BIARPUN nampak tenang dan ceria, namun hakikatnya vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali masih diselubungi kesedihan selepas pemergian bonda tercinta, Fatimah Wee Abdullah @ Georgina Wee, 66, pada 14 Januari lalu.

Akui Radhi, 44, bagi mengubati kerinduan, dia sering memakai baju arwah bondanya termasuk cincin.

“Saya dan mak saya memang sangat rapat. Baju ini pun baju arwah mak saya. Saya memang selalu pakai baju dia sebab kebetulan saiz kami sama.

“Ikutkan dari dulu lagi saya selalu pakai baju mak, lebih-lebih lagi kalau saya nak buat persembahan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Selebriti Niaga Corner dan Amirul Mart Cawangan Shah Alam baru-baru ini.

Baju yang dipakai Radhi merupakan milik arwah ibunya.

Dalam pada itu, Radhi berkata, dia akan mengadakan konsert amal dalam masa terdekat bagi mengumpul dana sebanyak RM18,000 untuk melangsaikan bil perubatan hospital arwah ibunya.

Katanya, persembahan amal itu akan diadakan secara akustik di Bayang Coffee Co di Taman Tun Dr Ismail pada Mac ini. Bagaimana­pun, tarikhnya akan diumumkan kelak.

“Ibu meninggal dunia akibat kanser usus tahap empat yang dihidapinya sejak tahun lalu. Masa dapat tahu, kanser itu sudah ditahap empat.

“Semasa hayatnya, segala bil perubatan diselesaikan oleh anggota keluarga, adik beradik selain dibantu rakan-rakan.

“Walaupun pendapatan tidak menentu, sebagai anak yang agak rapat dengan arwah ibu, buat kali terakhir ini biarlah saya pula yang cuba selesaikan,” jelasnya yang masih mengharapkan budi bicara pihak hospital agar mengurangkan jumlah bayaran yang ditanggung.

Tambah Radhi, dia bersyukur kerana berpeluang menjaga ibunya termasuk menjadi orang terakhir yang membantu mengucapkan kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Iklan

“Selepas sakit, ibu tinggal bersama saya. Dapatlah saya memasak, mengemas, mengurutnya. Tetapi saya jarang keluar bekerja sebab sering bimbangkan keadaannya pada ketika itu.

“Dari duduk rumah dua tingkat, saya ambil keputu­san untuk duduk rumah setingkat. Bagaimanapun ibu tidak sempat berpindah ke rumah baharu dan meninggal di rumah saudara kami,” ujarnya.

Selain ibu, Radhi juga turut kehilangan abang sulugnya, Termidzi Razali yang meninggal dunia pada usia 48 tahun, 4 Disember lalu akibat kanser darah dan kulit.

Iklan

Aktif berniaga

Sementara itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam Selebriti Niaga Corner di Amirul Mart, Radhi menjelaskan, ia sebagai salah satu ikhtiar untuknya terus menjana pendapatan ketika ini.

“Alhamdulillah dapat bekerjasama untuk memasarkan produk keluaran rakan saya, Trisha’s Food iaitu makanan sejuk beku roti puri di semua cawangan dengan Amirul Mart.

“Selain tu, saya juga menjual madu sunah dan propolis yang dalam proses rekaan label lebih menarik untuk dipasarkan di Amirul Mart. Doakan saya berjaya,” katanya.