PEMERGIAN pengarah komedi satira tersohor, Mamat Khalid, sememangnya mengejutkan dan dirasai ramai.

Apatah lagi, figura berusia 58 tahun itu dalam persediaan memulakan penggambaran Kampung Pisang Berbuah Dua Kali yang dijangka bermula 31 Oktober ini.

Menurut Bell, dia sepatutnya berjumpa dengan Allahyarham hujung bulan ini, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan.

Mamat membantu melonjakkan semula nama Bell menerusi penampilannya sebagai Barkoba.

Mengakui terkejut dengan pemergian pengarah yang sinonim dengan francais Kampung Pisang itu, Bell atau nama penuhnya Nasrizal Ngasri sempat mencipta kenangan manis bersama Allahyarham.

“Satu kejutan dan kehilangan yang besar, bukan untuk saya sahaja tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang meminati karya-karya beliau.

“Rasa ralat juga sebab sepatutnya kami akan memulakan sekuel Kampong Pisang 31 Oktober ini, tetapi ALLAH lebih sayangkan beliau.

“Kali terakhir kami jumpa beberapa minggu lepas semasa penggambaran program memasak dan tak sangka saya berpeluang berlakon di samping Mamat Khalid dan itu merupakan kenangan yang cukup manis buat saya kerana selama ini saya hanya berpeluang berkerja di bawah arahannya,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di perkarangan rumah Mamat Khalid di Ipoh, Perak.

Tambah Bell, Allahyarham banyak membantu menaikkan semula namanya menerusi watak Barkoba yang dijayakannya bermula dari telefilem 16 Puasa.

“Beliau pernah berkata ingin menghasilkan siri 16 Puasa sehingga ke 20 Puasa, tetapi nampaknya impian itu tidak menjadi kenyataan.

“Saya harapnya karya yang ditinggalkan akan dihargai,” katanya.

Tangisan pilu Pekin

Turut sama terkesan dengan pemergian Allahyarham adalah pelakon, pengarah, Pekin Ibrahim.

Pekin mula bekerjasama dengan Mamat menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Pekin yang juga tidak dapat menahan air mata ketika ditemui berkata, Allahyarham pernah berpesan agar dia memberi tumpuan terhadap industri lakonan perfileman berbanding drama.

“Beliau juga antara orang terawal yang ambil saya berlakon dalam filem. Saya sangat terasa pemergian beliau. Hubungan kami memang rapat seperti ayah dan anak, beliau sentiasa ambil berat pasal saya, menghubungi saya untuk bertanya khabar. Kali terakhir kami berkomunikasi pada minggu lalu.

“Beliau pernah pesan supaya saya fokus pada dunia perfileman dan tidak berlakon drama. Tetapi bila ada tawaran drama, saya mesti akan maklumkan padanya,” jelas Pekin yang bergegas ke Ipoh sebaik tamat penggambaran pagi tadi.

Iklan

Khir tenang terima pemergian

Sementara itu, pelakon dan pengarah, Khir Rahman mengakui terkesima sebaik mendapat berita pemergian Mamat Khalid awal pagi tadi.

Menyifatkan Mamat mempunyai tempat tersendiri dalam dirinya, Khir berkata, faktor usia mengajarnya menerima pemergian rakannya itu dengan tenang.

Khir mengakui dia dan Mamat banyak berkongsi cerita.

“Kami banyak berkongsi cerita dan ada diantaranya hanya kami berdua sahaja yang tahu. Pemergian beliau memang mengejutkan dan tiada kata-kata yang terungkap bila saya dapat tahu dia pergi buat selamanya.

“Abang Mamat ada tempat tersendiri dalam diri saya, dia bantu lonjak nama saya dalam industri menerusi watak Jijo Alfonso Pareira Abdullah dalam filem Rock.

Iklan

“Saya memang sedih dengan pemergiannya tetapi faktor usia mengajar saya menerima semua ini dengan tenang,” katanya.

Mamat Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam, pada Ahad.

Allahyarham sebelum itu telah jatuh pengsan ketika berada di restoran miliknya, Sarang Art Hub Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.

BERITA BERKAITAN : Mamat Khalid Meninggal Dunia