KEMELUT rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof dan kedua-dua isterinya menjadi perhatian ramai.

Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi nasihat bermanfaat tidak hanya sesuai untuk Syamsul dan ister-isteri,malah buat semua insan yang bergelar suami dan isteri.

Dr Zul yang memiliki kepakaran dalam bidang fatwa memberikan pandangan dan pendapat bernas tentang isu yang sedang hangat diperkatakan menerusi laman web beliau, maktabahalbakri.com.

Baca juga: ‘Moga dua isteriku tenang.’ Kongsi gambar Puteri Sarah, Ira Kazar, hantaran Instagram Syamsul Yusof jadi perhatian

Menurutnya, agama itu nasihat. Memuji sikap Syamsul dan bapa, Datuk Yusof Haslam dan seluruh masyarakat. Berikut adalah beberapa poin penting nasihat daripadaDr Zulkifli  yang boleh dijadikan panduan:

“Syabas kepada saudara Syamsul

“Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut ‘cakap-cakap belakang’ dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.

“Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.

“Syabas kepada Datuk Yusof Haslam

“Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.

“Sifat kebapaan yang dizahirkan, mengingatkan saya kepada kisah Nabi Nuh AS yang tegas dengan prinsip dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Inilah yang sewajarnya kita insafi dan kita lakukan,” katanya.

Baca juga: Lerai teka-teki, Syamsul akui sudah nikahi Ira Kazar

Tidak ketinggalan, Dr Zulkifli memberikan nasihat kepada semua yang terlibat dan wajib beriman dengan ketentuan takdir ALLAH.

“Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qada dan qadar.

Ingatlah firman ALLAH SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. ALLAH itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” Surah al-Baqarah (216)

“Ibn Kathir berkata: Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya.

“ALLAH yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita. ALLAH yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)

“Ini bersyaratkan dengan reda dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:

سَوَابِقُ الهِمَمِ لَا تَخْرِقُ أَسْوَارَ الأَقْدَارِ

Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”

“Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan ALLAH SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)

“Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Jika diberi segelas air limau yang masam, usahlah berang. Tambahkan gula secukup rasa, ukirkan senyuman yang terindah tanda terima kasih atas pemberian. Jadilah ia segelas air limau yang menyegarkan, manis dan mendamaikan bila diteguk. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan,” titipnya.

Baca juga: Suami imam keluarga, jangan biar isteri terasing, pendam rasa. Luahan Datuk Yusuf Haslam bikin ramai sebak

Dr Zulkifli turut menyentuh tentang sikap dan kelakuan anggota masyarakat yang berhadapan dengan isu kemelut rumahtangga Syamsul dan memberi peluang agar pasangan itu membina hidup baru.

Ahli Dewan Negara itu juga menyenaraikan perbuatan yang baik yang dianjurkan untuk dilakukan lelaki bergelar suami dalam mengemudi rumah tangga termasuk dalam perihal adil, pergaulan dan meluahkan kasih sayang.

“Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan. Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:

i-Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.

ii-Muasyarah (pergaulan) yang baik. Hal ini menjadi perintah Tuhan. Firman ALLAH SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

“Imam al-Zamakhsyari menjelaskan bahawa ““Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” secara umum ditafsirkan “berlaku adil dalam hal tempat tinggal dan nafkah, serta memperhalusi tutur kata.” (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/491)

“Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat.

“Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

“Kalimah muasyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128).

“iii. Zahirkan rasa kasih sayang kepada kaum keluarga dan anak-anak. Ini selaras dengan kisah Nabi bersama al-Aqra’ bin Habis RA, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah mencium al-Hasan bin Ali dan bersamanya ada seorang sahabat bernama al-Aqra‘ bin Habis al-Tamimi R.A yang sedang duduk. Lantas Al-Aqra‘ R.A berkata:

“Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun di antara mereka.” Rasulullah SAW lalu berpaling memandangnya seraya bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.” (Riwayat al-Bukhari (5997)

“Al-Hafiz Ibn Hajar dalam mengulas hadith ini, menukilkan daripada Ibn Battal yang menyebut, “Hadis ini mengandungi maksud galakan agar bersikap rahmat (perasaan belas kasihan) terhadap semua makhluk. Termasuk dalam maksud rahmat adalah sentiasa memberi makan, minum, meringankan beban dan tidak melakukan tindakan salah laku dengan memukul.” (Lihat Fath al-Bari, 10/440)

“Ingatlah anak merupakan hibah atau anugerah kurniaan Tuhan. Ia menjadi penyambung warisan kehidupan kita. Ingatlah bahawa dengan kita meninggalkan anak yang soleh merupakan aset kita di hari akhirat kelak, yang mendoakan kebaikan kepada kita.

“Jadilah suami dan bapa yang terbaik. Indikator ini telah diumumkan oleh Rasulullah SAW kepada semua dengan menyebut:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”
Riwayat al-Tirmizi (3895), Ibnu Majah (1977), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (16117), Syu’ab al-Iman (10502) dan Ibn Hibban (4177) daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma. Kata Imam al-Tirmizi: Hadis hasan sahih.

“Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya.

“Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269) Justeru, jelas bahawa hadis di atas merupakan di antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.

“Ertinya, kebaikan seseorang bukan semata-mata dinilai pada hanya memberi, menjamu, bersedekah, solat, zakat dan haji, tetapi dalam hablum min al-nas atau hubungan sesama manusia. Maka kebaikan itu melimpah dengan cara memukadimahkan kebaikan kepada kaum keluarga,” tulis Dr Zulkifli.

