Teruk ‘dikerjakan’ nyamuk Aedes! 390 juta jangkitan dengan 20,000 kematian dicatatkan setiap tahun. Amaran untuk kita semua

JUMLAH kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-7 tahun ini mencecah sebanyak 2,149 kes. Kumulatif terkumpul setakat artikel ini ditulis adalah 15,243 berbanding 4,950 kes bagi durasi sama pada tahun 2022.

Secara matematiknya, berlaku peningkatan kira-kira 207 peratus! 13 kematian direkodkan berbanding satu (2022).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di peringkat global, masalah denggi telah meningkat lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh dua dekad.

“Kira-kira separuh daripada penduduk dunia kini berisiko,“ kata WHO.

Melihat statistik itu, rumusannya cukup mudah. Krisis kesihatan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.

nyamuk
SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

Satu penyelidikan yang bertajuk Beban Denggi Global, Serantau dan Nasional (1990 hingga 2017) yang disiarkan oleh The Lancet mendedahkan, hampir 390 juta jangkitan berlaku pada setiap tahun melibatkan kira-kira 20,000 kematian.

Perebakan kali kedua ke atas seseorang dikatakan akan menjadi lebih bahaya.

Pun demikian, kajian yang dilaksanakan lima penyelidik itu berpendapat, disebabkan keterbatasan dan pengawasan yang pasif, angka sebenar mungkin lebih besar.

Melihat kepada situasi di beberapa kebanyakan negara di Asia Tenggara yang dilanda cuaca panas melampau, ditambah El-Nino yang sedang mencengkam penduduk Malaysia, ramai bimbang tentang penularan wabak denggi yang mungkin lebih ganas.

 

Sehubungan itu, untuk mengetahui sejauhmana suhu membahang mempengaruhi wabak berkenaan dan beberapa hal signifikan lain, SinarPlus menemui Pakar Perubatan, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Dr Zulkarnain A Hamidy.

Kami juga merujuk beberapa sumber penulisan sahih untuk mengukuhkan lagi huraian dalam topik denggi pada minggu ini.

Menurut Dr Zulkarnain, sememangnya cuaca panas akan meningkatkan transmisi virus denggi melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti atau Aedes albopictus. Virus tersebut memiliki empat serotype iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4.

Mengukuhkan pandangan Dr Zulkarnain, Healthline berkata, pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini tidak mustahil akan memicu kepada peningkatan kes menjelang tahun 2050.

Ini bermaksud, negara-negara yang bukan beriklim tropika seperti negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat mungkin turut terjejas.

Nyamuk bandar radikal

Selain air takungan, mereka yang tinggal di bandar lebih berisiko tinggi, kata Dr Zulkarnain. Mudah kata, nyamuk bandar lebih radikal berbanding nyamuk kampung.

“Kawasan bandar dengan jumlah populasi yang ramai menyebabkan mobiliti untuk merebakkan jangkitan menjadi lebih mudah berdasarkan jarak rumah yang dekat. Ia ditambah kalau tahap kebersihan yang rendah atau sistem perparitan bermasalah. Lagi mudah nyamuk Aedes bermaharajalela,“ katanya.

Meskipun teknologi dan penciptaan moden membawa kepada kepelbagaian jenis semburan racun serangga, vektor (nyamuk Aedes) boleh bermutasi, lebih berbisa dan sukar dibasmi, ujar Dr Zulkarnain.

Baca juga: Waspada dengan virus chikungunya, vaksin masih belum ditemui walau sudah lebih 70 dekad penyakit ini menular

Baca juga: Sup ketam, jus betik sembuhkan demam denggi? Ini penjelasan pengamal perubatan

demam denggi
SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

Dalam pada itu, SinarPlus ingin membawa pembaca mengenali tentang demam denggi berdarah atau Dengue Hemorrhagic Fever (DHF).

DHF dianggap amat berbahaya kerana boleh mematikan manusia tidak mengira peringkat umur. Kes kematian pertama dilaporkan di Cuba pada tahun 1981.

Menurut Medical News Today, DHF sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan golongan dewasa yang mengalami infeksi denggi kali kedua.

