#icymi

BAYANGKANLAH setiap hari anda dapat menghirup udara segar dari pokok-pokok yang ditanam berhampiran kediaman. Lebih membuat hati rasa berbunga, tumbuhan sayuran membuahkan hasil.

Teringat saja hendak masak lauk asam pedas, korek sahaja batang serai dan kunyit yang ditanam, petik pula cili, daun limau purut  yang melambai-lambai di luar rumah.

Tak perlu bersusah payah hendak ke pasar. Tambahan pula susah hendak mendapatkan hanya segenggam bahan yang diperlukan memandangkan kebanyakan jualan di pasar sudah diikat siap dengan jumlah dan harga yang ditentukan.

Sekiranya anda menanam pokok bunga pula, sudah tentu warna-warna yang dikeluarkan fauna itu mampu membuang gundah gulana di hati.

Ya, melihat kebesaran ALLAH TAALA pada setiap ciptaan-Nya juga boleh menyingkap rahsia kelemahan dan kekerdilan diri, hingga fikiran dan emosi kita sentiasa dekat pada-NYA.

Bagi yang belum pernah berkawan dengan aktiviti berkebun, rasanya sudah sampai masanya untuk anda mencubanya. Tambahan pula waktu Covid-19 belum pulih, bukan ‘terlalu selamat’ untuk kita bergerak ke sana ke sini bagi mendapatkan hidangan sayuran buat seisi keluarga.

Selain berkebun, aktiviti tersebut juga dapat mengindahkan laman, mengisi masa lapang kita dan tidak mustahil dapat menyihatkan badan apabila menggunakan tulang empat kerat untuk menyegarkan dan menghidupkan tanaman di kebun kita.

Menariknya, Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Sunita Suhimi dalam perkongsiannya, berkebun di keliling rumah merupakan antara aktiviti sihat yang boleh mengurangkan tekanan sepanjang tempoh berada di rumah (sebelum ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan).

Ermm… bagus bukan? Oh ya, satu lagi sudah pasti aktiviti berkebun ini sedikit sebanyak membantu menjimatkan duit poket.

Tidak tahu bercucuk tanam? Jangan banyak alasan…

Jika anda baharu amatur, apa kata mulakan berkebun dengan tanaman yang mudah dan ringkas terlebih dahulu terutamanya bahan sayuran untuk kegunaan harian:

1) Tauge

Untuk permulaan dari dalam rumah, apa kata mulakan dengan tanaman pokok tauge. Dikhabarkan hanya mengambil masa tiga hari sebelum dituai, ia menggunakan bahan-bahan seperti kacang hijau, bekas penapis, tuala dan tong simpanan.

Kaedahnya hanya rendam kacang hijau hingga kembang sekurang-kurangnya seharian, sediakan bekas seperti loyang untuk ‘menumbuhkan’ tauge. Letakkan tuala basah di atasnya.

Sebaiknya simpan di tempat yang gelap dalam tong dan siram antara tiga ke empat setiap hari. Masuk hari ketiga, ia sudah boleh mula dituai dan digunakan hasilnya.

Terdapat banyak perkongsian di maya akan kaedah untuk menanam pokok tauge ini dari dalam rumah. Yang penting ada kemahuan, di situ ada jalan. Cubalah!

2) Cili

Menurut perkongsian https://kebunbandar.com/, jika kita tiada talam semaian, kita boleh gunakan pasu kecil untuk semaian.

Untuk media semaian, gunakan peatmoss atau pun sabut kelapa hancur (cocopeat). Kedua-dua bahan semaian ini sangat sesuai untuk semaian cili kerana mampu menyerap air yang cukup dan sentiasa lembab.

Biji benih cili memakan masa sekitar tujuh hingga 14 hari untuk bercambah. Setelah bercambah, kita boleh terus pindahkan ke dalam pasu kecil setiap satu.

Ini juga antara bahan masakan yang amat diperlukan dan berguna sepanjang masa. Cubalah tanam ia di rumah. Pasti bermanfaat.

3) Kacang panjang

Sayuran ini juga amat mudah untuk ditanam. Penulis sendiri ada pengalaman menanamnya hanya dari dalam pasu di balkoni rumah. Berminggu-minggu hasil boleh dipetik jika biji tua dari kacang panjang yang sudah tuai sentiasa ditanam semula dan tumbuh baru.

Ia merupakan jenis tanaman menjalar, memanjat dan mempunyai tempoh tanaman semusim dan singkat. Ia merupakan sayuran kedua popular selepas tanaman cili yang paling gemar dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Pasti sayuran ini berguna terutama jika hendak masak makanan bergoreng seperti nasi goreng atau bersama ayam atau daging goreng kunyit.

4) Bayam Brazil

Kebelakangan ini, bayam brazil pun antara jadi ‘trend’ peminat tanaman. Menurut majalahsains.com, bayam Brazil atau nama saintifiknya Althernanthera sissoo adalah spesies tanaman sayuran yang berasal daripada Brazil dan Amerika Selatan.

Tumbuhan ini tergolong dalam famili Amaranthaceae. Selain itu, spesies tumbuhan ini mudah hidup dan pembiakkannya melalui keratan batang (Hort, 2013). Bayam Brazil adalah tanaman sayuran yang amat baik dan sangat berkhasiat untuk kesihatan manusia.