DR ZULKIFLI

Buat lelaki bergelar suami, jangan lupa mendapatkan restu dan reda ibu bapa. Dr Zulkifli menitipkan pesan agar sentiasa memohon maaf dan memberikan jasa bakti kepada kedua-duanya.

“Taat dan patuhlah kepadanya serta berbaktilah kepada keduanya. Sesungguhnya, inilah perintah ALLAH SWT kepada kita semua. Benarlah firman ALLAH SWT:

Iklan

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

“Syeikh al-Maraghi berkata, ALLAH SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932).

Mungkin terkesan dengan apa yang terjadi kepada selebriti berpengaruh, Dr Zulkifli turut menasihatkan warga maya agar mendoakan kebaikan buat Syamsul.

“Sebaik-baik dalam kalangan kita adalah yang mendoakan kebaikan kepada rakan kita, saudara Syamsul dan keluarganya.

“Bukan dengan tindakan seolah-olah ingin menjatuhkan dan menghancurkan rumah tangga yang telah dibina berdasarkan syarak. Antara doa yang terbaik adalah doa saudara kepada saudaranya tanpa diketahuinya seperti yang dinaskan di dalam hadis,” titip Dr Zulkifli.

Beliau turut menyentuh mengenai sifat amarah, taubat dan kewajipan memelihara solat untuk suami isteri demi menjaga kerukunan rumah tangga. Menurutnya, sikap marah adalah perlu dijauhi.

“Jangan marah kerana sifat marah boleh menghilangkan pertimbangan akal dan membawa kepada persengketaan.

“Tindakan pada ketika itu akan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan melepaskan amarah. Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

أَوْصِنِي. قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ

“Maksudnya: “Wasiatkanlah kepadaku.” Baginda pun bersabda: “Janganlah marah.” Orang itu mengulanginya beberapa dan Baginda bersabda, “Janganlah marah.” (Riwayat al-Bukhari (6116)

“Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibnu al-Tin, katanya: “Nabi SAW telah menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat dalam sabdanya, ‘Jangan marah,’ kerana marah boleh menyebabkan sikap saling memutuskan hubungan dan menghalang sikap lemah-lembut sesama manusia. Bahkan, ia dapat menyakiti orang yang dimarahi sehingga dapat mengurangkan agama.” “Untuk membantu seseorang meninggalkan marah adalah dengan segera mengingati keutamaan dan kelebihan menahan marah. Begitu juga dengan mengingati ancaman terhadap sikap marah. (Apabila hendak marah), maka berlindunglah daripada syaitan (dengan mengucapkan ‘أعُوذُ باللهِ مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجِيمِ’) dan kemudian berwudhu’. (Lihat Fath al-Bari, 29/391),” kongsi beliau.

Dr Zulkifli yang kini Pengerusi Lembaga Pengarah USIM turut menasihatkan agar warga maya tidak mengungkapkan kesilapan manusia atau tergelincir lidah.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

“Kita tidak mahu menjadi golongan yang tergelincir lidah bahkan rugi kepada diri kita sendiri.

“Ingatlah, kita semua banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang sentiasa bertaubat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

Iklan

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ ، وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Maksudnya: “Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat.”

“Riwayat al-Tirmizi (2499), Ibn Majah (4251) Ahmad (13049), Ibn Abi Syaibah (34216), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420), al-Hakim (4/244), al-Darimi (2727) dan Abu Ya’la (2922). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/92)

“Berdasarkan hadis di atas, difahami bahawa manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan. Syeikh al-Mubarakfuri berkata: ‘كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ’ yakni banyak kesalahan. Ungkapan ‘وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ’ (Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat) bermaksud mereka kembali kepada Allah dengan bertaubat daripada segala maksiat, dan sebaliknya giat dalam melakukan ketaatan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/202)

“Marilah sama-sama kita sentiasa mengulangi istighfar dan taubat. Semoga ALLAH SWT menerima taubat dan istighfar kita serta amalan baik. Bak kata pepatah Melayu, ‘uang yang keruh, ambillah yang jernih,” katanya.

Perihal memelihara solat bagi mereka yang bergelar suami isteri turut ditekankan mantan Mufti Wilayah Persekutuan ini. Ia secara tidak langsung akan mengundang rahmat dalam rumah tangga.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

“Jagalah solat antara suami isteri, terutamanya solat Tahajjud di waktu malam bagi meraih rahmat daripada ALLAH SWT. Sabda Nabi SAW:

رَحِمَ اللهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ رَشَّ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ. رَحِمَ اللهُ امْرَأَةٌ قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى رَشَّتْ فِيْ وَجْهِهِ الْمَاءَ

“Maksudnya: “Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun di tengah malam lalu solat dan membangunkan isterinya lalu isterinya pun solat. Jika isterinya enggan, maka ia memercikkan air ke wajahnya. Dan semoga ALLAH merahmati seorang isteri yang bangun di tengah malam lalu solat dan membangunkan suaminya lalu suaminya pun solat. Jika suaminya enggan, maka dia memercikkan air ke wajahnya.” [Riwayat Abu Daud (1308) dan Ibnu Majah (1336)]

“Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang diajar oleh ALLAH SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

“Semoga ALLAH SWT jadikan rumahtangga kita sentiasa aman, baik dan bahagia. Amin,” tulisnya mengakhiri nasihat.

Memang benar yang diperkatakan Dr Zulkifli. Satu persatu seolah-olah dekat di hati kita.

Ayuh sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri terutama sekali dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Semoga kebahagiaan dan keharmonian menjadi milik kita semua.

Sumber: Maktabah Al-Bakri, Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi