pembunuh bersiri

Kredit foto: Pixabay

HUKUM MENYAMBUT HALLOWEEN

Hukum menyambut perayaan Halloween adalah haram. Ini kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW juga telah melarang umat Islam menyerupai kaum kafir.

Daripada Rasulullah SAW Ibn Umar r.a.,berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Telah berkata Rasulullah SAW: sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. (HR Abu Daud, hadis hasan)

Berdasarkan hadis di atas, seorang muslim itu dilarang untuk berkelakuan, meniru gaya atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah faham orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

SELANGKAH DEMI SELANGKAH IKUTI JEJAK YAHUDI DAN NASRANI

Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman.

Iklan

Sabda Baginda SAW:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يا رَسُولَ اللّٰهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ.

Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?” (HR Muslim)

“Kita amat sedih dan bimbang saat tularnya berita mengenai pesta ini yang disambut di Arab Saudi yang mana ia merupakan sebuah negara Islam. Dan yang cukup merisaukan juga saat melihat anak-anak di negara kita turut terlibat sama merayakannya.

“Pesta sebegini amat dilarang di sisi syarak kerana menyerupai perayaan orang kafir. Apabila sudah berkumpul beramai-ramai, sudah tentu berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan pendedahan aurat yang tidak terkawal dalam kalangan mereka yang menyambutnya,” jelas beliau lagi.

Baca juga: Trend “Unboxing by Husband” merosakkan, mulakan hidup berumah tangga dengan perbuatan maksiat

Kredit foto: Pixabay

PEMIMPIN ISLAM, LAKUKAN SESUATU

Tugas sebagai seorang pemimpin amat besar kerana dia memikul amanah untuk memelihara agama dan mentadbir negara dengan syariat Islam. Tanggungjawab ini amat berat dan ia mesti dipikul dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT.

“Kesimpulannya, sebagai umat yang cinta akan agama Islam, kita seharusnya menyatakan bantahan dan ketidaksetujuan terhadap apa-apa jua acara yang melibatkan maksiat dan hiburan melampau. Bantahan ini bukan sahaja kepada pesta Halloween yang berlaku di Arab Saudi sahaja.

“Semoga ALLAH SWT sentiasa membimbing para pemimpin Islam agar dapat melaksanakan amanah dengan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah. Mudah-mudahan ALLAH SWT memelihara kita dan seluruh zuriat keturunan daripada segala fitnah akhir zaman,” katanya lagi.

Iklan

MENGAPA KAUM WANITA PERLU  ELAK MENYERTAI SAMBUTAN HALLOWEEN:

Percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan.

  • Aurat wanita yang mudah terdedah apabila berasak-asak dengan ramai orang.
  • Aspek keselamatan. Mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan berbuat perkara tidak senonoh.
  • Kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti cabul dan lebih menakutkan lagi pemerkosaan.

Baca juga: Pakai niqab tapi mekap mata berlebihan, Ustazah Asma’ Harun beri teguran

Sumber: Sinar Harian,  Ustazah Asma’ Harun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit foto utama: Sinar Harian

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi