LAMA tidak muncul dengan album solo, penyanyi legenda yang terkenal dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip kembali dengan Rasa.

Bercerita mengenai keistimewaan buah tangan terbaharunya, bintang kelahiran Singapura itu mengakui Rasa memiliki segala resipi terbaik yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Rasa mengandungi pelbagai cerita yang terkandung dalam perjalanan muzik saya sebagai penyanyi dan pencipta, serta bagaimana muzik saya berkembang mengikut waktu dari semasa ke semasa.

“Selain itu, album ini menceritakan bagaimana muzik disampaikan dengan penyatuan rasa di antara paduan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora serta makna,” jelasnya membuka bicara.

Tambah bintang yang bakal menginjak ke usia 69 tahun pada 15 Oktober depan, album ini diibarat sebagai cermin suaranya terhadap kehidupan  dalam fasa lebih matang lagi.

“Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan merekacipta konsep sangat menarik. Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity.

“Setiap album ada warna, karakter dan semangat yang tersendiri.

“Saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single dan kebetulan saya memiliki bahan-bahan lagu baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah Rasa,” katanya.

Semangat baharu

Pembikinan dan penerbitan album Rasa yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila penerbitan dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik Covid-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.

Iklan

Bersama band muzik pengiring Soul Journey iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan keyboardist), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) beserta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.

Ketika berada di Singapura, beliau menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik Singapura seperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.

Ramli mengakui menyiapkan album ini dalam waktu pandemik cukup mencabar kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan live show membuatkan dirinya gundah.

Iklan

“Bila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain. Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir.

“Malah semasa di studio rakaman, perasaan ketika menyanyi sangat tenang, seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baharu.

“Oleh sebab itu, Rasa mempunyai jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang,” ujarnya.