SEDIHNYA dugaan datang bertimpa, keluarga ini memerlukan bantuan orang ramai

Ibu bapa manalah yang sanggup melihat anak menahan sakit perut kerana kelaparan. Tiada siapapun yang sanggup menggantikan susu dengan air teh jika bukan kerana terdesak dek bekalan susu terputus.

Namun, di Malaysia, situasi sedih sedemikian rupa memang banyak berlaku.

Salah satu cerita yang menarik perhatian SinarPlus adalah keadaan yang menimpa keluarga Mohd Khairullah Abdul Rahim, 35.

bantuan

Difahamkan Mohd Khairullah hanya mampu menyediakan lempeng kosong dan dicicah dengan gula bagi mengisi perut dua anaknya memandangkan beliau terlantar akibat kecederaan pada kaki kanan selepas terlibat kemalangan pada 18 Jun tahun lalu.

Hilang kerja sebagai tukang masak, gaji harian yang menjadi punca rezeki pun hilang sekelip mata. Lebih menyedihkan, Mohd Khairullah tidak dilindungi apa-apa skim, malah motosikal yang tersadai di tempat kemalangan juga hilang.

Lebih menyayat hati, isterinya, Nur Akmar Mohd Yusof, 33, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak, tidak dapat bekerja kerana masih dalam tempoh berpantang selepas selamat melahirkan anak ketiga pada 12 Januari lalu.

Disebabkan keadaan itu, mereka sekeluarga berdepan pelbagai masalah termasuk tunggakan bayaran sewa rumah, utiliti selain terputus bekalan makanan untuk dua anaknya yang masih kecil.

Kisah pasangan suami isteri tersebut yang dikongsikan seorang sukarelawan yang cukup popular di media sosial, Natipah Abu terpanggil untuk membantu keluarga malang itu dengan harapan kebajikan mereka dipelihara sebaik mungkin.

bantuan

Menurut coretan yang dikongsikannya menerusi laman Facebook, sumbangan sebanyak RM7,000 diperlukan untuk membolehkan pasangan suami isteri tersebut memulakan perniagaan di samping melangsaikan tunggakan sewa rumah.

Natipah antara lain berkata: “Sedekah Jumaat kita bertujuan untuk mengembalikan punca pendapatan kepada mereka, suami isteri yang pandai memasak ini dengan menyediakan sebuah gerai buat mereka berniaga di hadapan rumah.

“Rumah sewa mereka terletak berhampiran jalan besar di sebuah taman perumahan berpotensi untuk menarik pelanggan apatah lagi keduanya mempunyai kepakaran memasak. Mereka boleh berniaga sambil menguruskan anak-anak.”

bantuan

Tulis wanita itu lagi, bantuan yang dihulurkan untuk menanggung kos sewa rumah yang tertunggak sejak dua bulan, manakala selebihnya untuk menanggung sewa untuk tempoh enam bulan sebagai meringankan beban pasangan suami isteri dan cahaya mata mereka.

“Kita andaikan keadaan Encik Mohd Khairullah akan bertambah baik selepas tiga bulan lagi dan semuanya akan kembali stabil selepas enam bulan.

Iklan

“Semoga sedekah Jumaat yang kita niatkan untuk membantu Encik Mohd Khairullah ini mampu membantu mereka untuk bangun semula,” tulisnya yang menerima lebih 230 komen dan 924 perkongsian.

Natipah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi kronologi perjalanan hidup pasangan suami isteri berkenaan yang berhijrah dari Kelantan ke Kedah untuk memulakan hidup lebih baik.

bantuan

“Mereka berdua berhijrah kerana menerima tawaran sebagai tukang masak di sebuah restoran, lengkap dengan kemudahan rumah.

“Pun begitu, mereka ingatkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Selepas tiga bulan bekerja, restoran itu kemudiannya ditutup dan mereka sekeluarga terpaksa berpindah selepas difahamkan tidak bayar sewa rumah,” katanya.

Iklan

Lebih malang lagi, selepas mencari kerja sebagai tukang masak di restoran lain, Mohd Khairullah pula terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum semuanya berubah sekelip mata.

bantuan

Isterinya terpaksa keluar mencari rezeki sebagai tukang masak demi kelangsungan hidup, namun terpaksa berhenti kerana sarat mengandung ketika itu, cerita wanita yang prihatin itu.

Memang sedih membaca rentetan perjalanan hidup keluarga itu. Sesungguhnya, malang tidak berbau, sesiapa sahaja boleh ditimpa musibah atas kehendak-NYA.

Sehubungan itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, boleh memberi bantuan dana kepada keluarga tersebut dengan salurkan terus ke akaun Maybank 552107617521 atas nama Natipah Abu.