MINGGU lalu, negara dikejutkan dengan penahanan reman seorang pendakwah selebriti berusia 25 tahun bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis tahun lalu.

Kes itu tersebar dan menjadi perhatian umum setelah satu pendedahan dilakukan oleh seorang pengguna Twitter.

Media tempatan melaporkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mencederakan).

Ini kronologi yang berlaku;

26 November

Suspek ditahan sekitar jam 11 malam, selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor.

27 November

Pendakwah selebriti mula direman bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan jam 7.18 malam.

Berdasarkan laporan mangsa yang berusia berusia 23 tahun, dia dipercayai keluar dengan suspek yang dikenali menerusi Instagram kira-kira jam 8 malam, 11 September tahun lalu. Mangsa dikatakan dibawa ke sebuah kedai makan di Batu 3 Shah Alam untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

Kemudian mangsa dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penjelasan bagaimana hendak pulih daripada kemurungan. Di situ, mangsa akui dirogol dan tidak dapat melawan serta tidak tahu cara keluar dari tempat berkenaan. Suspek turut memberi amaran untuk merahsiakan. Esoknya, suspek menghantar mangsa ke lobi dan mengambil kenderaan aplikasi e-hailing untuk pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya.

Mangsa turut mengalami tekanan perasaan yang teruk sehingga dimasukkan ke Hospital Kajang serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu.

Baharudin berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan ditahan selama lima hari di wad psikiatri.

Menurutnya, pihak hospital turut memaklumkan mangsa mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat daripada kejadian dan masih menerima rawatan susulan.

30 November

– Polis terima laporan penuntut kolej dicabul.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 3.51 petang (29 November), mendakwa dicabul pendakwah selebriti.

Dilaporkan, dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, penuntut kolej swasta itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan. Semasa di rumah suspek itu, mangsa dicabul juga turut dipaksa melakukan seks oral.

Selepas kejadian itu mangsa mengalami trauma dan kini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

– Guru berusia 22 tahun pula tampil membuat laporan mendakwa menjadi mangsa rogol.

Nik Ezanee berkata, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Damansara ke atas suspek.

Katanya, setakat ini di Petaling Jaya dua laporan diterima membabitkan cabul dan rogol oleh individu berkenaan.

– Enam laporan polis diterima setakat ini.

Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, tempoh reman suspek akan tamat esok (1 Disember) namun disebabkan beberapa laporan polis yang baru diterima, perintah reman akan dipohon bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sehingga kini enam laporan polis diterima iaitu lima di Shah Alam dan satu di daerah Petaling Jaya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mencederakan).

Polis menyeru sekiranya ada mangsa mangsa lain agar jangan bimbang untuk tampil membuat laporan polis.

Berdasarkan laporan mangsa berusia 23 tahun, dia mendakwa diperkosa suspek yang mendakwa mahu membantu merawat gangguan emosi dialami pada September tahun lalu.

Baca juga Panadol bukan untuk sayur, petua tidak relevan dan boleh memudaratkan. Ini 2 cara mudah pastikan herba tahan lebih lama

Iklan

1 Disember

Reman pendakwah selebriti dilanjutkan lima hari lagi hingga Ahad ini.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Ahmad Feisal Mohd Azmi, hari ini.

– Tujuh laporan polis diterima setakat ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah menerima tujuh laporan berkaitan lelaki berusia 25 tahun itu sehingga semalam.

“Kita telah membuka kertas siasatan berhubung kes rogol, seks luar tabii dan cabul,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pendakwah selebriti ditahan polis bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu.