SEJAK 23 September lalu sehingga kini, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini meningkat dengan Sabah menjadi ‘medan peperangan‘ paling kritikal.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan (frontliners) dalam menentang pandemik Covid-19 di negeri itu mencapai tahap kritikal.

Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan di sana selain di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengekang penularan pandemik amat bertepatan.

frontliners Covid-19

Meskipun menyarung peralatan perlindungan diri (PPE) yang berlapis-lapis dan melakukan ujian saringan di bawah khemah bukan lagi menjadi isu utama, namun sebagai manusia biasa, perasaan bimbang, takut dan sedih pastinya tetap bersarang dalam diri setiap frontliners.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, Sabah, Dr Saraswathy Subramaniam, 29, berkata, beliau tidak sabar untuk kembali bertugas setelah tamat menjalani tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19 pada 29 September lepas. Beliau dijangkiti pandemik itu sewaktu ditugaskan di Hospital Semporna, Sabah.

Dr Saraswathy Subramaniam

“Tubuh badan saya menjadi sangat lemah, hampir pitam malah saya turut mengalami keradangan jantung akibat jangkitan virus korona. Sungguhpun begitu, tiada istilah serik untuk diri ini.

“Saya tidak sedih ketika disahkan positif, malah sudah bersedia untuk menerima sebarang risiko saat diarahkan bertugas di Hospital Semporna. Walaupun ketika itu saya turut mengalami gangguan deria bau, saya sangat bersyukur kerana ada keadaan pesakit lain yang lebih teruk daripada itu,“ katanya baru-baru ini.

Artikal berkaitan: Kami terpaksa tingkatkan kapasiti kerja sebanyak 100 kali ganda dalam tempoh sehari – Frontliners

Kini, dengan situasi semasa yang diibarat ‘kembali ke medan perang‘, Dr Saraswathy berkata, petugas kesihatan terpaksa bertungkus-lumus bekerja siang dan malam.

frontliners Covid-19

Lebih membuatkan frontliners semakin lelah adalah apabila ada pesakit yang ‘menghilangkan diri‘ ketika menunggu keputusan ujian saringan.

“Sabah kini dalam keadaan tenat dan apa yang berlaku mengajar saya betapa berharganya kehidupan. Sebagai doktor, saya akui berdepan cabaran untuk merawat pesakit yang terlibat kerana saat mereka tiba di hospital, keadaan (mereka) sudah teruk (di peringkat empat dan lima) dengan pelbagai komplikasi.

Artikal berkaitan: “Doakan aku sihat” – Luahan frontliner yang positif Covid-19 di Sabah

“Apa yang boleh kami lakukan adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mengurangkan sebanyak mungkin kontak, memberi rawatan segera dan memastikan kebersihan di tahap maksimum,“ katanya yang merupakan anak kelahiran Selangor.

Siap siaga

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, kejadian yang berlaku ketika berada di beberapa zon merah di Semenanjung Malaysia dan Sabah seolah-olah dejavu buat dirinya dan petugas kesihatan yang lain.

Dr Mohd Afiq Mohd Nor

Jelas beliau yang berpengalaman selama 10 tahun di Jabatan Kecemasan hospital, persediaan yang sedang dilakukan di PPUM kini mengulangi apa yang berlaku pada Mac lepas.

“Kita perlu susun semula petugas, pasang semula khemah saringan, ingatkan semula cara pemakaian PPE dan SOP. Fasa pemulihan selepas tiga bulan ‘berperang‘ dengan Covid-19 dulu pun belum habis, kini kita perlu sambung semula demi kepentingan rakyat,“ katanya.

Iklan

Meskipun berpengalaman mengendalikan situasi itu, namun perkara yang paling ingin dielakkan adalah tidak mahu ada rakan sepasukan yang ‘kecundang‘ akibat dijangkiti Covid-19.

frontliners Covid-19

Katanya, melihat sendiri ada petugas yang disahkan positif dengan kesakitan yang dialami seperti sesak nafas dan mengharungi tempoh kuarantin, membuatkan pakar itu bimbang walaupun setiap langkah keselamatan telah diambil.

Artikal berkaitan: [VIDEO] Frontliner tunjuk peluh, lencun macam mandi hujan buka PPE

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang tidak menafikan tahap tekanan yang dialami para petugas perubatan tidak boleh dipandang remeh.

Dr Ahmad Samhan Awang

“Stres (tekanan) fizikal kerana beban kerja yang bertambah dan jika ada rakan setugas yang dikuarantin, beban kerja semakin berat. Tekanan mental turut bertambah apabila ada pesakit yang menyembunyikan sejarah ada kontak rapat.

Iklan

“Tiada pilihan kecuali terus bertahan di samping sering memberi kata-kata semangat kepada rakan setugas untuk terus kuat kerana rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada frontliners untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik,“ kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

frontliners Covid-19

Ujar Dr Samhan lagi, beliau sendiri pada bila-bila masa bersedia untuk dihantar ke kawasan zon merah termasuk di Sabah, memandangkan banyak tenaga dan pengalaman menguruskan situasi kritikal diperlukan ketika ini.

Untuk Dr Saraswathy, Dr Mohd Afiq, Dr Samhan dan semua petugas barisan hadapan, semoga terus kuat dan cekal dalam menghadapi ‘peperangan‘ ini.

frontliners Covid-19

Seperti kata Dr Noor Hisham melalui akaun Twitternya: “Kepada semua petugas barisan hadapan, ingatlah bahawa kita adalah pelindung kesihatan rakyat dan keselamatan negara, kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus bersemangat dan kuat. Kesihatan menyatukan kita semua melawan satu musuh, Covid-19, bersama-sama. Insya-Allah“.

Sumber dan Foto Bernama