WHO memberikan definisi DHF menurut empat kriteria:
i. Demam (atau sejarah demam) antara dua hingga tujuh hari.
ii. Manifestasi perdarahan (perdarahan yang banyak dan susah berhenti) daripada hidung, gusi, kulit dan organ dalaman.
iii. Thrombocytopenia (bilangan platelet 100,000/mm3).
iv. Bukti penambahan kebolehtelapan (permebeality) vaskular (air dalam paru-paru dan abdomen).

Dalam sesetengah kes, denggi biasa boleh membawa kepada DHF. Tanda-tanda amaran yang mungkin berlaku termasuklah sakit yang amat sangat pada bahagian abdomen, muntah berterusan, cirit-birit, manifestasi perdarahan dan perubahan status mental seperti kekeliruan.

Jikalau tidak ditangani, DHF boleh berubah menjadi Dengue Shock Syndrome yang akan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah, nadi lemah, tangan atau kaki sejuk dan seterusnya berlaku kegagalan organ.

Pada tahun 2009, WHO telah menukarkan klasifikasi denggi kepada Dengue +/- tanda amaran dan Severe Dengue (denggi yang teruk). Perubahan itu adalah lebih praktikal bagi tujuan pengurusan klinikal.

Antara ciri-ciri jelas DHF adalah seperti:
i. Demam panas (hingga 40 darjah Celcius), sakit kepala dan nyeri otot.
ii. Kerosakan pada sistem limfa dan saluran darah.
iii. Pendarahan daripada hidung.
iv.Pendarahan di bawah kulit dan pendarahan dalaman.
v. Pendarahan daripada gusi dan pembesaran hati.
vi. Kegagalan sistem peredaran darah.

Medical News Today menambah, DHF tidak memiliki rawatan khusus, antibiotik dan penyembuhan khusus kerana ia merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus.

Pun demikian, sebagai langkah asas, seseorang disaran makan ubat seperti parasetemol bagi menurunkan suhu badan dan pastikan tidak berlaku dehidrasi.

“Pesakit juga dicegah menggunakan ubat antiinflamasi nonsteroid (NSAID) seperti aspirin atau ibuprofen kerana ia boleh meningkatkan risiko perdarahan dalaman,“ kata sumber berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Mayo Clinic, simptom yang ditanggung penghidap biasanya akan sembuh kira-kira seminggu.

Pun demikian, mereka tidak menolak gejala barangkali akan jadi lebih genting sehingga boleh meragut nyawa.

Kemajuan vaksin

Menyentuh tentang vaksin denggi, Dr Zulkarnain berkata, Dengvaxia telah digunakan di beberapa buah negara.

vaksin
SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

“Keberkesanannya hampir 80 peratus untuk mereka yang tidak pernah dijangkiti, sekali gus dapat mengurangkan kes kemasukan pesakit ke hospital,“ katanya.

Memahami dunia perubatan turut berkembang selari dengan kepantasan teknologi, SinarPlus merujuk beberapa penulisan terkini tentang kemajuan vaksin.

Menurut The Vox, setakat tahun 2018, terdapat kira-kira lima vaksin denggi lain sedang dalam pembangunan.

Paling menonjol adalah daripada syarikat farmaseutikal Jepun, Takeda.

Agensi melaporkan, Kesatuan Eropah telah memberi lampu hijau kepada vaksin demam denggi hasil inovasi penyelidik dari negara berkenaan, sekali gus menjadikannya suntikan kedua yang menghalang penyakit itu diluluskan oleh blok berkenaan.

Takeda Pharmaceutical berkata, vaksin yang dipasarkan sebagai Qdenga telah diberi kelulusan kawal selia oleh Suruhanjaya Eropah untuk mereka yang berumur empat tahun ke atas, tanpa mengira sejarah pendedahan virus.

Iklan

Dengvaxia yang pertama di dunia terhadap penyakit itu memang sudah tersedia di Kesatuan Eropah, tetapi hanya untuk mereka yang telah dijangkiti sebelum ini.

Vaksin itu (Dengvaxia) menjadi subjek kontroversi pada tahun 2019 apabila Filipina mengharamkannya kerana kebimbangan keselamatan, dakwaan yang dinafikan pengeluarnya, gergasi farmaseutikal Perancis Sanofi.

Qdenga turut digunakan secara meluas di Indonesia untuk mereka yang berumur enam tahun ke atas.

