KATA-KATA hikmat yang berbunyi kasih bapa sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga, begitu besar maknanya.

Kalimat itulah yang menjadi pegangan buat seorang ayah kelainan upaya, Mat Noh Mohamed.

Walau dirinya tidak sempurna, ketulusannya menjaga anak bongsu, Mohamad Adam yang kini berusia empat tahun yang mengalami masalah saluran usus pendek, amat menyentuh perasaan.

Bapa tunggal berusia 54 tahun itu berkata, tidak terlintas dalam benaknya Adam (panggilan manja Mohamad Adam) yang dilihat sebagai bayi sempurna rupa-rupanya mengalami pelbagai komplikasi dalaman selepas dilahirkan.

“Mula-mula Adam kerap muntah selepas menyusu. Dia juga tak boleh membuang air kecil atau besar dengan normal. Itulah yang membuatkan saya dan bekas isteri susah hati.

bapa OKU jaga anak sakit

“Bila dapat tahu dia ada masalah usus, lagilah saya panik. Masa itu saya hanya berserah kepada ALLAH supaya Adam terus kuat selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),“ katanya yang menetap di Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut, Pahang.

Baca juga Abang Ail sakit radang usus, si kakak derita ketumbuhan pada saluran darah. Ibu ini mohon simpati masyarakat

SinarPlus difahamkan, sepanjang tempoh lebih sembilan bulan di NICU, pelbagai prosedur rumit dijalankan termasuk menyambung semula usus yang bermasalah, namun tidak semua proses tersebut berjaya.

 

Secara keseluruhan, anak istimewa itu sudah menjalani lebih lima operasi pembedahan selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Ujar Mat Noh, dirinya reda dengan ketentuan takdir dan akur dengan segala saranan doktor demi melihat si kecil itu kembali sihat seperti anak yang lain.

“Bila Adam sudah beransur pulih, dia dibenarkan pulang. Saya ingatkan semuanya sudah okey, tapi masa umur tiga tahun, masalah sama berulang.

“Masa itu, Adam tidak selera makan dan perutnya membusung. Semua ubat tak berkesan. Bila dibawa ke hospital, doktor terpaksa membuang najis secara manual disebabkan usus tersumbat,“ ceritanya.

Tidak mahu kemelut sama terus berlarutan, si comel itu menjalani satu lagi pembedahan baru-baru ini untuk pemasangan beg stoma pada bahagian perut untuk membantu melancarkan sistem pencernaan.

bapa OKU jaga anak sakit

“Kalau tanya keadaan Adam sekarang ini, memang dia aktif. Cuma bila beg stoma bergesel dengan baju, dia selalu mengadu sakit. Sebagai bapa, perit yang dirasa anak, lagi sedih hati ini.

“Apa yang membuat saya bertambah sebak, Adam seolah-olah tahu dia tak macam budak lain. Dia lebih suka menyendiri, tak ceria dan banyak diamkan diri. Bila lihat keadaan itu, sebagai bapa saya turut terkesan,“ tuturnya.

Kekangan

Selepas bercerai dengan isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) ketika Perintah Kawalan Pergerakan lalu, segala urusan anak-anak termasuk si sulung yang berusia lapan tahun dijaga oleh Mat Noh sepenuhnya.

Iklan

bapa OKU jaga anak sakit

Pun demikian, lelaki yang juga pemegang kad OKU itu berkata, beliau tidak mampu bekerja bukan disebabkan kecacatan yang dialaminya, tetapi memikirkan siapa yang dapat menjaga Adam.

“Saya jadi buntu. Puas saya cari pengasuh, namun semua takut dengan keadaan usus Adam yang terkeluar itu. Saya faham kenapa mereka rasa begitu.

“Saya akui, nak jaga Adam bukannya senang. Dia perlukan perhatian sepenuhnya kerana bimbang terkena jangkitan kuman,“ luahnya.

bapa OKU jaga anak sakit

Hanya bergantung dengan bantuan bulanan kerajaan, namun dana tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos pembelian barangan perubatan, kos ulang-alik hospital dan susu khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000 sebulan.

“Terus terang saya katakan, ia di luar kemampuan saya,“ kata bapa kepada dua anak itu.

Iklan

Baca juga Senyuman terukir manis, namun adik Syifa derita banyak penyakit kritikal. Kisahnya boleh buat ramai menangis

Akui sedikit tertekan, Mat Noh memohon keprihatinan orang ramai untuk membantu sekurang-kurangnya untuk keperluan si Adam.

“Bab makan dan minum, saya boleh usahakan dengan duit yang ada. Cuma saya risau keperluan seperti beg stoma dan susu khas yang mungkin perlu digunakan untuk tempoh masa panjang.

bapa OKU jaga anak sakit

“Sekarang ini pun saya perlu bawa Adam untuk pemeriksaan susulan setiap bulan. Tak tahulah sampai bila Adam akan bergantung dengan beg itu,“ ungkapnya yang turut menjaga seorang lagi anak lelaki sulung, Mohamad Razak yang masih bersekolah rendah.

Sempena sambutan Hari Bapa yang diraikan pada hari ini, sumbangan ikhlas pembaca SinarPlus diperlukan untuk menceriakan adik Adam sekeluarga.

Dana boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0600441000104946 atas nama Mat Noh Bin Mohamed.