SEBELUM ini, kita tersenyum bangga melihat wajah penyanyi popular kelahiran Malaysia, Yuna terpampang di papan iklan gergasi di sekitar New York, Amerika Syarikat (AS) termasuk di lokasi ikonik, Times Square.

Kini terujaan itu kembali apabila nama Malaysia sekali lagi menjadi sebutan susulan pelukis muda, Azzah Sultan menganjurkan pameran seni solo yang mengangkat tema, Anak Dara. Pameran yang berlangsung di Galeri Trotter And Sholer, Suffolk Street, New York itu dijadualkan bermula pada 10 hingga 27 September depan.

Biarpun sedang membina kerjaya di negara Uncle Sam, nampaknya situasi berkenaan sedikitpun tidak melunturkan kecintaan dan semangat patriotisme Azzah atau nama sebenarnya, Siti Azzah Syed Sultan terhadap tanah air.

Masakan tidak, graduan lulusan Parsons School of Design dan Universiti Washington State, AS itu berani mengambil inisiatif mempertaruhkan himpunan karya berasaskan batik, fabrik signatur tradisional Malaysia pada pameran terbabit.

Bertambah menarik, sentuhan seni beliau yang menggunakan cat akrilik di atas kanvas berkenaan diberikan tajuk dalam bahasa Melayu seperti Memasak, Melipat, Membalut, Menyentuh dan Menghidu.

azzah sultan
AZZAH (tengah) pelukis warganegara Malaysia mengambil inisiatif menghasilkan karya seni berasaskan batik sempena pameran solo beliau bertemakan Anak Dara di Galeri Trotter And Sholer, New York, AS bermula pada 10 September lalu.

Nama-nama unik tersebut sememangnya cukup sinonim dengan rutin harian yang lazimnya dilunaskan anak dara atau definisi formal merujuk pada gadis yang belum berkahwin dan masih suci.

Iklan

Menerusi laman sosial Instagram peribadi @sitisultan, Azzah, 24, yang mula bermastautin di New York pada usia 16 tahun turut berkongsi keterujaannya mengenai pameran, Anak Dara terbabit.

“Alhamdullilah…saya berjaya melaksanakan pameran solo di New York kendalian Galeri Trotter And Sholer. Sesungguhnya situasi ini menyuntik emosi tersendiri kerana ia umpama mimpi jadi realiti selepas tujuh tahun berhijrah ke AS.

“Kejayaan (pameran) ini juga sebagai tanda penghargaan kepada ibu dan ayah yang sentiasa memberikan sokongan tanpa lelah sepanjang saya melibatkan diri dalam karier seni lukis,” titip manis beliau dalam Instagramnya baru-baru ini.

azzah sultan
CORET Azzah pameran seni Anak Dara sebagai tanda penghargaan kepada ibu dan ayah yang sentiasa memberikan sokongan kepada beliau tanpa lelah.

Bagi pembaca SinarPlus yang ingin melihat hasil karya kreatif Azzah bertemakan, Anak Dara sila layari laman web trotterandsholer.com.

Iklan

Syabas kami ucapkan kepada anak muda Azzah kerana berjaya mempromosikan keunikan tradisional Malaysia di peringkat antarabangsa.

Foto: trotterandsholer.com dan @sitisultan