SETELAH berjaya memenangi hati penonton dengan pengisian menarik dan penuh berinformasi sepanjang bersiaran di musim yang pertama Jun tahun lalu, program sketsa dan bual bicara komedi terbitan Astro Warna, Rumah No. 107  kembali menemui peminat pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9 malam.

Masih mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air, saudara Khir Rahman yang mana turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular, Joey Daud, Ropie dan anak seni kelahiran Indonesia, Vicha.

bakal bersiaran sebanyak lapan  episod ini dengan berdurasi 90 minit setiap episod akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan.

Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato’ Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato’ Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato’ Aznil Hj. Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata : “Keputusan kami mengembalikan semula Rumah No. 107 ini setelah melihat kepada sambutan yang diberikan peminat pada musim yang lalu. Pengisiannya yang dilihat kreatif dan luar dari kotak apabila mengangkat kisah-kisah inspirasi dan juga pengalaman barisan selebriti sebelum menempa nama dalam industri ternyata berjaya menambat hati peminat.

“Walaupun berlatarbelakangkan sketsa komedi, topik-topik perbincangan yang diketengahkan Rumah No. 107 terutamanya dalam segmen ‘Pillow Talk’ telah berjaya membuka hati selebriti jemputan untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing yang tidak pernah diceritakan di mana-mana platform sebelum ini, sehingga ada ketikanya membuatkan mereka (selebriti jemputan) dan keluarga Tok K menitiskan air mata.

“Kami di barisan penerbitan berasa berbesar hati dan amat berterima kasih kerana diberikan kepercayaan oleh barisan selebriti jemputan ini untuk berkongsi secara eksklusif pengalaman masing-masing di platform Rumah No. 107.

“Segmen ini terus dikekalkan di musim ini, dan mudah-mudahan kisah-kisah menarik dari tetamu jemputan di musim ini juga akan dapat membuka mata dan memberi pengajaran buat kita semua, lagi-lagi di musim PKP ini, yang mana ramai di antara kita memerlukan kisah-kisah berbentuk inspirasi untuk dijadikan sebahagian dari panduan hidup kita.

Iklan

“Besar harapan saya agar program Rumah No. 107 ini sedikit sebanyak memberi iktibar buat kita semua, di sebalik gelak tawa yang kami sajikan ini kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Linda Onn dan Halim Othman menjadi tetamu pertama untuk program Rumah No.107, Jumaat lalu.

Berlatarkan rumah agam Tok K sebagai set utama penggambaran yang dijalankan di Cinegear Studio, Sungai Buloh, sedikit kelainan turut diterapkan apabila produksi menampilkan kumpulan pemuzik jemputan, Kristal sebagai salah satu elemen penting dalam menceriakan lagi Rumah No. 107.

Iklan

Jangan lupa saksikan Rumah No. 107 pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.