Di India, satu kajian genomic yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik menyatakan, mereka sedang menyediakan ‘calon‘ vaksin mRNA (messenger RNA yang merupakan vaksin dengan teknologi atau varian baharu) untuk ujian klinikal sebagai alternatif kepada vaksin denggi sedia ada.

“Ia (vaksin sedia ada) terhadap denggi menggunakan versi virus denggi yang dilemahkan secara langsung merentas empat serotype.

“Sementara, vaksin mRNA berfungsi dengan ‘mengajar‘ sel cara membuat salinan protein virus supaya badan dapat mengenali dan melawan jangkitan masa depan dengan virus serupa,“ kata salah seorang penyelidik.

Baca juga: Musim banjir memang banyak risikonya. Waspada 4 risiko penyakit semasa dan selepas fenomena ini

Kajian tersebut telah disiarkan di News Medical Life Sciences.

Para penyelidik juga berpendapat, vaksin sedia ada adalah berdasarkan pengasingan denggi lama dari luar Asia Selatan dan tidak jelas sama ada ia akan memberi kesan dalam melawan virus denggi sekitar India.

#kesresponden
Norafiza putus selera, tekak perit, tekanan darah rendah sehingga jatuh pengsan

NORAZIFA Othman antara jutaan manusia di dunia ini pernah menjadi mangsa kepada haiwan bertubuh kecil, nyamuk.

Sebelum disahkan mengalami denggi, simptom yang dialami Norazifa amat menakutkannya.

Selain suhu badan mencecah 39.9 darjah Celsius, beliau turut rasa loya, tekak perit dan putus selera makan.

“Pada hari ketiga, saya dah tak boleh bertahan lagi, kesihatan saya semakin teruk. Badan dah rasa seram sejuk dan sakitnya seperti dicucuk-cucuk benda tajam. Akhirnya, saya ‘serah diri‘ ke klinik,“ katanya yang menetap di Johor Bahru, Johor.

Iklan

Di fasiliti kesihatan tersebut, Norazifa diminta menjalani ujian darah bagi mengesahkan sama ada beliau telah dijangkiti virus demam denggi atau sebaliknya.

“Disebabkan tubuh saya yang terlalu lemah dan tekanan darah yang rendah, saya jatuh pengsan di klinik itu. Seperti yang saya jangka, saya positif denggi,“ katanya yang terus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemantauan lanjut.

Berita mengenai kondisinya kemudian telah mendorong pihak Kementerian Kesihatan Malaysia membuat semburan denggi di rumah beliau termasuk di kawasan sekitar. Ia dilakukan bertujuan untuk mencegah penularan seterusnya.

Baca juga: Demam on-off, badan sakit-sakit, lesu, 10 tip mak-mak wajib tahu bezakan influenza dan demam selesema

demam denggi
SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

Kisah Norazifa tidak terhenti setakat itu sahaja. Tatkala sedang menerima rawatan, doktor mendapati, terdapat pendarahan pada organ pundi kencingnya.

Selepas diagnosis demi diagnosis dilakukan, pakar mengklasifikasikan wanita tersebut menghidap denggi berdarah.

“Saya agak terkejut kerana tak sangka nyamuk sekecil itu telah memberi impak besar kepada kesihatan saya. Apa yang saya tahu, doktor telah memasukkan tiub pada saluran kencing saya selama tiga hari berturut-turut,“ beritahunya.

Selain itu, beliau turut menjalani rawatan pengurusan cecair dan diberi ubat untuk meredakan simptom demam, muntah serta pendarahan yang dialami.

Masih berpegang kepada petua orang zaman dulu, Norazifa berkata, beliau mengamalkan makan sup ketam, minum jus betik dan air pegaga yang dicampur dengan perahan lemon.

“Saya tak pasti mujarab atau tak, tapi saya tetap mencuba. Setelah seminggu menerima rawatan, saya dibenarkan pulang ke rumah selepas tekanan darah mula stabil. Namun, saya tetap diminta membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan organ yang terjejas sembuh sepenuhnya,“ katanya.

“Namun, terus terang saya katakan, walaupun sudah beberapa hari dibenarkan pulang ke rumah, saya masih tiada selera untuk makan dan berat badan juga menurun.

“Nasihat saya kepada mereka yang mengalami gejala demam denggi, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mengelak masalah yang tidak diingini daripada berlaku,“ ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.