Daun Bayam Brazil tidak berlendir dan juga rangup. Oleh itu, sayuran ini sesuai dijadikan ulaman. Selain itu, Bayam Brazil juga sesuai dijadikan bahan masakan seperti salad, masakan tumis, sup atau sayuran di dalam masakan barat. Masyarakat di Brazil mengamalkan makan secara mentah bersama tomato, bawang putih dan cuka.

Patutlah ramai yang mahu menanamnya! Mudah dan berkhasiat pula tu…

5) Serai

Bagi masyarakat Melayu, tanaman serai memang antara yang diperlukan dalam masakan bagi menyedapkan rasa seperti gulai ayam, tomyam, rendang dan banyak lagi.

Kongsi zine.my/agro/, ia mudah ditanam. Rendam anak benih dalam bekas jika ‘anak benih’ yang biasa dibeli di kedai tidak mempunyai akar. Rendam batang serai di dalam sedikit air untuk merangsang pertumbuhan akar. Dalam masa tiga ke empat hari, akar sudah mula bertunas.

Tanam serai secara menyerong. Pastikan hanya sebahagian perut serai sahaja yang tenggelam ke dalam medium bersama akar. Jika keseluruhan bahagian perut serai ditanam, ia akan mengakibatkan serai mati.

Ada banyak petua yang dipastikan. Yang pasti tanaman ini juga mudah!

6) Daun pandan

Ia mudah ditanam sama ada dalam rumah atau dalam pasu. Yang pasti banyak kegunaannya terutama dalam masakan kuih muih Melayu.

Iklan

Siapa sangka, kegunaannya juga bagi mengharunkan rumah secara semula jadi. Caranya hanya hiris-hiriskan, letak di dalam bekas atau mangkuk dan letakkan di dalam bilik. Bau macam bilik pengantin baru.

Penanaman pokok pandan dibuat dengan benih keratan yang mempunyai akar dan daun serta bahagian pucuk atau sulur pokok yang keluar dari pangkal rumpun pokok.

Potong sulur dari pangkal rumpun pokok yang matang dan buangkan sedikit bahagian pucok. Tanam sulur atau keratan tadi di atas tanah atau dalam pasu sedalam 2-3 inci dalam tanah dan siram dengan air. Mudah kan?

7) Kunyit, halia, lengkuas

Ini satu lagi bahan makanan yang sangat berguna dalam masakan dan banyak khasiatnya.

Kunyit tumbuh daripada rizom. Rizom adalah akar yang terubahsuai seperti halia dan lengkuas. Jadi bolehlah cuba ketiga-tiganya sekali.

Penjagaannya tidaklah rumit dan boleh ditanam di dalam pasu. Penulis sendiri pernah mencuba menanam kunyit. Terkejut juga dibuatnya, apabila melihat rupanya kunyit juga boleh mengeluarkan bunga!

Benar-benar menerujakan.

8) Bawang

Jangan hanya membawang kata orang sekarang atau maksud orang sekarang bergosip ya….

Tanamnya dengan dua cara iaitu menggunakan biji benih atau pun bebawang. Jika menggunakan biji benih, tempoh untuk tuai bawang akan mengambil masa sekitar tiga ke empat bulan.

Manakala jika kita tanam guna bebawang akan mengambil masa hanya sekitar dua bulan setengah.

Iklan

Bawang merah sesuai ditanam di tempat yang ada cahaya matahari penuh. Jika di tempat redup, bawang yang terhasil akan lebih kecil. Apapun banyak kaedah hendak mendapatkan hasilnya.

Menariknya daun bawang yang terhasil juga boleh digunakan.

9) Daun ketumbar

Ini punn sejenis tumbuhan sangat diperlukan terutama untuk masak tomyam, masuk dalam nasi kuzi, masak siakap stim dan sebagainya.

Pastikan hanya bahagian akar sahaja yang ditimbus dengan tanah. Elakkan bahagian batang daripada turut tertanam, supaya ia dapat membesar dengan sempurna.

Ambil bahagian akar lebih kurang dua ke tiga inci dan rendam di dalam bekas berisi air. Apabila sudah mula membesar lagi beberapa inci, pindahkan pokok ketumbar ke dalam pasu.

InsyaAllah, telaahlah banyak perkongsian ilmu di internet tentang cara menanamnya. Pastinya hasilnya akan memudahkan kerja memasak anda!

10) Aloe vera

Ini antara tumbuhan paling mudah dijaga dan beranak pinak. Aloe vera atau pokok lidah buaya banyak ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan di rumah.

Biarpun tidaklah dianggap sejenis sayuran, namun ia mempunyai vitamin khasiat dan kegunaan yang sangat bermanfaat untuk kegunaan manusia sama ada dalam bidang perubatan atau kosmetik.

Isi di dalamnya juga boleh dicampur dalam jus dan menambah tekstur air minuman. Cubalah.. Yang pasti ada 1,001 khasiat.

Tak percaya? Rujuklah pakar atau lebih mudah, pak cik gugel melalui laman yang sahih dan boleh dipercayai.